Beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia seperti perihal orang Melayu dan bumiputera, perihal Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, hak istimewa orang Melayu dan lain-lain menjadi asas dalam memahami realiti Malaysia.

Meski dunia dan negara berubah dari segi dasar dan pendekatan menyantuni orang Melayu dengan segala potensi dan kekurangannya harus menjadi agenda utama supaya keseimbangan dan keharmonian berlaku.

Ada kebimbangan dalam kalangan orang Melayu terhadap kedudukan Islam, bahasa, hak istimewa dan lain-lain bakal terpinggir sedangkan mereka adalah kelompok majoriti di negara ini.

Sejak kemerdekaan negara lebih 60 tahun lalu berbagai dasar, pendekatan dan strategi berlaku dalam ekonomi, pendidikan, perubahan sosial, prasarana terutama dalam kalangan orang Melayu dan bumiputera. Kesan perubahan terlihat dengan jelas.

Namun perubahan ekuiti masih relatif rendah, kuasa beli orang Melayu masih ramai yang belum kompetitif dan menyebabkan penyertaan mereka dalam sektor ekonomi, keusahawanan masih belum menggambarkan ekuiti yang seimbang.

Isu merapatkan jurang antara bandar, luar bandar dan pinggir bandar, antara kuasa beli yang dimiliki oleh kaum-kaum yang berada, kurang berada dan tidak berada, tabiat monopoli dalam bisnes dan menyebabkan kos harga barang terus meningkat, pembelian harta tanah yang tidak seimbang mendalamkan lagi jurang antara kelompok yang berada dengan yang kurang berada dan tidak berada.

Visi pembangunan di Malaysia harus beroperasi atas pertimbangan untuk saling memahami, membantu dan meningkatkan ekuiti kelompok yang terkebelakang supaya jurang yang terjadi dirapati. Ia adalah asas perpaduan yang sangat penting bagi negara.

Jangan amalkan maksud pepatah ibarat enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Ini yang sedang terjadi kini didorong oleh sifat monopoli yang menebal.

Jangan jadikan kelompok majoriti hanya menyaksikan penguasaan harta tanah dan dasar perumahan yang boleh memberikan kesan taburan penduduk yang tidak seimbang dan bakal memberi kesan kuasa politik masa depan. Ini akan hanya mendalamkan lagi polarisasi kerana kemampuan mereka memiliki dan membeli masih terbatas.

Apa lagi dengan kemunculan bandar-bandar baharu dengan rancak di serata negara bakal meningkatkan ekuiti kelompok minoriti dan boleh menyebabkan kelompok majoriti terpinggir.

Malaysia yang sifatnya majmuk seharusnya membangunkan tradisi saling membantu, memiliki rasa kemanusiaan tinggi terhadap golongan yang tidak berada dan hidup atas asas baik sangka dan mempunyai toleransi ke arah perpaduan.

Ramai pihak tidak yakin dengan saranan ini kerana faktor ras terbangun dengan cara dan budayanya sendiri tanpa menginsafi bahawa Malaysia amat memerlukan budaya yang bercorak ke Malaysia dalam erti kata yang senang membantu yang susah, merapatkan jurang, berlaku adil terhadap orang lain. Kalau tidak dasar monopoli dan eksploitasi berterusan terjadi.

Masyarakat teras iaitu orang Melayu harus mengalami perubahan sikap dan mental supaya jiwa mandiri subur, sikap kebergantungan kepada kerajaan diseimbangkan dengan keinsafan bahawa daya saing amat penting untuk maju dan berubah diikuti dengan daya usaha yang sifatnya berdaya maju supaya keterpinggiran dapat diatasi.

DATUK DR. SIDEK BABA ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).