Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu berkata, parti tersebut seolah-olah hilang arah dan tidak ada hala tuju yang jelas selepas kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Mei lalu.

Diwawancara wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID, AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI dan HAMDEN RAMLI ketika kunjungan beliau ke pejabat Kumpulan Utusan pada Khamis lalu, Khairy berbicara panjang lebar tentang masa depan UMNO termasuk isu 1MDB,
selain spekulasi lompat parti antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PKR.


Berikut adalah sedutan wawancara bersama beliau dan untuk wawancara penuh sila tonton di Utusan Online.

MINGGUAN: Ramai melihat UMNO seperti hilang punca dan tidak ada hala tuju jelas selepas kalah dalam PRU-14. Bagaimana YB melihat keadaan UMNO?

KHAIRY: Saya melihat kita dalam keadaan yang tak ke mana. Mara pun tidak, undur pun tidak. Kita ini dilihat tidak jelas hala tuju. Saya hendak memberi sokongan kepada pimpinan parti sebab saya orang parti, walaupun saya lantang. Tetapi bagi saya, kritikan saya membina sebab hendak lihat UMNO pulih.

Saya lihat selepas Perhimpunan Agung UMNO, semangat dalam kalangan ahli kembali seketika. Tetapi sekarang ini harapan yang ada itu nampak sudah malap semula.

Saya tak pasti kenapa. Mungkin soal hala tuju kepimpinan. Mungkin terlalu banyak spekulasi. Ada orang kata hendak dibubar dan diharamkan UMNO, serta 40 orang ahli Parlimen hendak berhijrah ke parti kerajaan dan sebagainya.

Jadi ini menimbulkan satu keadaan yang sangat tidak menentu. Tapi saya tabik kepada ahli-ahli UMNO biasa. Saya boleh cakap berdasarkan pengalaman saya di Rembau. Tak banyak ahli yang keluar. Cawangan kekal. Saya rasa di bahagian saya tidak ada satu pun cawangan bubar.

Maknanya ahli UMNO biasa kuat semangat. Cuma mereka mengharapkan satu hala tuju di atas yang tak nampak. Ahli UMNO kuat.Saya difahamkan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang aktif hanya 200,000 orang. UMNO ada tiga juta orang ahli.

Tolaklah sejuta orang yang tidak aktif dan sebagainya. Masih lagi dua juta orang. Jangan kita ingat UMNO calang-calang parti. UMNO masih parti besar, ada ahli yang komited dan mempunyai 48 Ahli Parlimen.

Bagi saya sekarang ini yang mungkin nampak tidak lengkap adalah dari segi kesungguhan kami di peringkat kepimpinan termasuk saya sendiri walaupun saya tidak ada jawatan di peringkat kepimpinan UMNO tetapi saya ahli Parlimen. Kita tidak dapat memberi hala tuju.

Mungkin sudah sampai waktunya kepimpinan memberikan hala tuju yang jelas?

KHAIRY: Macam mana lagi hendak beri hala tuju yang jelas. (Presiden UMNO) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pun sudah beri ucapan dan menjelajah ke negeri-negeri.

Pemimpin boleh cakap tetapi sejauh mana kata-kata itu diterjemahkan sebagai satu semangat perjuangan, itu yang menjadi masalah hari ini. Saya tidak pasti kenapa itu menjadi perkara yang merangsang anggota parti.

Apakah ini disebabkan pemimpin-pemimpin UMNO menerima ugutan akan didakwa di mahkamah sekiranya banyak bercakap?

KHAIRY: Mungkin juga begitu tetapi dalam politik, kita kena berani dan ambil risiko. Kita kena ada pendirian. Kalau pendirian kita untuk menjadi pembangkang berwibawa, maka itulah pendirian kita walaupun apa cabaran yang mendatang.

 

Sekarang banyak spekulasi tentang ahli UMNO akan masuk parti tertentu. Katakan sekiranya apa yang dikatakan itu benar-benar berlaku, apakah pendirian YB? Adakah masih bersama UMNO atau mungkin turut berhijrah?

KHAIRY: Kalau kapal UMNO karam atau semua sudah terjun dari kapal, saya mungkin akan menjadi kelasi terakhir untuk tenggelam bersama dengan kapal itu.

Apakah punca utama UMNO tidak dapat bangkit kembali adalah kerana isu kewangan?

KHAIRY: Betul, ada kebenarannya. Tetapi kena lebih kreatif dalam cara kita berpolitik sekarang. Inilah masa untuk kita memikir semula cara macam mana UMNO berpolitik. Kalau dahulu semuanya duit. Kalau tidak ada duit, tak jalan.

