Sejarah pemberontakan dan keganasan pihak komunis, selepas tamatnya penjajahan Jepun pada 1945, meninggalkan banyak detik hitam kepada negara kita.

Salah satu peristiwa yang pa­ling diingati adalah kisah serang­an komunis terhadap Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950, ia­itu genap 67 tahun yang lalu.

Dalam serangan tersebut pihak komunis telah berjaya menawan balai polis ini dan membakar semua bangunannya. Manakala 25 nyawa pejuang tanah air, iaitu 19 anggota polis dan enam ahli keluarga dan orang awam, juga telah terkorban.

Namun begitu, dalam pertempuran tersebut anggota polis yang sedikit telah memberikan tenta­ngan yang cukup hebat dalam mem­pertahankan balai polis tersebut sehingga ke titisan darah yang terakhir.

Seperti kata Allahyarham Sarjan Jamil Md. Shah, Ketua Balai Bukit Kepong ketika itu, “berpantang maut sebelum ajal”.

Saya berharap, sejarah hitam serangan tersebut terus menjadi pembakar semangat dan sumber kekuatan kepada semua anggota polis untuk setia berkhidmat dan sedia berkorban demi mempertahankan maruah dan kedaulatan tanah air.

Saya mengalu-alukan usaha kerajaan dalam membina Galeri Darurat Bukit Kepong ini untuk menjadi satu mercu tanda sejarah dan sebagai tanda ingatan kepada generasi yang akan datang tentang perjuangan dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh anggota keselamatan negara pada masa dahulu. Kepercayaan yang diberikan oleh rakyat dan kerajaan terhadap pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah amat tinggi dan mereka sentiasa dihormati dan dianggap sebagai tulang belakang kepada ketenteraman tanah air.

Oleh itu suka saya ingatkan kepada semua pegawai dan anggota polis, supaya terus berkhidmat de­ngan penuh dedikasi, berdi­siplin, jujur dan amanah untuk mengekalkan keamanan negara.

Semua pihak mestilah bersatu hati dan sentiasa berusaha untuk mempertahankan kedaulatan negara.

Suka saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan syabas kepada Peguam Negara dan pasukan pegawainya yang te­lah berjaya menjumpai bukti-bukti baharu yang amat penting dalam kes tuntutan Pulau Batu Puteh dan telah memfailkan semakan semula penghakiman kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) baru-baru ini.

Saya masih ingat pesanan Almarhum ayahanda saya iaitu Pulau Batu Puteh itu adalah milik negeri Johor. Walaupun saiz pulau itu dianggap kecil, namun setiap inci tanah negeri Johor mesti dipertahankan kerana itu adalah lambang kedaulatan nege­ri Johor dan menjadi sebahagian daripada kedaulatan negara Malaysia.

Saya minta semua rakyat Malaysia terus memberikan sokong­an dan berdoa supaya kita beroleh kejayaan di dalam kes tuntutan tersebut.

Sejak akhir-akhir ini, saya perhatikan banyak pemimpin politik telah mula memainkan pelbagai isu. Mungkin ini menggambarkan bahawa pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi, dan setiap pemimpin politik mula mengatur langkah untuk menarik perhatian rakyat.

Suka saya ingatkan kepada orang politik di luar Johor supaya jangan masuk campur dalam urus­an di negeri ini, dan jangan cuba untuk mengelirukan rakyat saya atau memecahbelahkan perpaduan bangsa Johor.

Rakyat Johor telah menikmati hidup yang selesa, aman dan damai, sehingga ke hari ini. Orang luar tidak perlu hendak tunjuk pandai atau mengajar apa yang patut dibuat.

Rakyat Johor tidak akan terpe­ngaruh dengan tipu-helah orang luar yang cuba menakut-nakutkan rakyat dengan cerita-cerita do­ngeng yang direka-reka.

Mungkin orang luar ini telah lupa yang zamannya telah berlalu. Dahulu dia sering menyindir orang Melayu sebagai bangsa yang mudah lupa, namun hari ini dia sendiri menunjukkan sifat pelupanya.

Dulu dia kata pembangkang itu musuh ketat, tapi sekarang sudah boleh duduk semeja dan menjadi kawan rapat. Dulu dia kata media barat suka buat cerita, tapi sekarang, cerita media barat dikata­nya fakta.

Jika dia bukan pelupa mungkin ada sedikit nyanyuk akibat faktor usia.

Nasihat saya kepada dia, cu­kup-cukup-lah. Dunia ini ada siang dan malam, bukan boleh siang berterusan. Jangan sibuk jaga tepi kain orang, lebih baik betulkan kain sendiri yang telah reput dan koyak. Atau orang kata, “the best business you can have today is mind you own business”.

Selagi saya memerintah negeri ini, saya akan terus mempertahan­kan negeri Johor. Saya harap semua rakyat akan bersama-sama saya. Jangan pula bila saya toleh belakang, semua orang sudah tidak ada.

Dari kecil lagi saya telah didi­dik untuk menjaga negeri Johor. Saya tahu apa yang terbaik untuk negeri saya. Tak akan saya hendak aniaya rakyat saya sendiri.

