Tidak disangka juga, Timbalan Setiausaha Agung DAP itu yang menguasai bahasa Melayu berjaya mendapat kepercayaan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menduduki kerusi penting kepada lambang struktur demokrasi berparlimen negara di sebalik dirinya yang sering dilabel sebagai seorang cauvanis dan anti-Melayu.

“Ramai salah faham dan tuduh saya sebagai Cina cauvinis, itu tidak tepat. Saya ini betul-betul tulen anak Malaysia yang akan sentiasa menjunjung tinggi Perlembagaan Malaysia,” katanya kepada Wartawan Mingguan Malaysia, BADRUL HAFIZAN MAT ISA dan juruvideo Utusan Online, MOHD. FIKRI PADIL @ FADZIL di pejabatnya di Parlimen baru-baru ini.

 

 

MINGGUAN: Apa komen Yang Berhormat (YB) apabila banyak pihak memuji kemampuan YB selepas berjaya mengendalikan sidang Dewan Rakyat dengan cukup profesional malah penguasaan bahasa Melayu YB juga cukup baik dan turut menarik perhatian.

KOR MING: Saya berasa terharu dan bangga dengan tanggungjawab dan peranan baru ini kerana saya sedar ini merupakan tanggungjawab dan amanah cukup penting. Saya juga bersyukur kerana kali ini merupakan penggal kelima saya dipilih sebagai wakil rakyat.

Sepanjang lima penggal ini saya mempunyai pengalaman di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) serta di Dewan Rakyat, sehubungan itu tentunya pengalaman itu banyak membantu saya, malah profesion saya sebagai seorang peguam yang mempunyai latar belakang undang-undang membuatkan saya berasa cukup faham dengan perintah-perintah tetap peraturan mesyuarat.

Memang sebagai peguam, saya arif dengan undang-undang dan ini banyak membantu saya untuk mengendalikan persidangan dewan ini secara profesional dan tertib.

Setakat ini saya cukup terharu kerana dapat pujian daripada beberapa pemimpin termasuk daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin turut menulis artikel dan memuji tahap penguasaan bahasa Melayu saya.

Sikap profesional dan tertib YB berbeza dengan pandangan banyak pihak terhadap YB yang disifatkan mereka sebagai celupar, lantang, rasis serta anti-Melayu dan Islam.

KOR MING: Ramai orang tak faham, mereka ingat Nga Kor Ming ini seorang Cina cauvinis namun itu sebenarnya langsung tidak tepat. Rumah yang saya duduki hanya berada di sebelah masjid, setiap hari saya dengar azan berkumandang.

Bukan setakat itu, saya sebenarnya lahir di Kelantan dan semasa masih belajar di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya dapat gred A untuk mata pelajaran Bahasa Melayu. Manakala semasa menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) saya bersyukur dapat keputusan A untuk mata pelajaran Kesusasteraan Melayu dan Sejarah Islam.

Selain itu, apabila menjadi wakil rakyat, saya sebenarnya merupakan penyumbang utama majlis berkhatan beramai-ramai di Masjid Kampung Expo, Taiping, bukan setahun tetapi untuk enam tahun berturut-turut.

Waktu itu walaupun ada pihak yang mempunyai fahaman sempit cuba membangkitkan pelbagai isu mengenai saya, tapi saya mahu membuktikan bahawa saya merupakan wakil rakyat untuk semua rakyat Malaysia.

Apabila saya menjadi penaja program tersebut, setiap tahun terdapat kira-kira 100 orang budak Melayu menyertai majlis berkhatan itu. Pada satu hari semasa saya melawat kawasan, ada seorang budak Melayu datang dan terus mencium tangan saya. Saya bertanyakan kepadanya, adakah dia mengenali saya, dia menjawab kenal kerana ketika dia berkhatan saya yang memberikan tajaan.

Oleh sebab setiap tahun saya menaja majlis berkhatan tersebut, pernah imam masjid berkenaan meminta saya untuk turut menjadi peserta - bukan hanya sebagai penyumbang majlis sahaja.

Setiap tahun saya membelanjakan elaun saya untuk majlis tersebut dan memperuntukkan sebanyak RM5,000 bagi setiap majlis terutama bagi membantu untuk masyarakat asnaf dan miskin.

Setiap kali tiba bulan Ramadan, saya juga sering menghadiri majlis berbuka puasa dan turut memberikan sumbangan kepada pihak surau dan masjid kerana saya percaya bahawa Parti DAP adalah parti untuk semua anak Malaysia.