Sekarang kita kena fikir macam mana hendak mengendalikan parti tanpa duit. Ada macam-macam cara. Kita boleh buat pembiayaan awam, program yang kos rendah tetapi impak tinggi, kita boleh guna media sosial.

Bagi saya, inilah masa yang terbaik untuk kita menulis semula cara kita berpolitik dan mengajar semula generasi baharu bagaimana hendak berpolitik tanpa duit.

Bagi saya alasan itu ada asasnya tetapi hanya kalau kita memandang politik dari kaca mata yang lama tetapi dengan cara baharu, tidak perlu menggunakan banyak duit pun.

Sebagai contoh Belanjawan 2019, banyak ‘modal’ untuk kita. Inilah masa kita terima undangan daripada mana-mana pihak termasuk universiti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan media untuk cakap tentang belanjawan ini.

Itu tak perlukan duit tetapi boleh meningkatkan sokongan terhadap UMNO kerana kita bercakap dan berjuang untuk rakyat. Bawa perkara ini ke kawasan luar bandar.

Sebagai contoh, buat forum tentang belanjawan di kawasan nelayan. Itu tidak memerlukan bajet yang besar. Kita hendak berjuang untuk rakyat tapi kena buat macam pembangkang dulu buat. Tetapi seolah-olah tidak ada idea, kesungguhan dan penyelarasan untuk buat sedemikian.

Sekarang Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilihat paling aktif dan berkesan dalam berhujah untuk mengkritik kerajaan. Komen YB?

KHAIRY: Saya rasa tidak betul. Beliau dapat tarikan sebab beliau bekas Perdana Menteri. Bagi saya tidak ada masalah beliau hendak bercakap. Tetapi bagi saya, kalau beliau kurang bercakap, lebih baik untuk UMNO.

Point yang beliau bangkitkan, orang lain pun bangkitkan. Cuma apabila beliau bangkitkan point, ada sambutan okay. Tetapi cara paling mudah untuk patahkan hujah adalah 1MDB. Itu kita tidak boleh nafikan.

Baca komen betul-betul. 1MDB adalah checkmate kepada Barisan Nasional (BN). Saya tidak ada masalah dengan Najib tetapi masalahnya 1MDB masih dikaitkan dengan kita.

Banyak benda yang dibuat melibatkan 1MDB, tidak dimaklumkan kepada Kabinet. Bila (Menteri Kewangan) Lim Guan Eng membangkitkan soal pembayaran hutang 1MDB, RM7 bilion hasil penjualan tanah kerajaan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) RM2 bilion.

Saya masih ingat kertas Kabinet itu. Kita lulus kertas Kabinet itu. BNM beli tanah pejabat Perdana Menteri lama di Jalan Datuk Onn, Kuala Lumpur pada harga RM2 bilion. Tidak dimaklumkan kepada Kabinet bahawa RM2 bilion itu diguna untuk membayar hutang 1MDB.

Apabila kita kalah dan didedahkan oleh Guan Eng, baru kita tahu. Guan Eng tanya, tahu ke tidak? Memang kita tidak tahu. Jadi, kenapa saya sekarang ini agak lantang mengkritik Najib tetapi dahulu kita sokong? Sebab ada banyak benda yang sudah didedahkan, beliau tidak beritahu kita. Itu antara sebab saya terpaksa kritik.

Tidak timbul dahulu sokong, sekarang tidak sokong, lalang dan sebagainya. Takkan kita hendak tegakkan benang basah? Samalah Utusan dengan KJ (Khairy Jamaluddin), dua-dua lalang. Dahulu sokong tetapi sekarang ini sudah tidak sokong. Kita semua kena tipu.

 

Semasa isu 1MDB timbul dahulu, YB dikatakan hampir-hampir meletakkan jawatan Ketua Pemuda UMNO. Apakah itu benar?

KHAIRY: Saya tidak tahu kalau hendak cerita benda ini, nanti orang kata sekarang baru hendak cerita. Beginilah, kalau hendak dikatakan bahawa selain Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal, yang lain tak cakap langsung, tak betul. Baik dalam Jemaah Menteri dan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.

Saya rasa ramai termasuk saya sendiri yang jumpa secara peribadi dengan Najib dan minta beliau mengambil tanggungjawab dan tindakan terhadap 1MDB.

Cuma, setelah kita cakap banyak kali, beliau masih tidak pedulikan hendak buat macam mana. Ada yang ambil tindakan kena pecat macam Muhyiddin. Macam kami ini, dah habis cakap, beliau tak peduli, jadi kita hendak buat macam mana.

