Teruk sangat ke orang Kelantan ni? Saya sendiri pun tidak pasti apa yang tidak kena pada orang dari negeri Cik Siti Wan Kembang. Saya ada kawan dari Kelantan, jiran saya orang Kelantan, depan meja saya di pejabat pun orang Kelantan. Tapi sampai nak kahwin dengan orang Kelantan pun jadi isu, itu sudah lain macam. Memanglah semangat kenegerian mereka kuat, atau ikatan brotherhood dan sisterhood mereka cukup erat. Itulah sebab mereka senang nak survive di mana-mana pun. Ramai yang boleh membantu, tidak kiralah sokongan moral atau dalam bentuk fizikal.

TANGKAP layar mesej dalam WhatsApp antara pasangan tunang memutuskan
TANGKAP layar mesej dalam WhatsApp antara pasangan tunang memutuskan hubungan akibat tidak direstui keluarga yang tular dalam media sosial, baru-baru ini. 

Berbalik kepada isu tadi, nak saya ulas, takut nanti dikatakan bias pula. Jadi saya carilah orang Kelantan, biar mereka sendiri yang cakap.

Gadis dari Kuala Krai, Amirah, 19, ternyata kesal. Baginya, tidak patut aspek kenegerian dijadikan isu terutama dalam perkara-perkara ke arah kebaikan. Apa yang penting adalah hati budi seseorang, selain keserasian pasangan yang mahu mendirikan rumah tangga.

“Kenapa nak jadikan benda tu sebagai isu? Orang Kelantan sama saja dengan orang dari mana-mana negeri lain pun.

“Okey apa Kelantan. Semua perempuan sama saja, tiada beza pun,” katanya.

Tapi betul ke alasan orang Kelantan yang menjadi punca majlis kahwin yang tular itu dibatalkan? Atau ada sebab lain?

Menurut Aina, 30, dari Pasir Mas, dia mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena. Katanya, mungkin lelaki terbabit sudah ada calon lain, maka dijadikanlah cerita keluarga tidak restu sebagai alasan.

“Tu semua alasan. Kemungkinan lelaki tu dah ada perem­puan (calon) lain,” katanya.

Ujarnya, mungkin adat dari setiap negeri itu berbeza-beza tetapi di sisi Islam, semua manusia sama sahaja darjatnya.

Bagi peniaga dari Tumpat, Nik, 55, campur tangan keluarga terutama ibu bapa kadang-kala mempengaruhi juga anak dalam membuat keputusan untuk berkahwin. Kadang-kadang pasangan lelaki dan perempuan yang bercinta sudah setuju dan serasi antara satu sama lain, namun orang tua pula masuk campur. Bukan orang tua tidak berkenan pilihan anaknya, jauh sekali menghalang untuk berkahwin, tetapi ada alasan lain hingga mampu mempengaruhi hasrat anak mereka yang murni itu.

“Budak-budak (anak) sekarang tak jadi masalah. Nak bercinta dengan orang Kedah ke, Terengganu ke, budak-budak ni sudah suka sama suka.

“Tapi yang masalahnya peranan orang tua, sampaikan isu kenegerian pun dimainkan. Contoh, kononnya kalau kahwin dengan orang Kedah, orang Sarawak, jauhlah. Susah nak balik kampung nanti,” jelasnya.

Bagi saya, kalau nak jadikan alasan, bukan sahaja Kelantan, negeri-negeri lain pun sama sahaja. Masing-masing ada ‘pantang’ nak menerima orang luar masuk dalam keluarga mereka.

Sudah-sudahlah, dalam zaman moden ini tidak perlu lagilah kita nak libatkan isu remeh-temeh sebegini hingga menghalang orang mahu mendirikan masjid. Tok sir!