Sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang terkenal dengan prinsip untuk membersihkan politik daripada amalan rasuah dan salah guna kuasa turut terkena tempiasnya apabila pendirian tegasnya menentang cadangan itu telah mewujudkan perasaan tidak puas hati segelintir pemimpin Bersatu sehingga wujud usaha untuk menyingkirnya.

Bagi mendapatkan pandangan berhubung pendirian Armada mengenai pemberian projek bagi kelangsungan parti, wartawan Mingguan Malaysia, Saifulizam Mohamad dan Sharaimei Shaik Ahmedullah bersama jurugambar Rashid Mahfof menemu bual Menteri Belia dan Sukan itu di pejabatnya di Kementerian Belia dan Sukan, baru-baru ini untuk mengupas lebih lanjut mengenai isu tersebut.

MINGGUAN MALAYSIA: Apakah reaksi Yang Berhormat sebaik sahaja mendengar ucapan kontroversi daripada Naib Presiden Bersatu tersebut baru-baru ini? 

SYED SADDIQ: Perasaan saya bercampur baur antara kecewa dan marah sebab tujuan utama saya masuk ke dunia politik adalah untuk membersihkan politik bukan mengekalkan budaya yang sama sehingga politik khidmat dibelakangkan, memang tidak boleh dinafikan bahagian-bahagian memerlukan sumber kewangan tetapi seperti saya dan Armada tekankan guna saluran yang sah.

Kita kena ingat dan imbas semula, sebelum ini kita membuat program secara kecil-kecilan di warung, restoran mamak, edar poster dan risalah yang tidak memakan kos tinggi tetapi mementingkan semangat kesukarelaan dan untuk berkhidmat. Walaupun duit itu penting tetapi jangan sesekali lupa prinsip utama kita masuk ke dunia politik dan bagaimana kita hendak bersihkan dunia politik dan pastikan politik khidmat menjadi isu utama. Kita juga ingin pastikan budaya kronisme serta salah guna kuasa dihentikan.

Ada pihak yang mempertikaikan kecaman daripada Armada dan menegaskan mereka perlu dana untuk menghulurkan bantuan, apa pandangan?

SYED SADDIQ: Kalau kita ikhlas mahu membantu rakyat, guna saluran yang betul dan sah, saya ambil contoh di Parlimen Muar iaitu kawasan saya jika rakyat datang dan saya tiada mereka boleh pergi ke pusat khidmat atau berjumpa rakan-rakan saya untuk minta bantuan. Selalunya kalau mereka minta bantuan bukan melibatkan beribu-ribu ringgit, biasanya mereka akan minta bantuan segera seperti kerusi roda. Kalau saya tidak boleh beri waktu itu saya akan panggil kawan untuk menderma seorang sedikit.

Perkara ini kita pernah buat dahulu masa sebelum menjadi kerajaan dan berjaya. Jadi saya percaya perkara yang sama boleh dilakukan sekarang. Saya juga ingin tekankan apabila rakyat memilih kerajaan baharu mereka tidak memilih kerajaan Bersatu, Pas, UMNO, DAP, MCA dan lain-lain tetapi mereka memilih kerajaan Malaysia yang bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan seluruh rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan politik.

Ada yang mempertikaikan bagaimana ketua-ketua bahagian mampu bertahan jika tidak mempunyai dana atau projek sendiri?

SYED SADDIQ: Guna saluran yang sah, sebelum ini masa kita menjadi pembangkang kita tetap mampu menggerakkan satu gelombang yang sungguh kuat, apabila sudah dalam kerajaan kita tidak diugut dan tidak perlu disogok kerana kita sudah berada dalam kerajaan jadi bila sudah berada dalam posisi ini jangan kita khianati rakyat dan janji kita sebelum ini.

Dahulu ketika menjadi pembangkang kita susah hendak bergerak selalu kena ugut malah, hendak menggunakan dewan pun tidak boleh tetapi tetap boleh menang. Sekarang apabila sudah dalam kerajaan dan tiada lagi rintangan seperti ini apa lagi alasan yang hendak diberikan?

Ingin saya tekankan jangan sampai kita termakan dengan politik wang sehingga politik wang dijadikan isu utama untuk berkhidmat kepada rakyat. Bahayanya apabila berkiblat pada wang ia akan merebak sedikit demi sedikit sebab itu kita kena cepat tamatkan kalau biarkan akan menjadi lebih teruk.

Bagaimanapun saya bernasib baik sebab Tun Dr. Mahathir Mohamad; Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyokong penuh kami. Perkara ini sangat penting. Jika kita tidak tamatkan perbincangan ini segera orang akan ingat kita ok.

Difahamkan banyak ketua bahagian yang kurang senang dan mahu menjatuhkan Yang Berhormat, adakah ini membimbangkan?