Sampai satu tahap Najib kata beri masa enam bulan untuk selesaikan soal hutang, ada yang masih tidak puas hati macam Muhyiddin tetapi macam saya kata, okaylah kita beri peluang. Di situ berlaku perbezaan nasib.

Walaupun Najib terpalit dengan isu 1MDB, tetapi beliau dilihat mengurus ekonomi negara lebih baik berbanding kerajaan sekarang. Komen YB?

KHAIRY: Itu saya setuju. Sebab itu saya masih lagi mempertahankan sistem pembangunan yang kita buat. Dalam inisiatif yang saya bentangkan, banyak saya rujuk apa yang kami telah buat. Sebagai anggota pentadbiran Najib, saya bangga dengan rekod beliau dari sudut pengurusan ekonomi.

Itu memang tidak boleh dinafikan bahawa cara yang kita bawa sudah cantik. Cuma 1MDB punca kita kalah. Kalau isu cukai barang dan perkhidmatan (GST) sahaja, saya rasa kita masih menang.

Isu-isu lain pun tetap dikaitkan dengan 1MDB. Misalnya kos sara hidup dan GST kerana terpaksa membayar hutang 1MDB. Gaya hidup Rosmah (Datin Seri Rosmah Mansor), minta maaflah, juga dikaitkan dengan 1MDB. Jadi, semua dikaitkan dengan 1MDB.

Kita tengok sampai hari ini, masih ada kalangan ahli UMNO yang mempertahankan isu 1MDB. Apa pandangan YB?

KHAIRY: Untuk apa masih mempertahankan benda ini? Cakap sahajalah, ini adalah kebenaran. 1MDB bukan persepsi atau fitnah tetapi memang kes dan telah terbukti di Amerika Syarikat (AS). Hendak selindung apa lagi? Mengaku sahajalah.

Bagi saya, selagi kita tidak selesaikan isu ini, susah bagi UMNO dan BN untuk bangkit kembali. Isu ini akan hidup dua atau tiga tahun lagi selagi tidak selesai kes di mahkamah. Setiap kali ada perbicaraan, ia akan mainkan semula 1MDB, berapa banyak dirompak dan diambil.

Najib cakap pasal ekonomi itu betullah tetapi semua fokus beliau sekarang ini adalah 1MDB. Macam temu bual dengan Al Jazeera, beliau hendak cakap pasal ekonomi tetapi tidak ada orang mahu dengar beliau cakap pasal ekonomi.

Kalau kita tengok, banyak juga kebaikan daripada 1MDB seperti program penajaan haji. Mungkin ada orang beranggapan apa salahnya?

KHAIRY: Apakah kebaikan itu boleh menghalalkan ‘perompakan’? Hasil pendapatan itu mestilah hasil yang halal. Kita tidak boleh cuci dosa rompakan kita dengan kita menggunakan sebahagian duit yang kita rompak itu untuk buat kebaikan. Tidak boleh.

Ada penyokong Najib cuba menyamakan apa yang beliau lakukan dalam isu 1MDB dengan apa yang Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad buat dalam isu urus niaga mata wang asing (forex) dahulu. Komen YB?

KHAIRY: Ada perbezaan sedikit. Forex itu adalah kerugian yang datang daripada kesilapan spekulasi mata wang. Bukan beliau gunakan negara kita untuk terbitkan hutang bon dan hutang bon itu diambil untuk perbelanjaan sendiri. Itu salah.

Bagi saya, kita jangan hidup dalam penafian. Kalau kita terus menafikan realiti, saya rasa kesan kepada UMNO lagi teruk. Sebab rakyat akan kata, sudah kalah dan sudah didedahkan segala-galanya, pun masih tidak hendak terima.

Sebab itu, saya lebih suka berpijak di bumi nyata. Beliau hendak kata saya lalang, oportunis atau cakap apa pun pasal saya, cakaplah. Tetapi bagi saya, apabila kita sudah berdepan dengan realiti macam ini dan kita tidak mahu mendakap realiti itu, ada sesuatu yang tidak kena.

Mereka yang masih lagi hendak sokong, memberikan alasan dan menafikan realiti, mereka ini sebenarnya adalah liabiliti sangat besar terhadap UMNO. Sebab rakyat kata dalam keadaan hari ini pun masih hendak pertahankan, apa lagi hendak kita tunjuk?

Mungkin UMNO perlu memutuskan hubungan dengan Najib supaya tidak terus terpalit dengan isu 1MDB?

KHAIRY: Kalau pecat dan ambil tindakan, kerisauannya kita berpecah. Ada yang cadangkan supaya kumpulan yang masih tidak boleh menerima realiti itu dan kumpulan yang macam saya, elok kita duduk semeja bincang.

