Persidangan tersebut yang akan disusuli dengan perhimpunan agung parti itu pada Khamis amat penting memandangkan ia perhimpunan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

 Bagi Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, ahli-ahli UMNO perlu memantapkan perpaduan dan bekerja dalam satu pasukan dengan memahami bahawa parti adalah kubu terakhir orang Melayu.

Pandangan itu beliau lontarkan dalam wawancara bersama Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, DATUK ABDUL AZIZ ISHAK; Wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR, HAMDEN RAMLI, HUSSAINI AMRAN, SAFINA RAMLI serta jurufoto, FAUZI BAHARUDDIN dan juruvideo, MOHD.FIKRI FADZIL di Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Selain bercakap soal cabaran Pakatan Harapan dalam PRU-14, Ahmad Zahid juga berkongsi perasaan diberi kepercayaan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjalankan tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri.

PERHIMPUNAN AGUNG UMNO

MINGGUAN: Perhimpunan Agung UMNO 2017 adalah yang terakhir sebelum PRU-14. Apakah harapan Datuk Seri kepada perwakilan dan ahli UMNO secara keseluruhannya? 
AHMAD ZAHID: Saya lihat bukan hanya dari segi kesiapsiagaan dan mentaliti mahu menang tetapi kita lihat kebersamaan semangat berpasukan, mengetepikan perbezaan itu telah mula menampakkan hasil. 
Pada kali ini, perhimpunan cukup signifikan dan kita telah melalui proses yang panjang terutama selepas kita diasak ke dinding ketika PRU-12 dan PRU-13 dan kita harapkan, apabila latihan pengkaderan, kesiapsiagaan jentera parti yang dijalankan sepenuhnya, ia dapat diserlahkan sepenuhnya pada PRU-14.

Jika kita imbas semula Perhimpunan Agung UMNO lalu sehingga kini, apakah perkara yang Datuk Seri amati telah dibuat, belum dicapai dan yang masih belum berpuas hati lagi?
AHMAD ZAHID: Kita lihat dari segi manifesto yang kita istilahkan sebagai akujanji kepada pengundi. Saya bukan hanya melihat dari segi akujanji UMNO atau Barisan Nasional (BN) sebagai parti pemerintah tetapi sistem penyampaian yang dibuat oleh kerajaan. 
Saya  diberikan kepercayaan untuk menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan Bagi Pelaksanaan Janji-janji Kerajaan. Saya dapati manifesto PRU-13 sebanyak lebih 87 peratus telah dilaksanakan. Itu statistik yang saya perolehi pada September lalu. Pada akhir tahun ini, ia telah melebihi 90 peratus. 
Insya-Allah, janji itu biarpun dilaksanakan oleh kerajaan, tetapi kita sebagai tulang belakang parti pemerintah, kita tidak boleh memisahkan janji berkenaan atau agenda-agenda yang telah kita lontarkan untuk dilaksanakan oleh kerajaan melalui akujanji mencapai tahap memuaskan. Biarpun jendela waktu yang terlalu sempit tetapi saya yakin pencapaian yang digarap  melebihi 90 peratus. 

Bagaimana prestasi ketiga-tiga sayap UMNO?
AHMAD ZAHID: Ia bertambah, bukan hanya dari segi komitmen, yang tidak hanya harus dilihat dari segi retorik pidato tetapi gerak kerja. Kita telah melalui gerakan pengkaderan dan saya lihat komitmen mereka bukan hanya terpancar dari segi semangat tetapi menjalankan kerja-kerja melalui jentera melebihi daripada tanggungjawab yang lalu. 
Saya ambil contoh jika umpamanya Pemuda dahulunya hanya diberikan tugas memasang poster, menaikkan banner, memancang tiang bendera dan memanjat pokok meletakkan poster di tempat paling tinggi, tetapi sekarang, mereka diberikan pertanggungjawaban lebih besar. 
Begitu juga Puteri yang diberikan tanggungjawab semakin bertambah. Wanita sebagaimana kita tahu telah melakukan Jalinan Rakyat bukan hanya bersama sayap itu tetapi dengan semua parti komponen BN.

