Ibarat pepatah, ‘bagaikan bulan jatuh ke riba’, watak Tok selampit yang dijayakan dalam teater hampir 35 tahun lalu itu seolah-olah mengesahkan bakat penglipur lara yang mengalir dalam diri beliau selama ini.

Sabri mengakui watak Tok Selampit yang diberikan Johan itu amat tepat kerana cerita-cerita penglipur lara beginilah yang telah mendewasakan dirinya sebelum beliau berhijrah ke Kuala Lumpur era 1980-an.

Sabri diberi peluang oleh Johan berlakon teater Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman karya Sasterawan Negara Datuk Dr. Anwar Ridhuan bersama rakan baiknya, Wan Hanafi Su pada tahun 1984.

“Saya diberi watak Tok Selampit (Pak Hassan) seorang tokoh penglipur lara terakhir yang telah kehilangan sokongan peminat dan pendengar tegarnya dalam kalangan masyarakat kampung tradisional,” katanya.

Melalui watak Tok Selampit itu, Sabri bukan saja berjaya menghayati watak seorang penglipur lara yang bijak bercerita tetapi di luar panggung seni beliau sebenarnya turut mempesonakan rakan-rakan pendengarnya dengan cerita-cerita segar yang disulami lawak jenaka dan teladan.

Sebelum menjadi pelawak, pelakon dan pengarah terkenal, Sabri sebenarnya terlebih dulu popular sebagai seorang penglipur lara di Kampung Landak, Pengkalan Chepa Kelantan. Watak Tok Selampit yang diterajuinya dalam teater Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman itu titik mula mengembangkan bakat dalam dirinya sebagai seorang penglipur lara berseni.

Sabri mendedahkan minat beliau ialah membaca novel yang dibeli abangnya dan dari situ menjadi perangsang utama kepadanya mencerita semula kepada rakannya ketika tinggal di Kampung Landak.

Antara novel pernah dibaca di zaman remajanya ialah novel Siti Nurbaya (Marah Rusli), Hartini (Aziz Afkar), Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (Hamka) Gagak Di Rimba dan Musafir (Hasan Ali).

“Keseronokan saya apabila kami dapat berkumpul bersama-sama rakan sebaya di wakaf Kampung Landak. Bila tengok saya ada datang bercerita, makin ramai yang nak tumpang dengar cerita merapu saya.

“Cerita itu saya reka hasil daripada novel yang saya baca. Niat saya untuk suka-suka dan ditokok tambah unsur lawak. Kisah itu saya tidak tamatkan serta-merta tapi saya simpan sebahagian, sengaja nak bagi suspen. Paling kurang seminggu baru episod terakhir cerita itu habis saya ceritakan,” akui Sabri ketawa.

Sabri mengakui kebolehan semula jadinya sebagai seorang penglipur lara turut menjadi kekuatan dalaman dirinya sebagai seorang pengarah dan pelakon disegani dalam kalangan karyawan seni tanah air.

Bagaikan menyuntik semangat tahun baru 2018, Sabri sekali lagi membuktikan beliau seorang penglipur lara berseni melalui naskhah yang lebih berimpak tinggi melalui telefilem Pok Ya Cong Codei.

Walaupun tidak pernah menjangka, telefilem Pok Ya Cong Codei menjadi viral, Sabri melahirkan rasa terharu dengan sokongan padu peminat terhadap karya terbarunya itu.

Sabri mengakui watak ciptaannya Pok Ya, lelaki bermisai tebal dan bertatu harimau di dada itu sebagai lambang seorang 'gedebe besar' yang berpengaruh di Kelantan.

“Orang sejenis dengan Pok Ya itu memang wujud secara realitinya dalam masyarakat Melayu di Kelantan. Saya sengaja sulam wataknya dengan kenaifan, kejahatan, kebaikan dan sifat kelakar secara semula jadi,” cerita Sabri.

Mengimbau kembali penglibatan dalam dunia seni, Sabri menceritakan, selepas berhenti kerja sebagai pelukis di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1 Julai 1993, beliau diberi peluang berlakon dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu arahan Prof. Dr. Hatta Azad Khan.

Sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu (1987) telah melonjakkan nama Sabri menerusi watak ‘Wan Ismail Golok’.

“Watak Ismail Golok terus melekat dalam diri saya agak lama sebelum Pok Ya Cong Codei ambil alih tahun ini. Sekarang orang panggil nama saya, Pok Ya pula,” akui Sabri gembira.

Sabri pernah memenangi pelbagai anugerah berprestij seperti Pelakon Lelaki Komedi TV Terbaik pada Anugerah Seri Angkasa 2005, Artis Komedi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular (1993 sehingga 1996 dan 2000). Beliau turut terlibat dengan siri rancangan televisyen Salam Pantai Timur dan Karot Komedia.

Sabri turut mengarah kembali telemovie Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman selain mengarah drama pertama arahannya, Sanggul Beracun.

Sanggul Beracun pernah dinobatkan sebagai Drama Terbaik Anugerah Skrin 2011 selain turut memenangi empat lagi anugerah iaitu menerusi kategori Pengarah Terbaik Drama, Lakon TV Terbaik dan Videografi Terbaik.

Memetik kata-kata Johan dalam bukunya Jejak Seni Johan Jaaffar (2017): "Saya melihat Sabri lebih sebagai karyawan berbakat besar. Saya melihatnya sebagai sumber inspirasi karyawan muda".