Lihat sahaja pembangunan dan kemajuan yang kita capai hari ini berbanding 10 atau 20 tahun yang lalu. Kalau dulu kerajaan negeri sampai tiada wang untuk bayar gaji kakitangan, tapi hari ini kerajaan ada lebihan hasil berbilion ringgit. Kejayaan yang dicapai ini adalah kerana adanya hubu­ngan yang baik antara saya dengan men­teri besar sekarang, bukan seperti dua menteri besar yang dahulu, yang angkuh dan sombong dan hanya mengikut telunjuk Kerajaan Persekutuan.

Kita mesti sedar yang usia kita akan terus meningkat dan kesiha­t­an kita pula akan menurun. Saya juga akan bertambah tua.

Bila sampai satu tahap saya sudah tiada kudrat untuk meme­rintah negeri ini, saya akan turun takhta dan serahkan kepada anak saya, dan saya tidak akan campur tangan atau kecam raja baharu yang memerintah.

Lepas itu awak terimalah raja baharu dan ikut perintah dia. Ja­ngan nanti saya dihantar ke rumah orang tua sudahlah.

Semua pihak mestilah ingat dan faham tentang asas pembentukan Persekutuan Tanah Me­layu, iaitu jika tiada negeri-negeri, tidak akan wujud Persekutuan.

Kuasa pentadbiran Persekutuan adalah diberikan oleh persetujuan raja-raja Melayu yang berkuasa terhadap negeri ma­sing-masing semasa perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 ditandatangani.

Oleh yang demikian, hubung­an yang baik antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri mestilah dijaga dan dihormati untuk membentuk sebuah negara Malaysia yang aman dan makmur. Saya tidak berniat untuk berpecah daripada Persekutuan, tetapi mahu mengingatkan kepada pemimpin-pemimpin di peringkat Persekutuan supaya jangan lupa tentang hak dan kepentingan negeri-ne­geri, serta kuasa raja-raja Melayu yang tidak boleh disentuh atau dikurangkan.

Saya berharap, Kerajaan Persekutuan akan terus membantu kerajaan negeri, kerana negeri-negeri yang maju membangun akan membentuk satu Persekutuan yang kukuh dan negara yang makmur.

Dasar-dasar pemimpin dahulu yang gila kuasa, seperti memberikan desakan dan pelbagai syarat kepada kerajaan negeri jika mahukan peruntukan kewangan Persekutuan, hendaklah dikaji semula.

Sebagai contoh, kerajaan ne­geri didesak untuk menyerahkan hak milik tanah atas nama Kerajaan Persekutuan, sebelum per­untukan pembangunan disalurkan. Malah baru-baru ini ada juga menteri Persekutuan yang kurang bijak ingin membesarkan Wilayah Persekutuan dengan mengambil lebih banyak tanah negeri.

Mungkin dia lupa tentang kedaulatan negeri-negeri. Malah hasil Kerajaan Persekutuan yang dikutip adalah daripada semua rakyat Malaysia dan harus diagih­kan kepada semua negeri, bukan untuk Wilayah Persekutuan sahaja.

Pemimpin berfikiran sempit seperti inilah yang akan mere­takkan hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan dan me­nimbulkan rasa kebencian rakyat terhadap kerajaan.

Saya ingin menyeru kepada Kerajaan Persekutuan supaya mengkaji semula peranan pihak berkuasa Iskandar Malaysia atau IRDA. Setahu saya, IRDA ha­nya satu badan yang membantu kerajaan negeri untuk mempromosikan Wilayah Pembangunan Iskandar dan menarik pelabur untuk datang ke kawasan tersebut. IRDA tidak boleh mengatasi kuasa negeri dalam hal tanah, kerajaan tempatan, kerja-kerja ne­geri dan perancangan pemba­ngunan negeri. IRDA sepatutnya mengikut kehendak kerajaan ne­geri atau majlis tempatan, bukannya kerajaan negeri yang kena ikut syarat-syarat IRDA.

Banyak projek pembangunan IRDA yang kadang-kala tidak selari dengan kehendak majlis bandar raya, dan menimbulkan banyak masalah kepada rakyat saya. Contohnya projek menaik taraf Sungai Segget yang telah mengakibatkan banjir kilat se­ring berlaku di tengah Bandaraya Johor Bahru.

IRDA harus bertanggungjawab terhadap perancangan dan pelaksanaan projek yang bermasalah ini.

Baru-baru ini, kerajaan negeri telah mengumumkan satu ca­dangan untuk membina sebuah lapangan terbang di daerah Mer­sing.

Saya mengucapkan syabas kepada Menteri Besar, Datuk Khaled Nordin, yang telah menerima idea saya tentang pembinaan lapangan terbang tersebut. Mungkin ada rakyat yang sangsi dengan cada­ngan tersebut, tetapi bagi saya itu adalah salah satu cara untuk menaikkan kemajuan ekonomi da­erah Mersing.

Saya juga yakin, jika kerajaan boleh menyediakan lebih ba­nyak infrastruktur awam di Mersing, seperti lebuh raya, jajaran kereta api dan terminal feri yang lebih baik, lebih banyak pelabur akan datang ke Mersing untuk sama-sama memajukan industri pelancongan dan hartanah di sana.