Apa pesanan kepada ahli-ahli UMNO sempena Perhimpunan Agung kali ini?
AHMAD ZAHID: Pertama, kita harus terus memantapkan semangat kesatupaduan dan bekerja dalam satu pasukan demi kemenangan calon-calon kita dalam PRU-14. Kedua, jika masih terdapat permasalahan dalaman di peringkat akar umbi terutamanya di bahagian, kita ketepikan dan kita fokuskan keprihatinan kita terhadap PRU-14. 
Ketiga, kita mengharapkan jika terdapat isu-isu sensitif di luar gelanggang kita harus lebih memurnikan dengan perasaan penuh harmoni dan agar ia tidak dipolemikkan.

MEMENANGI SEMULA SELANGOR

Adakah tidak mustahil untuk UMNO menang semula di Selangor?
AHMAD ZAHID:Usaha ke arah itu sedang dijalankan namun kita harus bertindak secara bijaksana dan tidak terlalu gelojoh terutamanya apabila persempadanan semula jika diluluskan kelak, maka kaedah-kaedah untuk melihat dengan menggunakan pendekatan  baharu harus dijalankan di peringkat akar umbi.

Datuk Seri, ada tanggapan kononnya UMNO Selangor masih tercari-cari saf kepemimpinan yang boleh membentuk satu dream team bagi menawan negeri ini.
AHMAD ZAHID: Kepemimpinan itu amat subjektif. Seseorang itu tidak ternampak ketokohannya sebelum jawatan itu diberikan kepadanya. Umpamanya jika seorang ADUN biasa tetapi selepas diberikan peluang menjadi ketua pegawai eksekutif di negeri berkenaan, kita lihat ketokohan itu datang. 
Jadi, kita tidak dapat mengandaikan bahawa tidak ada tokoh dalam kalangan ADUN atau Ahli Parlimen sedia ada di Selangor kerana mereka belum diuji untuk menjadi pemimpin nombor satu. 
Tetapi saya yakin daripada pengalaman Menteri Besar  lalu, biarpun satu ketika jawatan asal seseorang Menteri Besar hanya seorang penghulu, jelas apabila individu itu diletakkan sebagai pemimpin utama maka ketokohan itu dilihat amat menyerlah.

PAKATAN HARAPAN DAN DR. MAHATHIR
Pada PRU-14 BN dijangka menghadapi tentangan sengit daripada Pakatan Harapan yang dipengerusikan oleh bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Apa kaedah yang akan diambil untuk mengatasi ‘faktor Dr. Mahathir’?
AHMAD ZAHID: Kita pernah alami permasalahan yang sama dalam pilihan raya umum dan pilihan raya kecil terdahulu. Kita lihat paling sengit pada tahun 1998 apabila ada tokoh daripada UMNO berjuang di luar gelanggang UMNO dan sebelum itu dalam Pilihan Raya Umum 1990 apabila krisis UMNO berlaku pada 1987 yang mengakibatkan UMNO diharamkan pada 1988. 
Jelas bahawa UMNO dan BN masih boleh meraih kemenangan yang cukup memberangsangkan dan masalah ini berulang biarpun tokoh yang terlibat menghalang kejayaan UMNO itu berlainan. Dalam hal ini, kita tidak terlalu membaca sejauh mana kekuatan musuh sahaja tetapi kita harus memantapkan serta memperkasa kekuatan UMNO dan BN. 
Lazimnya jika kita kuat maka sekuat mana musuh yang datang ia akan memberikan hasil yang positif tetapi jika kita merasa diri kita kuat tetapi sebenarnya kita berpecah ketika itulah mereka yang lemah akan mengatasi orang atau organisasi yang disangka kuat.

