Apatah lagi ia bukan menjadi budaya orang Malaysia, tentunya ramai akan mengecam tindakan itu yang difikir boleh mengancam nyawa si kecil.

Cinta Nabeela Muhamad Riduwan hanya genap 12 bulan ketika pertama kali menjejakkan kaki di pergunungan Annapurna Region Himalaya, Nepal.

Kata orang, alah bisa tegal biasa. Dek kerana cinta ibu dan ayahnya kepada dunia pendakian, kehadiran Cinta Nabeela dalam kehidupan mereka bukan penyebab untuk meninggal aktiviti itu.

Malah mereka mahu setiap jejak langkah mereka berdua mengelilingi dunia turut digendong bersama anak.

Walaupun kerja turun naik gunung sudah biasa bagi pasangan Muhamad Riduwan Ali, 33, dan Fatin Nabeela Jumaat, 26, bukan mudah untuk dilakukan bersama bayi, lebih-lebih lagi dalam keadaan Cinta Nabeela masih menyusu badan.

Namun berbekalkan tekad dan keazaman tinggi untuk terus memberikan susu ibu sepenuhnya, ia juga tidak menghalang Fatin Nabeela berbuat demikian walaupun terpaksa disempurnakan dalam keadaan cuaca di bawah suhu -10 darjah Celcius.

Video oleh Maisarah Sheikh Rahim

Sesungguhnya ia sesuatu yang amat mencabar dilakukan jika tanpa perancangan rapi. Justeru mereka telah pun mengatur segala persediaan sejak Cinta Nabeela berusia tiga bulan lagi.

Ilmu-ilmu berkaitan pendakian bersama bayi dipelajari di samping melakukan kajian berkaitan bagi memastikan tidak berlaku sebarang masalah semasa pengembaraan itu.

Walaupun Muhammad Riduwan seorang jurulatih sukan mendaki, dengan pengalaman lebih 10 tahun hiking di serata dunia, perkara-perkara berkaitan kelengkapan dan pemakaian betul hiking bayi, pengurusan risiko, aspek-aspek keselamatan dan langkah-langkah kecemasan tidak diambil mudah malah digandakan persediaannya.

“Sebelum buat hiking bersama bayi ni, kita dah study, apatah lagi suami memang kerja sepenuh masa sebagai consultant adventure. Kita buat kajian pengurusan risiko bagaimana mengelak dan apa nak buat kalau berlaku kecemasan selain bersedia dengan peralatan peta dan sistem penentu kedudukan global (GPS) jika sesat.

Perkara sebegini orang Malaysia jarang didedahkan sebab itu ramai akan kecam jika pendaki bawa bayi,” katanya kepada Cekmek Molek ketika ditemui baru-baru ini.

Ibu dan ayah mana tidak sayangkan anak. Memikirkan lokasi pendakian mereka di pergunungan sejuk di bawah tahap beku, tentunya boleh memberi risiko kepada individu yang tidak biasa dengan cuaca sebegitu apatah lagi bayi.

Maka Cinta Nabeela mula dibiasakan dengan alam semula jadi, sejak berusia tiga bulan dilatih memasuki hutan dan pernah mendaki Bukit Broga dan Bukit Gasing. Si kecil itu turut dilatih dengan persekitaran sejuk termasuk pernah dibawa mandi laut di Pulau Bali, Indonesia.

 Keadaan kesihatan Cinta Nabeela yang sentiasa sihat tanpa pernah mengalami demam sejak lahir memberi lebih keyakinan kepada ibu dan ayahnya untuk membawanya dalam misi pengembaraan ini.

Mungkin ramai tidak tahu lokasi pendakian di negara luar terutama Nepal adalah kurang berisiko. Trek pendakian di sana bukan dalam hutan yang tebal seperti di Malaysia. Tetapi ia berbentuk trek mengembara dari kampung ke kampung dalam altitud menaik.

Dan sepanjang perjalanan mereka ke Annapurna Region, Nepal Himalaya dengan ketinggian 3,500 meter dilengkapi akses keselamatan dan lokasi menyelamat mencukupi sekira ada pendaki terperangkap.

“Kami bersyukur pengembaraan pertama Cinta Nabeela amat baik sekali. Dia memberikan mood yang baik sepanjang perjalanan dan pendakian kami dari bandar Kathmandu ke Manang sejauh 55 kilometer dalam tempoh sembilan hari.

“Dia hanya menangis sebab lampin basah, lapar dan bosan. Kalau dengan cuaca sejuk dia nampak okey.

“Cuma bahagian paling mencabar untuk saya susukan dia dengan keadaan cuaca -10 darjah Celcius. “ Jadi kami mencari tempat yang sesuai untuk menyusu yang ada halangan angin bagi mengelak rasa sejuk. Bagaimanapun sentuhan badan antara saya dan bayi mampu mengurang rasa sejuk,” ujarnya.

Pengembaraan Fatin Nabeela bersama ‘cintanya’ itu membuktikan tiada yang mustahil dilakukan jika dilengkapi segala persiapan dan ilmu. Mendaki bersama bayi tidak menjadi masalah asalkan bukan dibuat secara semborono.

Elakkan terlalu percaya kepada mitos, ‘jangan bawa bayi masuk hutan, nanti kena sampuk hantu’. Tetapi persediaan rohani perlu dilakukan dengan membaca ayat al-Quran sebelum memulakan pengembaraan sebagai tanda kita mengingati-Nya.

Fatin Nabeela turut menolak pandangan dia hanya mahu menunjuk-nunjuk dalam media sosial apabila cuba membawa bayi mendaki bersama. Katanya, dia tidak pernah terfikir soal itu kerana aktiviti mendaki adalah sebahagian gaya hidup mereka suami isteri dan mahu anaknya dilibatkan sekali.

“Aktiviti mendaki ini merupakan sumber rezeki suami dan dia mahu isteri dan anaknya terlibat bersama.

“Kita enjoy gaya hidup sebegini dan kita akan cuba untuk melakukan segalanya bersama anak tidak kira ke mana sahaja sekali pun di tempat pergunungan salji,” katanya yang kini banyak memberi pendedahan informasi dan kesedaran kepada orang ramai berkaitan pendakian di laman Instagram miliknya, @nabeelajay dan @pakatanbejalan.

Sesungguhnya keindahan alam tidak cukup digambarkan dengan kata-kata. Hanya pandangan mata mampu menjadi saksi Cinta Nabeela.