Suruhanjaya Siasatan, seperti yang kita maklum, merupakan suatu Suruhanjaya yang ditubuhkan bagi membuat siasatan awam (public inquiry) berkenaan suatu insiden atau tragedi yang melibatkan kepentingan awam. Suruhanjaya Siasatan yang bersifat ad-hoc itu mempunyai tujuan khusus, iaitu meneliti fakta-fakta berkaitan dengan menyeluruh dengan mengabungkan kesemua perkara, sama ada sebelum, semasa dan juga selepas suatu tragedi.

Apabila berlakunya suatu tragedi atau satu perkara yang serius dan melibatkan kepentingan awam atau wujudnya kecurigaan yang tinggi dalam hal berkaitan pelaksanaan kuasa, maka kerajaan akan menasihatkan Ketua Negara, iaitu Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan. Ia juga dikenali sebagai Suruhanjaya Siasatan Diraja kerana ia ditubuhkan oleh Institusi Beraja dan bertindak juga atas label institusi tersebut.

Suruhanjaya tersebut diwujudkan oleh Institusi Beraja yang bebas daripada kepentingan. Bebas daripada sebarang kepentingan adalah elemen utama dalam mewujudkan Suruhajaya Siasatan. Walaupun lantikan ahli suruhanjaya umumnya dibuat atas nasihat kerajaan kepada Ketua Negara, namun dalam pelaksaan tugasan setiap ahli suruhanjaya adalah bebas daripada arahan kerajaan yang memerintah.

Berkaitan Peristiwa Memali, kelihatannya, desakan untuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi meneliti sebab serta musabab kepada Peristiwa Memali ini mempunyai justifikasi kukuh; antara lain kerana ia melibatkan nyawa dan maruah serta kepercayaan agama. Justeru tujuannya yang luhur itu, ia membolehkan cadangan penubuhannya mendapat sokongan daripada pelbagai pihak.

Apa yang paling penting, tujuan penubuhan Suruhanjaya Sisatan Diraja tersebut adalah untuk menyelesaikan, secara sekali gus, semua cakap-cakap dan polemik berkaitan Memali yang kelihatannya tidak berkesudahan. Keputusan siasatan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja ini juga boleh memadamkan persepsi yang dilontarkan oleh mereka yang masih belum berpuas hati kepada semua pihak, sama ada pemerintah atau juga pembangkang, individu atau juga kumpulan.

Kita juga tidak boleh nafikan bahawa Peristiwa Memali ini menjadi isu yang diguna pakai dalam pengucapan politik dan ada kalanya digunakan untuk sentimen dan diambil peluang demi kepentingan sesetengah pihak. Persitiwa Memali tidak akan berkesudahan.

Namun, yang paling utama, sokongan kepada penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja ini adalah bagi memberikan keadilan kepada semua pihak. Ia bukan bermaksud mempersoalkan fakta yang telah dijelaskan oleh kerajaan pada masa itu, atau memburukkan reputasi kerajaan pada masa tersebut. Sesungguhnya memburukkan reputasi kerajaan ketika itu sedikit sebanyak akan juga menghasilkan tempias negatif kepada kerajaan semasa kerana kedua-dua kerajaan adalah daripada parti politik yang sama.

Tetapi, sekiranya kerajaan semasa bersetuju untuk penubuhan sebuah badan bebas seumpama Suruhanjaya Siasatan Diraja ini, ia menunjukkan keterbukaan pimpinan dan kerajaan ketika ini untuk mencari kebenaran dan menegakkan keadilan dalam tragedi Memali.

Keadillan amat penting untuk dicapai setelah beberapa kontradiksi fakta kelihatannya agak serius, terutamanya berkaitan fakta yang baharu disuarakan oleh, bukan sahaja masyarakat setempat, tetapi juga wakil kerajaan ketika itu, iaitu kenyataan yang dibuat oleh Tun Musa Hitam. Dalam bukunya Frankly Speaking, Musa Hitam menyuarakan apa yang disifatkan beliau sebagai tidak dapat disuarakan ketika itu. Malah, oleh sebab Musa Hitam merupakan Menteri yang bertanggungjawab menyiapkan Kertas Perintah 21, maka pernyataan beliau seharusnya mempunyai pemberatan yang lebih untuk diwujudkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja.

Jelas di sini tragedi Memali ini masih dibaluti dengan sentimen dan kontradiksi fakta maka perkara ini perlu ditamatkan. Menamatkan kontradiksi ini begitu penting demi menjaga maruah semua pihak; baik keluarga mangsa, mahupun kerajaan ketika itu.

Sementara itu dari perspektif sejarah, Suruhanjaya Siasatan ini perlu juga diwujudkan bagi menilai sumber-sumber fakta yang dikatakan wajar diambil daripada saksi-saksi yang masih hidup. Pendekatan ini akan dapat memberikan ketepatan fakta kepada peristiwa berkaitan.

Pendekatan mendapatkan maklumat daripada saksi-saksi tersebut telah dicadangkan dalam penulisan akademik Rahilah Omar dan Siti Fathihah yang bertajuk “Penilaian semula historiografi Malaysia melalui sejarah lisan.” Artikel tersebut yang diterbitkan dalam Geografia Online Malaysia Journal of Society and Space sebuah jurnal akademik pada tahun 2012. Kertas akademik yang mengambil pendekatan case study dalam mewacanakan sumber sejarah itu menjadikan Peristiwa Memali sebagai fokus perbincangan.

Penulis-penulis ini kemudiannya mencadangkan supaya kenyataan lisan daripada pihak tempatan juga boleh dijadikan sumber sejarah Memali. Cadangan akademik ini boleh dijadikan sandaran sokongan kepada cadangan dan kepentingan mewujudkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja kerana tidak mungkin pendekatan mengambil kenyataan orang sumber ini akan memberikan kesan apa-apa sekiranya ia sekadar diterbitkan sebagai terbitan akademik. Kesannya tidak ke mana-mana. Justeru, ia perlu diambil menerusi sebuah Suruhanjaya yang bebas dan berwibawa.

Adalah tidak diabaikan bahawa Kertas Perintah 21 yang dibentangkan oleh kerajaan ketika itu dalam Dewan Rakyat telah juga mengandungi pernyataan bertulis oleh beberapa orang yang dijadikan rujukan dalam memberikan sebab kepada tindakan kerajaan ini. Namun begitu, oleh sebab persoalan berkaitan belum boleh memuaskan hati sesetengah pihak, maka ada baiknya ia dilakukan semula dengan mengambil pendekatan yang lebih menyeluruh.

Penulis ialah Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).