Menyentuh soal kekuatan dalaman, contohnya di Kedah masih ada dalam kalangan pemimpin UMNO termasuk ADUN dilihat terlampau menghormati Dr. Mahathir. Contohnya dalam sidang DUN, apabila Datuk Seri Mukhriz Mahathir bercakap, tidak ada seorang pun ADUN daripada BN yang bangun untuk membangkang. Apabila ditanya, mereka beri alasan menyerang Dr. Mahathir ini kena berhati-hati. 
AHMAD ZAHID: Untuk menghormati seorang tokoh itu ia tidak menjadi satu permasalahan yang besar tetapi ia tidak diterjemahkan dalam bentuk sokongan. Kita harus ketahui bahawa seseorang yang lama harus dihormati tetapi orang yang lama juga harus menyayangi yang baharu. 
 Saya percaya jika UMNO melakukan serangan berlebihan maka simpati akan memihak kepada seseorang yang diserang. Lebih baik kita mengambil langkah dengan kaedah manhaj siyasi ertinya pendekatan politik bahawa soal kebijaksanaan dan ketatasusilaan diberikan keutamaan. 
 Al-Quran juga menyebut dua perkara iaitu bil hiqmah wal bil hasanah. Kedua-dua unsur itu harus diberikan keutamaan supaya kita dapat melakukan perilaku yang baik dalam politik dan dapat memenangi hati rakyat. Jika kita melakukan sesuatu sebegitu dengan semberono, secara kasar, saya khuatir  akibatnya terlalu mahal yang perlu kita bayar. 

Dalam pilihan raya, Presiden UMNO sendiri kata ada dua pilihan sama ada BN yang ditunjangi oleh UMNO atau Pakatan Harapan yang diketuai DAP. Sejauh mana UMNO boleh memberi keyakinan kepada pengundi Melayu untuk meraih sokongan?
AHMAD ZAHID: Itulah yang sedang berlegar dalam pemikiran bukan hanya orang Melayu tetapi pengundi-pengundi keseluruhannya. Tetapi kita lihat transformasi yang dihidangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN telah menampakkan keberhasilannya apabila touch point itu menjadi feel good factor kepada pengundi-pengundi. 
Ini amat jelas bahawa apa yang dilakukan oleh kerajaan dan pembaharuan secara dalaman yang dilakukan oleh kepemimpinan parti di peringkat akar umbi sehingga ke peringkat nasional telah menampakkan keberhasilannya oleh rakyat. Kita merasakan kemantapan dalam komponen malah kemantapan dalam UMNO sendiri  menampakkan pemerkasaan yang melebihi daripada waktu terdahulu. 


Pakatan Harapan melaksanakan gerakan Jom Ubah! yang menjanjikan perubahan pada Kerajaan Pusat tidak akan menjejaskan orang Melayu. Apa pandangan Datuk Seri?
AHMAD ZAHID:Saya melihat apa pun istilah yang digunakan, itu hanya merupakan suatu retorik politik untuk menggamit sokongan. Namun saya fikir, kedewasaan pengundi-pengundi harus dihormati. Biarpun mereka tidak memperlihatkan angin dan arah sokongan mereka tetapi kita lihat majoriti senyap ini bukan hanya mengikut kajian-kajian untuk menyedapkan diri sendiri tetapi kita telah menggunakan pelbagai pihak untuk melihat realiti di bawah, ke arah mana dukungan mereka. 
Walaupun saya tidak selesa sepenuhnya, saya mempunyai satu keyakinan berbanding dengan kedua-dua pilihan raya lalu. Perubahan ini telah menampakkan satu trend yang agak meningkat. Saya yakin slogan yang digunakan pihak lawan itu hanyalah sebagai slogan tetapi kita yang berada dalam parti pemerintah harus berada di tingkat lebih tinggi. 
Kita harus lebih bijaksana dalam menentukan kita sebenarnya mempunyai banyak kelebihan kerana jika kita tidak menggunakan kelebihan itu sebaik-baiknya, membiarkan pihak lawan untuk melaksanakan apa juga kehendak mereka, maka kita akan tenggelam. Tetapi saya sebutkan bahawa situasi itu di pihak kita telah jauh berbeza berbanding dahulu.