Bagi saya, Melayu, Cina, India adalah keluarga saya. Ini yang saya ingin tegaskan sebab itu jika mereka mengenali saya, mereka tahu kami di DAP bukanlah parti rasis dan pemimpin seperti saya ini betul-betul tulen anak Malaysia dan selaras dengan impian Malaysia Baru dan kerajaan baru ini.

Cabaran utama kita apabila mahu menjalankan tugas adalah untuk menukar cara pemikiran, fahaman sempit, fahaman pelampau dan radikal. Itu semua seharusnya ditinggalkan bak kata pepatah Melayu, “buangkan yang keruh dan ambil yang jernih.”

Fahaman perkauman ini adalah sikap assabiyah dan dilarang oleh Nabi oleh itu jika betul-betul menjunjung ajaran Islam yang sebenar, seharusnya kita meninggalkan fahaman-fahaman sempit.

Stiap orang Melayu, India, Cina, Kadazan ataupun Dusun kita harus bangunkan bangsa Malaysia supaya negara ini di mata dunia sentiasa disegani dan dihormati. Inilah tanggungjawab kita bersama, di bawah impian Malaysia Baru dengan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sebelum ini YB pernah dituduh sebagai rasis apabila terpalit dengan kontroversi ‘hitam metalik’ yang dikaitkan dengan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, apa komen YB?

KOR MING: Itu merupakan kisah lama, kerana bagi kami pada waktu itu berlakunya rampasan kuasa di negeri Perak. Waktu itu ada jugalah kata-kata yang tidak senonoh sebab itu saya sudah memohon maaf secara terbuka.

Jika saya lakukan kesilapan wajar saya memohon maaf dan tidak mengulangi lagi. Kenyataan saya itu terpulang kepada tafsiran orang tapi jika kita ikuti ceramah yang selama satu jam mesti ada satu dua perkataan yang orang petik dan kemudian ‘edit’, perkara itu bagi saya biasa berlaku.

YB juga sebelum ini pernah mendapat kecaman kerana pernah bersikap lantang mengkritik Dr. Mahathir namun kini YB menjadi ahli Parlimen PH yang berkhidmat di bawah pimpinan Dr. Mahathir, apa komen YB?

KOR MING: Tun Dr. Mahathir merupakan legenda yang tiada tolok bandingnya. Dalam usianya yang mencecah 93 tahun, sudah tentu saya cukup kagum dan hormat dengan beliau. Sebenarnya waktu perasmian pembukaan Parlimen baru-baru ini, itu kali pertama saya duduk semeja dengan Tun Dr. Mahathir dan beliau berada di depan saya.

Pada waktu itu, beliau berkata bahawa saya bagus dalam berucap, saya membalasnya dan berkata bahawa saya masih lagi dalam proses belajar. Tun Dr. Mahathir kemudiannya menasihati supaya saya mesti belajar untuk mengawal diri sendiri dan bagaimana untuk mengawal ahli Parlimen yang lain.

Apa yang penting katanya bagaimana saya perlu menjadi seorang yang neutral. Saya amat menghargai dan berterima kasih kepada Tun Dr. Mahathir kerana peluang yang diberikannya kepada saya untuk belajar, supaya boleh jadi seorang yang baik dan budiman dengan sikap yang lebih neutral dan objektif.

Memang dulu saya seorang yang lantang tetapi apabila usia makin meningkat, tentunya saya akan belajar daripada kesilapan dahulu dan harus memperbaiki diri.

Penguasaan Bahasa Melayu

Penguasaan bahasa Melayu YB cukup dipuji, malah YB telah berkongsi tadi tentang kejayaan memperoleh keputusan cemerlang dalam mata pelajaran Bahasa Melayu semasa SPM dan mata pelajaran Kesusasteraan Melayu semasa STPM, apakah rahsianya?

KOR MING:
Saya tidak berani kata bahawa tahap bahasa Melayu saya sangat baik, tapi minat saya untuk belajar bahasa Melayu bermula daripada ibu saya. Saya mahu berterima kasih kepadanya.

Bapa saya merupakan seorang guru sekolah Cina dan saya juga belajar di sekolah Cina, tetapi ibu saya selalu mengajar saya bahasa Melayu lagipun dia orang Kelantan. 

Dia merupakan seorang kerani di sekolah tapi setiap malam dia akan ajar saya bahasa Melayu. Sejak itu saya sudah jatuh cinta dengan bahasa Melayu, kerana saya percaya bahasa Nusantara ini bahasa yang cukup indah sekali. 

Saya juga amat terpegun dengan pantun serta peribahasa-peribahasa Melayu yang jelas menunjukkan simbol kebijaksanaan orang Melayu. 

Baru-baru ini saya ada menegur Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan memintanya supaya terus untuk bersikap berhemah dan jangan hanya ‘hangat-hangat tahi ayam’. Ini semuanya mencerminkan keunikan dan keindahan bahasa Melayu. 

