Secara jujurnya, pelaksanaan VSS ini sudah dibentangkan kepada warga Utusan seawal tiga tahun lalu, berikutan keadaan kewangan syarikat yang terumbang-ambing. Ketika itu, konsep VSS dinyatakan tanpa butiran terperinci. Ringkasnya, VSS sudah diketahui pasti berlaku tetapi bila, itu tidak tahu.

Jadi bila VSS berlaku sekarang, ada yang sudah bersedia tetapi ramai yang tidak. Dari beberapa segi, ada yang telah mempersiapkan diri terutama aspek kewangan. Hutang kereta dan kad kredit berjaya diselesaikan, malah kad sudah pun dipatahkan! Tetapi walau bagaimana sekali pun persediaan, gegaran gempa VSS ini tetap meragut perasaan.

Bohonglah jika kata tidak takut, tidak risau. Namun tidaklah sampai kejang kaki langsung tidak boleh bernafas. Sementara menanti tarikh akhir VSS, kerja azali di pejabat tetap kena buat. Akhbar tetap kena terbit. Oleh kerana VSS ini pertama kali melanda, banyak juga rasa kekok untuk memulakan sesuatu yang sudah lama tidak dibuat. Berikut adalah huraian kekekokan Merrepak mengenainya:

1 Hutang: Ini perkara paling sensitif. Hutang ini ada dua dinamik. Orang berhutang dengan kita dan kita yang berhutang. Dalam keadaan VSS, kedua-duanya memeritkan. Perit kerana hendak meminta orang membayar hutang, walaupun sekecil RM50 memerlukan seni tersendiri. Mungkin seni memujuk, mungkin seni bermadah puisi diperlukan untuk memungut hutang sedemikian.

Terbacalah rintihan seorang kawan di dalam Facebook, siap dengan gambar bicara WhatsApp dengan orang yang berhutang dengannya. Punyalah liat dia hendak membayar, sampai bertukar nada mahu bergaduh. Ini pun seni juga. Masa memohon duit, lemah lembut merayu. Masa dituntut hutang, bertukar jadi Hang Jebat.

Begitu juga bila kita pula yang berhutang. Kena ada seni. Beri keutamaan kepada hutang besar seperti rumah dahulu, sebab tidak bayar ansuran bulanan, rumah akan dilelong. Hendak tinggal di mana? Hutang kereta tidak apa, kalau ditarik anda masih boleh guna bas.

2 VSS jadi kaya? Ada beberapa syarikat yang menawarkan VSS cukup memuaskan hati kepada kakitangannya. Ada juga yang tidak. Ini yang kita semua kena faham. Kenapa syarikat tidak dapat menawarkan kadar yang 'memuaskan'? Sebenarnya tahap manakah yang boleh diklasifikasikan 'memuaskan'? Susah juga.

Ringkasnya, syarikat tidak dapat menawarkan kadar memuaskan sebab memang tidak mampu. Kalau mampu, nescaya VSS pun tidak dilaksanakan, bukan? Mungkin ada sedikit dana disediakan, untuk dijadikan modal kerja selepas VSS bagi meneruskan langkah syarikat. Macam mana hendak hidup jika selepas VSS, syarikat kering-kontang?

Jadi soal VSS boleh membuat bekas pekerja jadi kaya, agak rumitlah. Mungkin yang boleh dibuat ialah kadar yang ditawar itu dianjak ke tahap yang memuaskan hati kedua-dua pihak.

3 Resume: Ada peratusan besar warga Utusan yang sudah berkhidmat lebih 10 tahun, 15 tahun dan bukan sedikit yang melebihi 20 tahun. Bayangkan selama itulah, tidak pernah menulis resume untuk memohon kerja. Mana ada keperluan! Maka, terpaksalah merujuk kepada internet mengenai kaedah menyediakan resume yang terkini. Terkejut juga bila melihat gaya sekarang cukup ringkas. Hanya semuka! Dan memaparkan benda-benda asas sahaja. Ia lebih mudah berbanding mengisi borang asrama anak, yang mewajibkan disertakan salinan gaji tiga bulan dan surat beranak anak-anak lain.

Resume kerja sekarang tidak perlu dokumen pun. Memadai hanya gambar, butiran peribadi serba ringkas dan menyatakan apa anda sudah buat dan apa anda boleh buat. Bakal majikan akan menghubungi anda jika terpesona dengan resume anda.

4 Temu duga: Anda dihubungi dan dipanggil temu duga. Inilah masanya anda menyediakan salinan semua sijil yang ada. Zaman dulu, salinan itu dilampirkan bersama. Betapa zaman sudah berubah.

Bab temu duga ini lagi haru-biru. Selama bertahun-tahun kekal di satu syarikat sahaja, teknik temu duga menjadi proses yang sama menakutkan seperti berjumpa pegawai majlis agama untuk memohon kebenaran berkahwin. Lebih kelakar, ikat tali leher pun tidak ingat. Mujur anak jadi pengawas, tolong ikat dan pinjamkan tali leher sekolahnya. Anda mungkin mencelah kenapa hendak gugup pula masa temu duga, sedangkan itulah tugas wartawan mewawancara orang. Mestilah gugup. Ini anda pula ditanya dan kena pilih jawapan menyakinkan!

5 Gaji: Alkisah seorang dua sahabat mengaku sudah pergi menjalani temu duga yang berakhir dengan jayanya. Tetapi tetap gagal menjawat jawatan.

Alasannya? Gaji. Syarikat itu agak terkesima hendak memberi tangga gaji yang rendah kepada mereka. Bagaimana boleh melalut begitu, tidaklah difahami. Bagi orang yang melalui proses VSS, gaji rendah pun tidak mengapa, asalkan dapat kerja tetap di syarikat yang komited. Kasihan kawan berkecil hati kerana melabur duit beli sut untuk menghadiri temu duga itu.

Bagaimana dengan Merrepak, apakah akan ambil VSS? Beginilah.

Jika ada sumur di ladang,

boleh kita menumpang mandi.

Jika ada umur yang panjang,

boleh kita merrepak lagi.