Saya tahu apa diperlukan oleh negeri Johor dan saya percaya kerajaan negeri saya juga faham akan kehendak negeri dan rakyat Johor.

Sejak saya menaiki takhta pada tahun 2010, bandar Muar telah menjadi tempat kesukaan saya untuk berehat. Malah pada 2012, saya telah mengisytiharkan Muar sebagai Bandar Diraja.

Setiap kali saya datang ke Muar, perkara utama yang akan saya perhatikan adalah soal kebersihan. Saya tahu setiap kali ada berita tentang keberangkatan saya ke Muar, pegawai daerah akan me­ngarahkan anak buahnya membersihkan kawasan istana dan bandar Muar. Namun hari ini, segala tekanan dan teguran saya, telah menampakkan hasil. Lihatlah keadaan bandar Muar pada hari ini dan bandingkannya de­ngan 10 tahun dahulu.

Malah baru-baru ini, bandar Muar telah mencapai satu kejayaan yang amat membanggakan, apabila telah diiktiraf sebagai bandar yang paling bersih di Malaysia. Sya­bas saya ucapkan kepada Pegawai Daerah, Yang Dipertua Majlis dan semua kakitangan yang terlibat, daripada mandur hinggalah tukang sapu, yang telah menjalankan tugas dengan cemerlang.

Tahniah juga saya ucapkan kepada semua penduduk di bandar Muar kerana memberikan kerjasama yang baik untuk sama-sama menjaga kebersihan di bandar ini. Saya berharap, prestasi kebersihan ini dapat dikekalkan dan budaya menjaga kebersihan akan menjadi satu identiti kepada bangsa Johor.

Saya juga berharap kejayaan bandar Muar ini akan menjadi contoh dan inspirasi kepada bandar-bandar lain di dalam negeri Johor. Selepas ini, bandar Muar akan mengalami transformasi ke arah pengindahan pesisir Sungai Muar dan pembangunan waterfront yang mesra alam.

Sebagai rujukan, lihatlah pembangunan bandar di tepi sungai seperti di Bangkok, Singapura, ataupun Melaka. Jangan pula membazir duit untuk mengadakan lawatan sambil belajar ke Holland atau Melbourne yang tidak sama keadaan dengan kita.

Sejarah Kesultanan Johor mo­den telah bermula pada 1855, apabila Temenggung Ibrahim membuka pusat pentadbiran baharu di Iskandar Puteri. Pada masa itu jugalah pasukan polis Johor ditubuhkan dengan nama “Pasukan Setia Negeri Johor”.

Almarhum Sultan Abu Bakar pula menubuhkan pasukan tentera Johor, yang digelar sebagai “Pasukan Timbalan Setia Nege­ri” pada 1885, yang mana hanya dibuka untuk anak-anak Melayu Johor yang beragama Islam.

Pada 1905 pula, Almarhum Sultan Ibrahim menubuhkan sebuah pasukan keselamatan sukarela yang dinamakan “Johor Volunteer Forces” atau JVF yang ahlinya dibuka kepada orang bukan Melayu.

Tujuan penubuhan pasukan sukarela JVF adalah untuk menggalakkan penyertaan orang ramai dalam bidang pertahanan awam dan membentuk disiplin diri bagi pegawai-pegawai kerajaan.

Saya percaya, salah satu cara untuk membentuk disiplin diri adalah dengan menyertai badan beruniform kerana apabila kita memakai uniform dan dilatih untuk berkawad, kita akan sentiasa mengikut peraturan dan arahan yang diberikan.

Saya sendiri telah menjalani bermacam-macam latihan ketenteraan dan saya amat faham tentang kesannya dalam membentuk disiplin diri seseorang.

Oleh itu, saya menyeru kepada kerajaan negeri supaya segera bertindak untuk menghidupkan semula pasukan JVF bagi memberi peluang kepada semua bangsa Johor memiliki uniform dan berbangga menjadi seorang yang berdisiplin.

Namun pemilihan ahli-ahlinya nanti, mesti mengikut syarat-syarat dan tapisan keselamatan yang ditetapkan. Pasukan JVF ini kelak akan dilatih oleh pasukan JMF dan boleh dipanggil untuk berkhidmat dalam pertahanan awam apabila diperlukan.

Pada kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua anggota pasukan PDRM yang sentiasa memikul amanah dengan penuh dedikasi demi mencurahkan khidmat bakti kepada agama, bangsa dan negara.

Tidak dilupakan juga kepada anggota polis yang telah terkorban semasa menjalankan tugas demi memikul tanggungjawab dan mengharumkan nama baik PDRM. Marilah kita berdoa ke hadrat Allah SWT semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

Akhir kata, saya mengucapkan tahniah dan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menganjurkan majlis perasmian pada hari ini.

Dengan lafaz Bismillah hirrahman nirrahim, saya dengan suka­citanya merasmikan pembukaan Galeri Darurat Bukit Kepong, pada hari yang bersejarah ini.