Sebaliknya M-khaled Alhourani, Abdullah Mahmalji, Abdoul Bades Katabi, Alaa Aljumaah dan beberapa lagi yang tidak sempat saya catat namanya pula akui yang kita lebih ‘kaya’ daripada mereka. Mereka merupakan migran Syria. Berhijrah ke sini berikutan negara mereka bergolak akibat perang saudara sejak 2011.

Bagi M-khaled, 32, dia terpaksa berhijrah selepas negaranya tidak lagi mampu memberikan ‘harapan’ kepadanya. Dia mahu membuat persiapan bagi membina masa depan lebih cerah buat dirinya dan keluarga. Mungkin lagi lima tahun atau 10 tahun baharu dia dapat pulang ke Syria. Tapi entah, dia sendiri pun sebenarnya tidak pasti. Melihat kepada situasi semasa di sana, macam lama lagi nak aman. Itu belum lagi proses pemulihan semula ekonomi dan pembangunan, pastinya memakan masa. Justeru, dia merasakan lebih baik untuk menetap di Malaysia buat sementara waktu.

Namun diam tak diam, sudah lapan tahun dia di sini. Hanya talian telefon dan internet menjadi penghubung dan melepas rindu dia kepada ibu bapa dan adik beradik di bandar Hama. Tapi semakin lama berjauhan sedikit meresahkan ibu bapanya. Mungkin mereka risau, takut-takut tidak dapat lagi berjumpa M-khaled kerana semakin dimamah usia. Seperti juga emak dan bapa kita, pasti kedua-duanya mahu melihat kebahagiaan anak-anak, termasuk mempunyai keluarga sendiri.

Maka ibu bapa M-khaled mencarikan jodoh buatnya. Seorang guru bahasa Inggeris, Mais Zhour, 26, dijadikan calon. Sejak itu, bermulalah detik-detik perkenalan mereka. Daripada kata-kata biasa, sedikit demi sedikit berubah menjadi bait-bait cinta. Seterusnya berputik kasih dan sayang. Yang menariknya, semua itu secara dalam talian (online) sahaja. Mereka tidak pernah bertemu depan-depan. Tapi percintaan jarak jauh ternyata bukan penghalang buat mereka untuk membina mahligai bahagia. Selepas menyelami hati dan perasaan masing-masing, mereka merasakan secocok. Lantas mereka mengambil keputusan untuk mendirikan rumahtangga beberapa bulan lalu. Lebih istimewa, mereka bernikah pun secara dalam talian!

“Perkahwinan ini diatur oleh ibu bapa kami. Mereka carikan calon isteri untuk saya. Kami berkenalan di alam maya, berbual dalam talian dan kami rasa sesuai antara satu sama lain. Kami mempunyai objektif sama, idea sama, dan banyak lagi persamaan. Lalu kami buat keputusan untuk berkahwin.

“Upacara akad nikah dilakukan menerusi sidang video. Saya di sini, di sana (Syria) ada bapa, bapa mertua dan saksi,” katanya.

Sehubungan itu, jurutera ini berharap agar konflik di Syria segera tamat supaya dia dan Mais tidak lagi berjauhan dan dapat hidup bersama sebagai pasangan suami isteri normal.

Syukur

Nasib orang bujang seperti Abdullah, 30, mungkin sedikit lebih baik. Hanya berjauhan dengan ibu bapa dan adik-beradik sejak dua tahun lalu. Walau bagaimanapun, dia tetap risau kerana sukar mendapat pekerjaan di sini disebabkan status warga asing. Katanya, kebanyakan organisasi mengelak untuk menggaji warga asing kerana terpaksa mengeluarkan kos tambahan untuk proses dokumentasi seperti visa. Selain itu, keadaan ekonomi yang kurang baik turut menjadi penyumbang.

Namun, Abdullah tetap bersyukur berada di negara ini. Sebagai sebuah negara Islam, tidak banyak cabaran perlu dilaluinya. Makanan halal ada di mana-mana. Nak solat pun banyak surau dan masjid. Nak berkomunikasi dengan rakyat tempatan pun senang, ramai boleh berbahasa Inggeris.

Kos sara hidup masih dikira rendah. Nak beli kereta pun boleh, murah. Kalau di Damsyik tempat kelahirannya, kereta mahal. Walaupun sekadar memandu Proton Gen2, harganya masih murah buat jurutera telekomunikasi ini. Senang baginya nak ke sana-sini.

Abdoul Bades, 32, pula memberitahu, mencari rezeki di Malaysia adalah lebih mudah daripada negara-negara lain. Dia pernah berhijrah ke Turki selama empat tahun. Tapi di sana kalau kontrak kerja tamat, nak mencari kerja lain amat sukar. Tidak seperti di Malaysia, sekurang-kurangnya boleh lagi membuka firma sendiri atau berniaga, tidak perlu terkial-kial hantar resume dan pergi temuduga nak cari kerja baharu.

Meskipun hidup di rantau orang cukup mencabar, dia tetap berazam untuk memenuhi impiannya melanjutkan pengajian hingga mendapat ijazah sarjana pada suatu hari nanti. Apa yang penting baginya sekarang adalah mengumpulkan wang demi memenuhi impian itu selain membantu menyara keluarganya di Syria.

Bukan pelarian

M-khaled, Abdullah dan Abdoul Bades adalah sebahagian daripada 2,400 warga Syria di negara ini yang mengikuti Program Penempatan Sementara Migran Syria (PPSMS) menerusi Malaysian Humanitarian Aid and Relief (Mahar). Mereka diberikan pas khas oleh Kementerian Dalam Negeri supaya boleh bermastautin secara sah di negara ini. Adanya kad tersebut, mereka dibenarkan bekerja, belajar dan melakukan kegiatan ekonomi masing-masing demi kelangsungan hidup. Bukan seperti pelarian, yang bergantung sepenuhnya kepada ihsan atau bantuan kemanusiaan.

Meskipun tidak boleh berbahasa Melayu, namun perkataan ‘terima kasih’ yang mampu diungkap sudah memadai untuk menggambarkan betapa bersyukur mereka dapat berkongsi nikmat keamanan dan keharmonian dengan kita.

Saya hanya bersama mereka selama beberapa jam, tapi sudah cukup menyerlahkan ketabahan mereka untuk membina semula kehidupan asal yang sudah ‘hilang’. Mereka pun bukan mahu menetap selama-lamanya di sini. Seperti juga migran Syria yang lain, mereka berazam untuk pulang ke tanah air sendiri pada suatu hari nanti.

Boleh juga tonton video yang saya sediakan di www.utusan.com.my.