MOHD. LAILI BASIR
MOHD. LAILI BASIR

Sebaik sahaja banjir surut, kawasan yang ditenggelami air dipenuhi dengan selut dan tanah merah dan ini terjadi di tengah-tengah bandar. Dari mana selut-selut ini datang?

Kini, dalam kita tidak sedar (atau sengaja tidak sedar) kawasan paling kritikal di Pahang bakal mengalami nasib yang sama jika tidak diberikan perhatian dengan baik. Merapoh. Satu nama yang tidak ramai tahu, mungkin ada yang tidak tahu wujudnya pekan ini di Malaysia. Tidak keterlaluan boleh dikatakan, masyarakat luar negara lebih mengenali Merapoh berbanding rakyat Malaysia.

Bagi peminat aktiviti mendaki, Merapoh yang terletak di dalam daerah Kuala Lipis, menjadi pintu masuk utama ke Taman Negara Pahang bagi mereka untuk menjejaki Gunung Tahan.

Selain mereka, peneroka gua dan penjejak habitat atau spesies baharu hutan hujan Khatulistiwa turut menjadikan Merapoh sebagai destinasi tumpuan.

Merapoh selain menjadi habitat kepada pelbagai spesies tumbuhan yang unik, ia juga merupakan santuari terakhir bagi hi­dupan liar termasuk harimau, ga­jah, tapir, beruang dan kam­bing gua.

Namun hari ini, Gua Hari Malaysia salah satu aset Merapoh diancam kepupusan dek kerana pokok-pokok balak ditebang dan sungai-sungai dikambus sehingga melenyapkan laluan ke gua yang menjadi antara lokasi wajib lawat pelancong luar negara jika ke Merapoh.

Isunya di sini bukan hanya Gua Hari Malaysia yang mahu dilenyapkan, namun tulang belakang negara kini sedang menghadapi bahaya ha­sil kerakusan manusia menggondolkan hutan hujan tertua di dunia itu.

Perlu diingat, Merapoh bukan hanya ada satu Gua Hari Malaysia sahaja. Merapoh ada ratusan gua yang bernilai tinggi dan ada yang masih belum diteroka.

Fakta ini dikuatkan dengan kajian oleh Jabatan Mineral dan Geosains Pahang di Gua Panjang dan Gua Tahi Bintang dan didapati terdapat sumber batuan dolomit yang mengandungi magnesium di kedua-dua gua tersebut.

Menurut pakar geologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Mohd. Rozi Umor dalam satu laporan Utusan Malaysia pada September tahun lepas, gabungan geotapak yang disenaraikan itu memiliki pelbagai keunikan, sekali gus melayakkan Merapoh boleh diangkat sebagai geotaman gua batu kapur terbaharu di Malaysia. Namun semua ini bakal lenyap.

Dalam pada itu, aktivis pemuliharaan Merapoh, Mohd. Laili Basir mendakwa 1,052.18 hektar kawasan hutan dara Merapoh kini diancam aktiviti pembalakan dan bakal memberi impak kepada sumber air bersih bagi 10,000 penduduk sekitar.


Video Oleh MOHD LAILI BASIR

“Gua-gua dan hutan di Merapoh terletak amat hampir dengan tulang belakang Semenanjung Malaysia dan jika terlalu banyak aktiviti penerokaan hutan dan melombong, agak-agak apa yang akan berlaku?

“Berani saya katakan, dianggarkan 75 pe­ratus air di Semenanjung datangnya dari Merapoh yang menjadi kawasan tadahan hujan, agak-agak apa akan jadi kalau terlalu banyak penerokaan di sini?” tegasnya.

Selain itu, Laili tu­rut mendakwa tin­jauan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pemuliharaan alam sekitar di Merapoh mendapati, ada kawasan pembalakan seluas 668.79 hektar telah diluluskan namun ini telah melebihi syarat minimum yang ditetapkan oleh Perintah Kualiti Alam Seke­liling (Aktiviti Yang Ditetapkan)(Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling 1987) berdasarkan kepada jadual 6 Perhutanan: (c) Pembalakan meliputi kawasan seluas 500 hektar atau lebih.

“Jadi sudah pasti satu laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) perlu bagi kerja-kerja pembalakan di sini dan setahu saya, tiada laporan EIA dari mana-mana pihak di Merapoh diterima. Jadi bagaimana balak boleh dikeluarkan?” dakwanya yang kini giat mempromosikan kempen #savemerapoh bagi menyelamatkan hutan hujan ini daripada dimusnahkan.

Dalam pada itu, pakar alam sekitar Universiti Teknologi Ma­laysia (UTM), Prof. Maketab Mo­­­hamed melalui laman Facebo­ok­nya pada 3 November lalu, berang dengan keadaan yang terjadi di Merapoh ketika ini.

Beliau yang sering vokal dalam mempertahankan kelestarian alam sekitar mendakwa penyangak alam sekitar itu sedang giat merobek kawasan tadahan loji Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) di Merapoh yang membekalkan air terawat kepada enam hingga tujuh kampung sekitar pekan itu.

“Dulu air Sungai Merapoh Kelas 1, tak perlu pun tawas untuk mengurangkan kekeruhan, hanya perlu sedikit klorin untuk membunuh bakteria, tapi sekarang di­sebabkan pembalakan, tawas sudah tentu diperlukan,” tegasnya.

Mungkin apa yang berlaku di Merapoh ada sedikit sinar selepas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin mengarahkan Jabatan Perhutanan Pahang diarah segera memantau isu pembalakan dan pembukaan hutan seluas 668 hektar di Mukim Batu Yon yang di­bimbangi menjejaskan sektor ekopelancongan dan khazanah alam flora dan fauna unik.

Namun, kenyataan itu dibuat ketika proses pembalakan sedang giat dijalankan untuk tujuan pembersihan hutan. Adakah kita mahu lihat Merapoh menjadi punca kepada bencana alam yang dahsyat di Semenanjung Malaysia hasil kerakusan manusia?

Apa lagi alasan mereka yang rakus ini mahu merobek keindahan alam yang ada di Merapoh. Jika tidak kita, siapa lagi yang mahu menyelamatkan saki baki alam flora dan fauna anugerah Allah ini?