Masyarakat Melayu jangan salah faham, saya memang belajar di sekolah Cina, tapi sekolah Cina juga ada mengajar Bahasa Melayu sehingga saya mampu memperoleh gred A dalam SPM, 

Oleh itu bagi saya apa yang penting adalah sikap seorang murid sama ada mereka sudi untuk belajar ataupun tidak. Kita boleh hantar mereka ke sekolah Melayu tetapi kalau murid itu sendiri yang malas, dia boleh gagal juga dalam Bahasa Melayu.

Namun pada masa yang sama, masih terdapat ahli Parlimen yang gagal menguasai malah bertutur dengan baik dalam bahasa Melayu termasuk daripada DAP sendiri, apa komen YB?

KOR MING:
Dalam aspek ini saya rasakan semua ahli Parlimen perlulah belajar dan saya harap rakyat harus berikan mereka ruang untuk belajar. Tetapi kita jangan lupa bahawa dalam kalangan 222 orang Ahli Parlimen masing-masing mempunyai latar belakang yang cukup unik dan majmuk, 

Selepas saya dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua, barulah saya menyedari mengenainya. Kita ada wakil rakyat daripada etnik Dayak dan Iban serta ahli-ahli Parlimen lain dari Sarawak dan Sabah, barulah kita sedar bahawa Malaysia ini cukup indah sekali. 

Inilah keistimewaan dan keunikannya apabila Tuhan menciptakan manusia berbagai-bagai bangsa, cuma jika boleh saya meminta untuk semua wakil rakyat ini haruslah menguasai bahasa kebangsaan, tidak kira apa juga parti.

Kenapa perlu iktiraf UEC?

Sejak kebelakangan ini terdapat beberapa kenyataan pemimpin DAP yang tidak disenangi orang Melayu termasuklah dalam isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) sehingga terdapat perhimpunan bantahan terhadapnya. Apa pandangan YB?

KOR MING:  
UEC ini adalah kebanggaan negara kita, sijil ini telah bermula sejak tahun 1974. Ini adalah isu akademik dan pendidikan dan tidak seharusnya menjadi isu politik ataupun perkauman. 

Apa yang penting UEC ini mencapai tahap akademik yang setaraf dengan sijil peperiksaan antarabangsa yang lain. 

Setahu saya, sejak 1974 tahap akademik UEC ini telah mendapat pengiktirafan antarabangsa dan setakat ini UEC telah dijadikan kelayakan untuk memasuki universiti-universiti tersohor di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan Singapura. 

National University of Singapore yang menduduki ranking 15 terbaik dunia juga memberikan biasiswa penuh kepada pelajar UEC kerana negara itu sedar mereka amat memerlukan bakat muda. Jika kerajaan tidak mengiktiraf UEC, itu adalah kerugian besar kepada negara kita. 

Jangan dilupa dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) apabila kita berjanji mahu mengiktraf UEC, ada syarat yang perlu dipenuhi iaitu semua pelajarnya mestilah mengambil peperiksaan bahasa Melayu di peringkat SPM dan mereka perlu lulus dan barulah sijil UEC mereka itu diiktiraf. 

Jika begitu, bahasa kebangsaan akan terus dihormati dan pihak Dong Jiao Zong yang bertanggungjawab melakar silibus ini juga sudah bersetuju. 

Oleh sebab itu saya rasa tidak harus perkara ini menjadi isu lagi. 

Jika kerajaan negeri Sarawak yang dahulunya dikuasai Barisan Nasional (BN)  telah lama mengiktiraf UEC malah  Selangor, Pulau Pinang, Melaka dan Perak juga telah mengiktiraf sijil tersebut maka mengapa Kerajaan Persekutuan perlu bercanggah dengan pendirian kerajaan-kerajaan negeri.

Saya faham kegusaran dan kekhuatiran masyarakat Melayu. Mereka haruslah tidak terperangkap tetapi mesti melihatnya dalam perspektif soal akademik. 

Jika UEC tidak mencapai tahap akademik yang diwajibkan dan standardnya tidak menepati keperluan maka tidak wajar untuk kita iktirafnya. 

Jika kita boleh iktiraf O-Level dan A-Level, mengapa sijil kita iaitu UEC yang telah dapat pengiktirafan antarabangsa  tapi kita tidak mahu mengiktiraf. Isu ini harus kita tangani secara profesional. 

Biarlah isu ini ditangani dalam aspek pendidikan dan tidak dipolitikkan kerana ia hanya akan merugikan semua pihak dan tiada sesiapa yang akan dapat manfaat dan faedah.