PERSIAPAN PRU-14

Datuk Seri telah meninjau banyak UMNO bahagian. Bagaimana semangat dan sokongan ahli sekarang?
AHMAD ZAHID: Kita tidak boleh melihat kepada deposit hanya dalam kalangan ahli UMNO yang dianggarkan sekitar 28 peratus secara purata ahli-ahli UMNO  merupakan pengundi keseluruhan di kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN). Kita juga mempunyai deposit dalam kalangan ahli-ahli parti komponen Barisan Nasional (BN) namun kita telah meminta parti komponen melakukan metodologi yang sama dari segi menentukan ahli-ahli mereka akan mengundi calon BN. 
Namun, kita tidak hanya boleh mengharapkan undi deposit daripada ahli-ahli parti komponen yang ditunjangi UMNO, kita masih ada tidak kurang daripada 35 peratus pengundi yang menentukan pendirian dan membuat keputusan pada saat-saat akhir bergantung kepada sejauh mana isu-isu dapat diselesaikan oleh kerajaan terutama Kerajaan Pusat dan negeri-negeri yang dikuasai oleh BN. 
 Pada waktu yang sama, mereka juga mahu melihat apakah sesuatu yang baharu terutamanya generasi pengundi kali pertama berada antara 15 hingga 25 peratus dan jika kita kira pengundi di bawah umur 40 hingga 21 tahun, maka jumlahnya lebih besar iaitu melebihi 40 peratus. Mood pengundi bergantung kepada bagaimana jentera UMNO dan BN dapat menguasai minda dan jiwa pengundi-pengundi berkenaan. 

Menyentuh soal generasi muda, cabaran kepada UMNO ialah meletakkan calon yang seimbang iaitu muka baharu dan muka lama. Masalahnya, muka lama masih lagi hendak dikekalkan sebagai calon. 
AHMAD ZAHID: Kita mempunyai sistem baharu dalam memilih calon namun kita terus memakai dan menggunakan metodologi untuk meminta calon-calon itu dikemukakan oleh bahagian dan juga badan perhubungan UMNO negeri. 
 Namun, Presiden parti selaku Pengerusi BN mempunyai kaedah untuk melihat dari segi kaji selidik bebas yang dilakukan oleh sebuah agensi luar untuk melihat bukan hanya nama-nama yang dicalonkan sama ada penyandang kerusi Parlimen dan DUN sedia ada, malah kaji selidik ini melihat dari segi penerimaan oleh pengundi muda dan daya kemenangan (winnable) calon berkenaan serta likeable atau disukai oleh pengundi. 
 Kedudukan seperti dahulu yang menentukan bahawa hierarki pemegang jawatan dalam parti menjadi keutamaan, namun jika ia menimbulkan risiko untuk tidak diterima oleh pengundi maka kaedah ini akan diubah.

Dalam usaha ini juga apakah sikap yang perlu ada dalam kalangan ahli-ahli UMNO agar mereka mematuhi keputusan parti?
AHMAD ZAHID: Ia telah banyak berubah apabila latihan pengkaderan dilakukan melalui program Keris 2314 siri pertama dan kedua. Kita akan merumuskan dalam siri ketiga apabila latihan pengkaderan operational dilakukan, moodnya berbeza berbanding PRU-12 dan PRU-13 .
Kita melihat dari segi microtargeting. Umpamanya kita dapat melihat jika pengundi itu berada di kawasan Parlimen atau DUN berkenaan, ada juga pengundi  berada di luar kawasan. Jadi microtargeting bukan hanya dilihat dari putih, kelabu dan hitamnya tetapi lihat dari segi individu. Ini dilakukan dengan naziran untuk melihat bahawa ia benar-benar dapat memantapkan sistem dan kaedah untuk menyusun pengundi berkenaan.