Tetapi bincang macam mana pun ia akan balik kepada soalan itu juga, mereka tidak boleh terima realiti. Bagi Datuk Lokman Noor Adam, Najib tidak salah dan skandal 1MDB tidak wujud. Jadi, di situ dah ada satu jurang terlalu besar antara saya dan dia yang tidak dapat ditutup.

Ini soal apa yang saya percaya dan dia percaya. Saya percaya 1MDB adalah skandal, tetapi mereka masih percaya 1MDB bukan skandal. Selagi benda ini tidak dapat diselesaikan, UMNO akan terus begitu. Kalau berlaku pemilihan dalam UMNO, tiga tahun lagi dan ada presiden baharu yang berani kata 1MDB adalah skandal dan siapa masih hendak menegak benang basah, sila keluar, baru ada noktah.

Minta maaflah, presiden pun ada masalah beliau sendiri dan tidak terfikir pasal 1MDB dan beliau pun kawan baik Najib. Beliau serba salah hendak cakap walaupun saya tahu Ahmad Zahid sudah terima realiti.

Selagi tiada noktah, UMNO tidak akan pulih dan bangkit semula. Kita terpaksa tunggu dalam ‘alam barzakh politik’ dan menjawab soalan “Apakah skandal 1MDB itu benar? Ya benar”.

Sekarang ini ada banyak cerita yang timbul tentang percaturan politik antara Tun Dr. Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan mahu menarik Ahli-ahli Parlimen UMNO. Bagaimana YB melihat keadaan ini?

KHAIRY: UMNO ini adalah aset yang berharga sebab kita ada 48 Ahli Parlimen dan kalau dicampur dengan MCA, MIC dan Bebas, kita ada lebih 50 ahli Parlimen. Jadi, siapa yang dapat aset ini, dia kuat. Kita semua tahu percaturan politik. Bukan orang tak tahu. Bersatu ada 14 Ahli Parlimen.

Kalau Dr. Mahathir sudah tidak ada, Muhyiddin pun tidak berapa sihat. Bersatu tidak ada barisan pemimpin. Kalau hendak bina, akan ambil masa panjang. Yang paling mudah, mereka ambil orang UMNO. Kalau Dr. Mahathir dapat 40 Ahli Parlimen UMNO, beliau akan dapat menentukan siapa yang akan jadi pengganti beliau.

Sekarang ini ada janji Anwar akan mengambil alih. Tetapi kalau Bersatu sudah jadi parti paling besar, macam macam boleh berlaku. Tetapi saya tidak mahu UMNO dijadikan alat dalam percaturan politik ini. Sebab kita ada banyak masalah dan kita mahu pulihkan UMNO. Jadi, kenapa pula kita hendak menjadi alat dalam percaturan politik Dr. Mahathir dan Anwar. Macam tidak ada maruah.

Dalam keadaan nasib orang Melayu dan bumiputera tidak terbela, ada orang kata, apa salahnya kalau ahli Parlimen UMNO melompat ke Bersatu?

KHAIRY: Itu skrip kenyataan media yang sudah ditulis kalau kita hendak lompat. Tidak semestinya kita berada dalam satu parti untuk kita membela nasib Melayu. Macam saya bahas bagi BN, bangkitkan soal nelayan, petani dan sebagainya.

Anwar pun bangkitkan hal yang sama. Dapat perhatian daripada kerajaan. Tidak perlu saya menjadi satu parti dengan Anwar. Begitu juga tentang Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). UMNO, Pas dan Bersatu bantah. Tidak perlu kita menjadi satu parti.

Dalam hal ini, ada orang kata, ahli UMNO lebih bersedia bekerjasama dengan PKR berbanding Bersatu kerana tidak dapat menerima Dr. Mahathir yang telah memusnahkan UMNO. Komen YB?

KHAIRY: Ada pelbagai pandangan. Dari segi DNA parti, Bersatu lebih kurang dengan UMNO dari segi struktur, perjuangan dan perlembagaan parti.

Tetapi PKR berbeza kerana ia adalah parti berbilang kaum. Yang tidak boleh menerima Dr. Mahathir, mereka mungkin boleh menerima PKR. Tetapi yang berjiwa Melayu UMNO, mereka lebih kepada Bersatu sebab tengok Bersatu lebih kurang macam UMNO.

Saya nampak majoriti yang fikir pasal penghijrahan ini dalam UMNO, mereka lebih melihat kepada Bersatu. Walaupun mungkin ada rasa tidak puas hati terhadap Dr. Mahathir yang telah memusnahkan UMNO tetapi dari segi perjuangan, mereka lebih selesa dengan Bersatu.