Hakikat itu sudah cukup untuk menggambarkan betapa penting dan perlunya hubungan akrab kedua-dua entiti itu tanpa ada titik noktah kerana kerjasama strategik universiti dan industri juga diiktiraf sebagai penyumbang kepada kitaran ekonomi untuk sesebuah negara.

Umum mengetahui, universiti kini bukan semata-mata tempat mahasiswa menuntut ilmu, tetapi menara gading itu juga tapak permulaan kepada penerokaan dan pencerakinan sesuatu perkara baharu.

Aktiviti penyelidikan adalah platform untuk menghasilkan inovasi baharu sama ada dalam bidang teknologi mahupun ilmu, ini kerana kedua-duanya amat penting dikongsi dengan masyarakat supaya manfaat penyelidikan dapat digunakan bagi mengurus kehidupan ke arah lebih baik.

Melalui hubungan erat antara universiti dan industri mampu meningkatkan taraf pengetahuan dan menggerakkan transformasi untuk penghasilan produk-produk, proses dan perkhidmatan yang bermanfaat bagi pasaran tempatan dan global.

Persoalannya, sejauh manakah kualiti graduan kita menepati piawaian pihak syarikat atau industri? Adakah pelbagai usaha dan inisiatif kerjasama di antara universiti dan industri berjaya melahirkan graduan yang memenuhi kehendak dan kemahuan pasaran semasa?

Advokasi Ilmuwan Majlis Profesor Negara (MPN) dengan kerjasama akhbar Utusan Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 16 Mac lalu bertandang ke kampus Universiti Tun Huseein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat, Johor, bagi mengupas isu berkenaan di bawah tajuk, Kerjasama Universiti-Industri: Apa Masalahnya?

Program dikendalikan oleh pengacara RTM, Suhaimi Mohamed itu menampilkan empat ahli panel iaitu Naib Canselor UTHM; Prof. Dr. Wahid Razzaly; Ketua Program Kejuruteraan Rel UTHM, Prof. Dr. Khalid Hasnan; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Industry-Goverment Group for High Technology (MIGHT), Datuk Dr. Mohd. Yusoff Sulaiman; serta Ketua Pegawai Perkhidmatan Infrastruktur Prasarana, Ir. Ahmad Nizam Mohamed Amin.

Menariknya advokasi kali ini, syair Inggeris, No man is an island menjadi asas perbincangan ahli panel berasaskan pemahaman naskhah itu iaitu manusia tidak dapat hidup sendiri-sendiri sebaliknya memerlukan pihak lain, sudah cukup menceritakan bagaimana universiti dan industri saling memerlukan antara satu sama lain.

Menurut Wahid, universiti adalah pembekal (siswazah) manakala industri pula penerima yang kitaran mereka sentiasa berpusing dan tidak berada pada satu garisan sama. Tambahnya, sesebuah negara yang statik di garisan tersebut tidak akan mampu menampung pertumbuhan ekonomi.

“Jadi, perlu wujud satu sistem kitaran yang baik. Sekiranya industri tak endahkan kita maka dia akan lupus dan kalau kita pula tak endah input industri bermakna graduan kita tak akan laku, tak diambil oleh industri,” katanya.

Dari perspektif pihak industri, Ahmad Nizam mendedahkan terdapat jurang ketara tenaga kerja dalam industri khususnya bagi bidang yang kurang popular seperti kejuruteraan rel.

“Tidak ramai penuntut yang berani mengambil jurusan kejuruteraan rel kerana merasakan skop kerja terlalu terhad apabila produk yang dibawa masuk dari luar mengakibatkan kerja-kerja penyelenggaraan dan sebagainya sudah terkongkong dengan saranan pembekal,” katanya.

Khalid pula memberi contoh ketika Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) pertama hendak dibina dahulu, berlaku kaedah ‘push’ dan ‘pull’.

Maknanya pihak industri sudah boleh melihat potensi untuk bidang itu berkembang pada masa hadapan, jadi berlaku saling menolak dan menarik untuk memberi penekanan kepada teknologi baharu yang diperkenalkan bersama projek tersebut, yang sewajarnya disambut oleh pihak universiti dengan menawarkan kursus berkaitan mengikut keperluan industri.

Dalam hal ini Mohd. Yusof berkata, MIGHT memahami cabaran universiti lantas me­nubuhkan Konsortium Industri Rel Malaysia yang menghimpunkan 90 syarikat rel di negara ini di bawah satu bumbung bagi memudahkan membuat rujukan dan mendapat gambaran tepat tentang permintaan, kualiti serta fokus bidang itu.

“Kebimbangan kita adalah dari segi penawaran, kualiti dan kuantiti masa depan kerana se­perti diperkatakan dalam Forum Ekonomi Dunia, kita sudah memasuki era revolusi industri yang keempat. Era ini akan mencorak teknologi dan pekerjaan baharu yang kita tak dapat jangka lagi. Justeru kerjasama industri-universiti amat mendesak supaya perubahan dari segi kurikulum dapat dilakukan selaras revolusi itu,” jelasnya.

Kesimpulannya, industri dan universiti tidak boleh berpisah. Perlu ada simbiosis kerana gabung­an kedua-duanya membentuk ketamadunan ilmu yang relevan yang mampu memberi impak besar kepada masyarakat keseluruhannya.