Soal calon muda dan muka lama, adakah UMNO telah meletakkan peratusan calon muda yang akan diketengahkan?
AHMAD ZAHID: Kita sedaya mungkin akan meletakkan muka-muka baharu yang terdiri daripada calon-calon mewakili sayap. Pada waktu yang sama juga kita mengambil kira calon yang mewakili Wanita dan juga dari semua parti komponen. Ini bukan satu sistem kuota tetapi sistem untuk memberikan peluang kepada pemimpin pelapis mewakili parti dan rakyat. 
Senarai calon walaupun telah dikemukakan tetapi belum dimuktamadkan dan perkiraan kepada wakil-wakil daripada semua pergerakan dan muka baharu turut diambil kira pastinya oleh Presiden parti.

Sebagai parti yang lama, isu untuk menempatkan calon muda seperti sesuatu yang tidak mencapai apa yang diharapkan. Kalau kita lihat dalam PRU lepas selepas pengumuman calon, kita lihat ramai orang Melayu merasakan UMNO perlu tampil lebih berani meletakkan calon baharu, tak semestinya muda tetapi muka baharu termasuk golongan profesional. Apa pandangan Datuk Seri?
AHMAD ZAHID: Benar, itulah sebabnya apabila saya menyatakan tentang metodologi atau kaedah pemilihan calon, ia tidak menggunakan pendekatan sama tetapi pendekatan baharu ini telah mengambil kira golongan profesional, muka-muka baharu yang mempunyai potensi untuk terus diketengahkan.

Bagaimana pula dengan negeri-negeri yang ditadbir oleh pembangkang seperti Pulau Pinang dan Selangor. Adakah sokongan kini telah beralih kepada UMNO?
AHMAD ZAHID: Kita mempunyai dua pendekatan terutamanya, to retain ertinya harus kekalkan kerusi-kerusi sedia ada yang dimenangi, insya-Allah dengan majoriti yang lebih tinggi. Yang kedua adalah to regain ertinya mengambil alih semula kerusi-kerusi yang kita kecundang. Umpamanya, kalau kita dapati  kekalahan itu disebabkan oleh pengurangan yang agak marginal maka usaha-usaha operational tertentu akan dilakukan untuk proses regain kepada kerusi-kerusi berkenaan. 
Dua kaedah ini walaupun saya tidak boleh sebut secara umum tetapi saya ingin menekankan harapan Presiden parti untuk menentukan terdapat kawasan tumpuan dan operasi yang harus dijadikan sebagai landasan untuk kita mencari jalan meraih kejayaan lebih besar.

MASA DEPAN UMNO

Sebagai seorang pemimpin UMNO, jika ada, apakah perkara yang mengganggu fikiran Datuk Seri tentang masa depan parti?
AHMAD ZAHID: Yang mengganggu saya adalah peristiwa ketika Saidina Ali bin Abu Talib menjadi khalifah. Ditanya oleh sahabatnya, Saidina Ali itu muda maka zaman kepemudaan itu Islam begitu kuat. Maka jawapan Saidina Ali ketika itu adalah zaman baginda menjadi pemimpin kepada generasi muda ketika itu, pengikutnya adalah seperti baginda. Tetapi zaman ketika orang itu bertanya kepada Saidina Ali maka Saidina Ali berkata, zaman kamu, ramai orang seperti kamu. 
Ini bukan saya menyanggah mana-mana pihak tetapi kita harus turut merelevankan UMNO agar terus mendekati hati dan pemikiran generasi muda kerana kita tahu  mereka beranggapan UMNO berada dalam pentas politik Malaysia  selama lebih tujuh dekad. 
Oleh itu usaha merelevankan agenda dan menghidangkan harapan baharu kepada generasi muda  harus diteruskan. Saya yakin apa yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib adalah memperkirakan faktor-faktor itu. Mudah-mudahan, jika ini diterima dan dapat dilaksanakan, tidak ada sesuatu pun yang merisaukan saya. 

PENGARUH PAS

Bagaimana Datuk Seri melihat tentang kedudukan dan pengaruh Pas, adakah memberi kelebihan kepada UMNO atau sebaliknya?
AHMAD ZAHID: Kita tidak pernah membincangkan tentang soal tahaluf siyasi atau kerjasama politik. Kita hanya berkongsi tentang soal taawun dan tabayyun yang menjuruskan kepada menangani beberapa isu utama yang melibatkan umat Islam, orang Melayu dan isu negara. Kita juga melakukan pencerahan dan kristalisasi terhadap isu-isu. 
Saya ambil contoh, tentang kebersamaan yang disebut sebagai pencerahan terhadap isu. Bila berlaku spekulasi yang pelbagai terhadap Rang Undang-undang (RUU) 355, jelas bahawa kolaborasi ini memberikan pengharapan yang baharu terhadap kepemimpinan Pas dan pengikut mereka untuk memberi kepercayaan yang lebih. 
 Biarpun dahulu mereka yang berada dalam Pas tidak bersetuju dengan pembentangan RUU berkenaan dan telah terpacul keluar daripada parti induk mereka, jelas kristalisasi isu ini  memberikan cahaya baharu kepada kepemimpinan Pas. 
Malah, kita lihat isu-isu yang disepakati bersama seperti mana isu Rohingya apabila pemimpin Pas dan UMNO berada di pentas yang sama, ia memperlihatkan bahawa kita tidak membincangkan isu tahaluf tetapi benar-benar menterjemahkan soal tabayyun dan taawun. 

SETIA BERSAMA PRESIDEN
Bagaimana pula dengan komitmen Datuk Seri terhadap Perdana Menteri sebagai Presiden parti?
AHMAD ZAHID: Saya amat menghargai pengiktirafan yang dilontarkan oleh Perdana Menteri dalam ucapan Bajet 2018 dan Bajet 2017 terhadap diri saya secara peribadi dan dalam ucapan dasar dan penggulungan, perkara ini telah disebut.
 Biarpun saya tidak terbuai dengan pujian itu tetapi saya sering menghargai dukungan beliau. Saya juga sentiasa menganjurkan bukan hanya  pemimpin tetapi juga ahli akar umbi dapat mendukung dengan memberikan sokongan kepada Datuk Seri Najib.
 Ini memandangkan beliau telah melakukan yang terbaik dan transformasi yang dilaksanakan amat luar biasa. 
Tiada kata-kata sesuai untuk saya menyatakan penghargaan, apa yang boleh saya lakukan ialah melalui gerak kerja dan usaha yang saya lakukan bagi menterjemahkan rasa sokongan saya terhadap beliau secara rasmi dan peribadi.

TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB

Bagaimana Datuk Seri menguruskan tekanan dalam menjalankan tugas-tugas sebagai Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri?
AHMAD ZAHID: Saya amat memahami tugas Perdana Menteri yang turut melunaskan pertanggungjawaban sebagai Presiden parti dan Pengerusi BN. Atas kapasiti itulah saya membantu beliau. 
Saya mengenali beliau dalam tempoh yang agak panjang, pada saya bukan sekadar mengenali tetapi bekerja sebagai seorang anggota dalam pasukan kepemimpinannya. Maka agak selesa saya menjalankan tugas apabila ketua itu memahami terdapat tugas yang harus dilaksanakan untuk membantu beliau.
Dalam hal ini, saya tidak pun pernah berasa tertekan dalam beban kerja kerajaan atau parti kerana kita tidak harus bekerja bersendirian. Kita harus bekerja dalam semangat sepasukan. 
Maka dengan kerjasama Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam parti selaku Naib Presiden dan rakan-rakan Jemaah Menteri yang membantu Perdana Menteri dan saya, turut memberikan dukungan terhadap tugas-tugas itu, justeru bebanan tugas secara kolektif dapat diringankan.
 Tetapi jika kita mengambil sikap untuk membolot semua tugas maka saya fikir kaedah lama itu tidak relevan dengan situasi sekarang.

KESEDARAN ORANG MELAYU

Menyentuh soal kesedaran politik dalam kalangan orang Melayu, masih ramai lagi yang belum mendaftar sebagai pengundi. Yang kebanyakannya terdiri  dalam kalangan generasi muda Melayu.
AHMAD ZAHID: Kita mengakui hakikat bahawa kempen kesedaran telah dilakukan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri telah melakukan usaha-usaha dengan melantik agensi-agensi untuk membuka kaunter pendaftaran. 
Saya lihat keberhasilan dari segi pendaftaran ini melebihi daripada pilihan raya umum sebelum ini. Walaupun jumlah yang belum mendaftar itu masih besar, saya fikir majoriti daripada mereka yang layak mengundi itu telah mendaftar sebagai pemilih. 

Pesanan Datuk Seri kepada orang Melayu menjelang PRU-14?
AHMAD ZAHID: Kita tahu bahawa hanya UMNO yang menjadi kubu kepada Melayu biarpun terdapat beberapa parti Melayu yang memperjuangkan isu hampir sama. Ini adalah kubu terakhir orang Melayu dan rekod telah memperlihatkan bahawa kita memperjuangkan orang Melayu tanpa meminggirkan kaum-kaum lain. Ya, kita memperjuangkan Islam tetapi tidak mengetepi agama lain. 
Semangat toleransi UMNO yang tinggi itu harus dilihat sebagai asas bahawa kita sanggup mengharmonikan semua situasi termasuk sanggup berkongsi kuasa biarpun kuasa itu boleh dibentuk atas nama keindukan.
Perkongsian itu dijelmakan  dalam bentuk pelantikan anggota pentadbiran seperti jemaah Menteri dan Timbalan Menteri serta pelbagai agensi lain. Apa pun UMNO harus dilihat sering melakukan keadilan dan perkara ini harus diserap dalam jiwa semua orang.

SOKONGAN KAUM CINA
Semasa di Bagan Datuk baru-baru ini, Datuk Seri berucap di hadapan kaum Cina. Antara kenyataan Datuk Seri adalah ‘jangan buat silap lagi’. Adakah kali ini Datuk Seri yakin mereka tidak akan mengulangi kesilapan lalu?
AHMAD ZAHID: Pada dua pilihan raya umum lalu, mereka menggunakan tagline ‘Ini kalilah!’. Tetapi jelas sebanyak dua kali itu, mereka tidak memperoleh hasil yang terjelma daripada penanaman bibit-bibit kebencian mendalam yang ditanam DAP kepada BN untuk diraih dalam kalangan kaum Cina. 
Kita lihat di pihak sebelah sana yang jelas ditulangbelakangi oleh DAP, mereka telah mencuba dan meletakkan daya usaha peringkat maksimum untuk meraih undi kaum Cina. 
Saya yakin pada kali ini, oleh kerana pengundi Cina telah mencuba sebanyak dua kali dan jelas bahawa ia tidak memberikan sebarang keberhasilan maka, sekurang-kurangnya di peringkat kawasan Parlimen saya, perubahan itu saya dapat rasakan. Bukan hanya dari segi bahasa badan tetapi dari segi komitmen yang telah mereka perlihatkan mutakhir ini. 


Adakah Datuk Seri berpuas hati dengan prestasi rakan-rakan komponen BN untuk menarik sokongan pengundi bukan Melayu?
AHMAD ZAHID: Kekhuatiran saya adalah apabila kerusi-kerusi yang mereka menangi adalah kerusi-kerusi yang majoritinya Melayu. 
Pada 1987 dan 1988 apabila UMNO berada pada tahap yang rendah dan kita mengalami pilihan raya umum pada 1990, ketika itu rakan-rakan kita dalam parti komponen membantu kita untuk mencapai kemenangan lebih dua pertiga majoriti. Ini kita harus mengakui bahawa terdapat parti komponen kita yang berada di tahap UMNO terdahulu. 
Maka tanggungjawab kita dalam kepayahan mereka, kita turut membantu mereka. Saya yakin perkongsian kuasa yang menjadi konvensyen kepada penubuhan Perikatan dahulu dan BN kini boleh dilakukan jika kita mempunyai keserasian untuk membantu antara satu sama lain, termasuk mengoperasikan jentera di peringkat pusat daerah mengundi.