Video oleh ABDUL YAZID ALIAS

Apa yang melegakan rakyat Selangor, mereka kini bukan sahaja boleh menjimatkan wang sehingga ratusan ringgit sebulan tetapi juga tidak lagi perlu bersesak-sesak membayar tol setiap hari terutamanya di waktu puncak.

Lebih menggembirakan, pemansuhan kedua-dua tol itu sebenarnya telah dibuat 20 tahun lebih awal dari tarikh sepatutnya kutipan tol itu tamat iaitu pada 31 Disember 2038.

Ini berdasarkan perjanjian konsesi yang disemak semula pada 2011 antara Kerajaan Persekutuan dan Plus Malaysia Berhad (PLUS) bagi mengurangkan kesan kenaikan kadar tol kepada rakyat.

Perkara itu diakui sendiri oleh syarikat PLUS yang turut menyatakan bahawa penstrukturan semula itu juga menyebabkan tiada sebarang kenaikan kadar tol dilaksanakan di lebuh raya itu sejak 2005.

Ini bermakna pengguna Lebuhraya Persekutuan tidak lagi perlu membayar ratusan ringgit setiap bulan selama 20 tahun tetapi juga mampu menjimatkan wang mereka sehingga puluhan ribu ringgit sepanjang tempoh itu.

Pemansuhan tol sebenarnya bukanlah sesuatu yang a­sing bagi Kerajaan Persekutuan kerana sebelum ini sudah ada beberapa tol dimansuhkan walaupun tempoh konse­sinya masih panjang.

Bagaimanapun untuk memansuhkan sesebuah plaza tol itu bukanlah sesuatu perkara mudah dan boleh dibuat sesuka hati kerana kerajaan perlu membayar kos tinggi untuk melakukannya ekoran perlu membayar pampasan kepada pemilik konsesi.

Sebab itu kerajaan terlebih dahulu perlu menilai kemampuannya untuk membayar pampasan selain menilai liabiliti konsesi lebuh raya sebelum membuat keputusan untuk memansuhkan kutipan tol.

Ini kerana pemansuhan tanpa membuat penilaian terperinci akan menjejaskan perbelanjaan kerajaan khususnya untuk sektor penting seperti kesihatan dan pendidikan.

Malah, dalam pemansuhan kutipan tol di Sungai Rasau dan Batu Tiga ini, kerajaan dijangka membayar pampasan secara keseluruhan mencecah RM2.04 bilion kepada PLUS bersamaan RM102 juta kepada PLUS setiap tahun bagi baki kontrak perjanjian yang sepatutnya selama 20 tahun, berakhir pada 2038.

Pemansuhan tol itu juga membuktikan komitmen UMNO Bahagian Shah Alam dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang selama ini memperjuangkan isu itu sehingga pernah menghantar memorandum berhubung perkara itu kepada Kementerian Kerja Raya pada 11 Jun 2011.

Selain itu, gesaan pemansuhan itu turut dibuat berte­rusan oleh UMNO Bahagian Shah Alam dan pernah diangkat dalam perbahasan serta ucapan dalam Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini. Akhirnya, atas keprihatinan Perdana Menteri yang memahami denyut nadi rakyat, hasrat rakyat menyaksikan pemansuhan kutipan tol di kedua-dua tol berkenaan tercapai.

Yang pastinya pemansuhan kutipan tol di Sungai Rasau dan Batu Tiga bukan sahaja memberi khabar gembira kepada rakyat tetapi turut mematahkan fitnah pembangkang sebelum ini kononnya Kerajaan Pusat khususnya UMNO menjadi punca kepada peningkatan kos hidup rakyat ketika ini.

Walhal, kutipan tol dikenakan ke atas pengguna jalan raya ketika ini sebaliknya hasil daripada keputusan kerajaan terdahulu di bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika ini mengetuai gabungan pembangkang diperintah DAP.

Peliknya, Dr. Mahathir ketika ini seolah-olah sudah lupa apabila menjaja isu tol serta menyalahkan Kerajaan Pusat di bawah pimpinan Najib sedangkan beliaulah yang bertanggungjawab dalam perkara itu semasa mengetuai kerajaan sebelum ini.