SYED SADDIQ: Sebelum pilihan raya umum (PRU) lalu pun saya sudah sebut sama ada menang atau kalah pendirian tetap kekal. Saya selalu ingat balik kenapa saya masuk politik, adakah hendak menjadi menteri atau mendapatkan kontrak?

Jawapannya tidak, saya masuk untuk membersihkan politik, menang atau kalah itu adat. Kalau betul pun perkara itu terjadi saya perlu bermuhasabah tetapi pendirian perlu kekal tidak guna saya bermain secara selamat atau ikut sentimen populis yang akhirnya hilang jati diri dan lupa diri.

Adakah ini bermakna Yang Berhormat tidak gentar terhadap ugutan dan ancaman?

SYED SADDIQ: Tidak.

Isu ini timbul apabila terdapat desas-desus pemilihan parti makin hampir dan ketua-ketua bahagian memerlukan dana, benarkah dakwaan tersebut?

SYED SADDIQ: Setiap parti ada pemilihan tetapi apa yang rakyat mahu? Rakyat marah apabila pemilihan parti diselubungi politik wang dan pemberian kontrak. Adakah kita hendak mengulangi kesilapan sama? Ini adalah pemilihan pertama Bersatu dan kita tidak mahu ia dicemari dengan isu politik wang, kontrak dan jawatan.

Kebanyakan ahli Bersatu memang sudah mempunyai pekerjaan seperti cikgu, peniaga kecil, peneroka dan lain-lain, mereka masuk politik bukan mahukan jawatan. Jadi ahli akar umbi inilah yang kita perlu jaga dengan baik sebab mereka mencerminkan budaya Bersatu yang sebenar.

Pada pemilihan akan datang saya akan pastikan isu utama adalah isu khidmat dan prinsip parti bukan isu luar seperti duit dan jawatan.

Ada yang berpendapat Yang Berhormat seorang anak muda yang penuh dengan idealisme dan cuba menongkah arus dalam politik, adakah Yang Berhormat tidak melihat ini berbahaya pada diri sendiri?

SYED SADDIQ: Bagi saya perkara tersebut bukan menongkah arus tetapi melibatkan isu prinsip, tujuan saya masuk politik perlu dikekalkan kalau mengikut arus pasti senang, mudah, tiada rintangan dan tentangan tetapi akhirnya arus itu akan memakan kita, keluarga dan kampung sebab itu saya tekankan jangan menang sorak, kampung tergadai.

Jika kita mulakan budaya itu ia sedikit demi sedikit membesar dan akhirnya kita tidak mampu lakukan apa-apa kerana sudah terlalu lambat lebih baik bertindak sekarang, mungkin berjaya mungkin gagal dan disingkirkan tetapi yang paling penting niat kita ikhlas dan telah cuba melakukan sesuatu.

Yang Berhormat pernah menyebut bersedia keluar parti kalau ada penyangak dan perompak dalam Bersatu, adakah kelompok itu sudah berada dalam Bersatu sekarang?

SYED SADDIQ: Saya tekankan perkara itu kerana hendak tunjukkan kepada rakyat bahawa Bersatu akan sentiasa ditadbir oleh mereka yang bermaruah, beramanah dan berintegriti walaupun ada segelintir bermasalah tetapi ia tidak merangkumi budaya parti secara keseluruhan. Armada sebagai sayap anak muda yang penuh dengan idealisme perlu sentiasa memacu perubahan tersebut walaupun dilihat menongkah arus.

Tetapi ramai yang bimbang budaya lama akan menyerap dalam Bersatu apabila ramai bekas ahli Parlimen dan pemimpin UMNO masuk ke Bersatu,

SYED SADDIQ: Saya tidak akan benarkan budaya yang lama menjadi budaya Bersatu.

Jadi apakah tindakan?

SYED SADDIQ: Ada beberapa tindakan yang pertama untuk menubuhkan satu jawatankuasa yang akan memperhalusi setiap pimpinan UMNO yang akan menyertai Bersatu, ahli UMNO kita tiada masalah kita tidak boleh memerangi ahli UMNO sebaliknya mereka perlu didekati, berbincang, berdialog dan berikan hala tuju yang jelas supaya mereka bersama kita kerana akhirnya kita serumpun dan orang Melayu.

Bagi pimpinan sedia ada, kita ada beberapa prasyarat yang pertama kena ikhlas minta maaf kepada rakyat, kedua kena isytihar aset macam Tok Pa (Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed), ketiga lakukan saringan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya tiada kes rasuah dan salah guna kuasa kerana rakyat inginkan pemimpin yang beramanah dan berintegriti.

Pada masa sama, kita juga tidak boleh terima semua, ambil mereka yang boleh memperjuangkan masa depan anak bangsa sahaja.

Setakat ini bagaimana sokongan rakyat kepada Bersatu?

SYED SADDIQ: Sokongan rakyat kepada Dr. Mahathir memang sangat tinggi tetapi pada masa sama Bersatu perlu bekerja lebih keras bagi memastikan sokongan yang sedia ada berterusan atau boleh ditambah baik khususnya anak muda.

Kita kena ingat dan insafi apabila rakyat mahukan perubahan bila-bila masa sahaja mereka boleh buat kalau yang 60 tahun pun boleh ubah, setakat lima tahun mereka boleh ubah bila-bila masa sahaja. Sebab itu saya tekankan kepada rakan-rakan saya khususnya dalam Armada untuk bekerja keras seperti pembangkang tetapi berkhidmat seperti kerajaan.

Selain banyak pihak yang mahu melihat Dr. Mahathir memimpin PH sehingga PRU-15, terdapat juga desakan supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan itu seperti yang dijanjikan, apa komen Yang Berhormat dan Armada?

SYED SADDIQ: Armada akan sentiasa bersama Dr. Mahathir dan menghormati apa yang diputuskan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH). Saya juga salah seorang penandatangan utama dalam perjanjian transisi kepimpinan antara Dr. Mahathir dan Anwar.

Pada waktu itu saya wakil anak muda dalam PH, ketika itu memang tiada perbincangan mengenai tempoh masa sama ada lima atau tiga tahun dan sebagainya, sama seperti yang disebut Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan pemimpin lain.

Saya juga masih ingat waktu dan tempat di mana tandatangan itu dibuat kerana ia merupakan satu detik bersejarah pada saya, memang ada transisi tetapi tiada masa khusus namun, Dr. Mahathir sendiri yang menyebut dua tahun baru-baru ini.

Yang Berhormat bertuah kerana mendapat sokongan daripada Armada, apa pandangan terhadap sayap Bersatu itu?

SYED SADDIQ: Saya bernasib baik kerana tanpa mereka siapalah saya, mereka ini bersama saya dari peringkat awal. Uniknya Armada, sejak penubuhannya kita tidak ikut cara pemilihan parti-parti lain misalnya kalau parti lain masa mula-mula penubuhan parti, ketua itu akan diberi kuasa untuk memilih kawan-kawan atau yang mereka kenal tetapi dalam Armada kita ambil resume dan saya buka pada semua yang hendak.

Banyak yang saya tidak kenal langsung hanya jumpa masa temuduga tetapi yang uniknya mereka inilah yang kekal sehingga kini.

Armada sekarang sudah menjadi seperti satu keluarga kalau ada apa-apa serangan terhadap mereka ia sama saja seperti serangan ke atas saya. Kerana kejayaan dan kekalahan dirasai bersama. Saya juga akan sentiasa terhutang budi kepada mereka.

Ada pihak beranggapan penampilan Yang Berhormat seperti tidak menepati protokol, setuju?

SYED SADDIQ: Protokol perlu ikut masa jangan sampai terlalu berprotokol sampai kita membina dinding antara kita dan rakyat. Misalnya ketika mesyuarat Kabinet takkan hendak berpakaian sukan tetapi hari ini ada aktiviti bersukan dan berjumpa dengan persatuan sukan jadi saya perlu berpakaian mengikut kesesuaian majlis. Bagaimanapun, saya terima kritikan tersebut dengan hati terbuka.

Boleh kongsikan tiga perkara yang sebelum ini boleh dibuat tetapi sejak menjadi menteri sukar untuk lakukan.

SYED SADDIQ: Pertama, cuti bersama keluarga dahulu memang setiap tahun mesti ada sekali kadang-kadang tidak lama pun tiga hari sahaja tetapi kini tidak boleh.

Kedua, luangkan masa bersama kawan-kawan untuk tengok wayang, sekarang kena hadapi realiti bekerja dari Isnin sampai Ahad. Dating (janji temu) pula kena kebelakangkan tetapi banyak rakan Kabinet suka mengusik saya sebab masa cuti mereka boleh bawa anak dan isteri tetapi saya tidak. Mereka juga selalu nasihatkan saya cepat ada keluarga supaya hilang tekanan.

Agak-agak bila mahu tamatkan zaman bujang, dalam masa terdekat ini?

SYED SADDIQ: Saya pun tidak tahu, masih terlalu awal, kerja ini merupakan 'perkahwinan pertama' saya dengan kementerian, kerja harus diutamakan 'perkahwinan kedua' nanti fikir lain.

Maksudnya sudah mempunyai calon atau teman wanita?

SYED SADDIQ: Ishh...tiada, kalau ada emak saya yang pertama tengok, siapakah dia?

Adakah sekarang susah hendak jumpa ibu dan bapa?

SYED SADDIQ: Bila saya turun Muar jumpa mereka, sekarang ayah ada di rumah tapi sedih bila saya balik macam semalam balik pukul 1 pagi ayah sudah tidur, saya bangun pagi keluar awal, ayah belum bangun, tapi dia faham dan dia kata walaupun tak jumpa janji dia tahu saya ada bersama dalam satu rumah.