Kesudian Datuk Undang Luak Johol berkunjung ke ibu pejabat Utusan Melayu amat besar maknanya bagi syarikat ini serta seluruh warga kerjanya ­memandangkan beliau adalah salah seorang tonggak utama peme­rintahan di Negeri Sembilan atas kedudukannya sebagai pemerintah bersama (Co-Rulers) de­ngan Yang Dipertuan Besar Ne­geri Sembilan.

Berdasarkan sejarah, institusi Undang Luak Johol diasaskan sejak 294 tahun lalu iaitu sekitar tahun 1723 oleh seorang wanita dikenali sebagai Puteri Kanun atau Nenek Kerbau yang kemu­diannya mengambil gelaran rasmi sebagai Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan.

Dua Undang Luak Johol selepas Almarhum Setiawan juga adalah wanita. Bagaimanapun setelah Undang ketiga mangkat, anak lelakinya Datuk Rambutan Jantan dilantik menjadi Undang Luak Johol keempat. Bermula daripada beliau sehinggalah Undang ke-15 sekarang, pusaka Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan terus disandang oleh pewaris lelaki.

Pemasyhuran Muhammed sebagai Undang Luak Johol ke-15 telah disempurnakan pada 27 Mac lalu setelah jawatannya itu disahkan oleh Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan pada 27 Oktober 2016 yang kemudian dizahirkan ke bawah Yang Dipertuan Besar Ne­geri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada 15 Disember 2016.

Proses pelantikan itu berlaku selepas Undang yang ke-14 dilucutkan hak menyandang pusaka Undang setelah didapati bersalah melakukan kesalahan besar adat dan tidak boleh diberikan pengampunan dari segi adat.

Agak luar biasa pelantikan Undang Luak Johol kali ini kerana pelantikan Undang yang baharu dilakukan ketika penyandangnya masih hidup. Kelazimannya, pelantikan Undang Luak Johol yang baharu akan dilakukan selepas kemangkatan Undang sebelumnya sesuai dengan ungkapan ini, Undang meninggal, Undang menanam.

Namun disebabkan penyandang sebelum ini telah melanggar undang-undang adat hingga menyebabkan lucut haknya sebagai pewaris pusaka undang, Muhammed yang ketika itu memegang jawatan Baginda Tan Mas (Timbalan Undang Luak Johol) sejak 13 Julai 2007 kemudian te­lah dilantik sebagai Undang Luak Johol ke-15 seperti mana diputuskan oleh lembaga adat Luak Johol atau dikenali dengan nama Buapak Yang Enam, dipengerusikan oleh Dato’ Jenang.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya apakah sebenarnya tugas dan tanggungjawab seorang Undang di Negeri Sembilan yang mana selain Undang Luak Johol terdapat tiga lagi Undang iaitu Undang Luak Sungai Ujong, Rembau dan Jelebu.

Menurut Muhammed dalam sesi ramah mesra bersama pe­ngurusan kanan syarikat diketuai oleh Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak, tanggungjawab seorang Undang dalam jajahan takluk luaknya sangat besar iaitu sebagai Ketua Agama dan Ketua Adat.

Dalam konteks Ketua Agama, beliau berkata, Undang akan menurunkan kuasa kepada kadi dan imam masjid melalui watikah pelantikan dalam luak masing-masing.

“Sebagai contoh untuk Luak Johol. Terdapat tiga daerah terlibat iaitu Tampin, Kuala Pilah dan Jempol. Oleh itu mana-mana kadi atau imam dalam daerah tersebut yang berada dalam jajahan Luak Johol, penurunan kuasa melalui watikah pelantikan akan disempurnakan oleh Undang Luak Johol.

“Begitu juga dengan penetapan kadar zakat serta pelantikan Hakim Syarie juga melibatkan pe­ranan serta fungsi Yang Dipertuan Besar bersama-sama empat Undang secara konsensus,” ujarnya.

Dari segi adat pula beliau ber­kata, segala yang berkaitan dengan urusan adat adalah di bawah kuasa Undang dengan dibantu oleh datuk-datuk adat yang dilantik, antaranya membabitkan urusan tanah adat dan adat resam orang Melayu.

Dalam kunjungan tersebut, beliau turut mengucapkan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! atas liputan yang begitu meluas ketika berlangsungnya istiadat kerjan selama lima hari dan lima malam pada 23 Mac sehingga 27 Mac lalu sempena pemasyhurannya sebagai Undang Luak Johol ke-15. Dengan adanya publisiti yang begitu meluas oleh pihak media, beliau berkata, seluruh rakyat termasuk Sabah dan Sarawak turut berpeluang mengikuti acara yang penuh adat istiadat mengikut Adat Perpatih itu.

Berkongsi tentang visinya pula sebaik sahaja memegang jawatan Undang Luak Johol, Muhammed berkata, terdapat dua misi utama yang akan direalisasikannya demi kesejahteraan rakyat luak Johol iaitu menubuhkan sebuah yayasan yang diberi nama Yayasan Undang Johol dan memajukan tanah adat yang terbiar.

Mengenai yayasan, beliau berkata, penubuhannya itu bertujuan menggerakkan dan menggalakkan kebajikan sosial, pendidikan, budaya dan ekonomi rakyat luak Johol khususnya dan Malaysia amnya tanpa mengira bangsa, agama dan kepercayaan atau tujuan amal lain. Yayasan ini dijangka dilancarkan pada Januari tahun depan.

Tentang tanah adat pula, beliau memaklumkan terdapat kira-kira 9,307 hektar tanah adat terbiar yang terdapat di seluruh Negeri Sembilan dan luak Johol tidak terkecuali berhadapan de­ngan isu berkenaan.

Sehubungan itu beliau mahu isu tersebut segera diatasi dengan bantuan pihak-pihak berkaitan agar tanah-tanah adat terbiar itu boleh diusahakan, sekali gus menjana ekonomi khususnya kepada tuan tanah. Pada masa sama beliau turut berhasrat menjadikan Johol sebagai hab pendidikan mela­lui jalinan kerjasama dengan pihak Universiti Sains Malaysia (USM).

Katanya, pengurusan tertinggi USM secara prinsipnya bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dengan Balai Undang Luak Johol yang membabitkan penubuhan sebuah pusat penyelidikan dan pemindahan teknologi berasaskan tani selain dijadikan sebagai pusat pengajian bagi program pendidikan jarak jauh (PJJ).

Seperkara lagi ialah tentang visinya untuk membangunkan industri ekopelancongan di Johol. Untuk itu pihak Balai Undang Luak Johol sekali lagi menjalinkan kerjasama dengan USM untuk mendapatkan kepakaran dan khidmat nasihat.

Sememangnya Johol mempunyai khazanah flora dan fauna tidak ternilai ekoran kebanyakan kawasan hutannya masih belum terusik oleh pembangunan. Jus­teru dengan kelebihan tersebut, beliau melihat Johol amat berpotensi untuk dibangunkan sebagai lokasi ekopelancongan yang pa­ling menarik di Negeri Sembilan.

Muhammed juga bercita-cita menjadikan Johol sebagai kawasan penanaman pokok kelo atau pokok balsa di samping sa­yur-sayuran dan ternakan dengan harapan taraf ekonomi­ penduduk luak Johol dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa.