Video oleh MUHAMMAD AZIM ZAID

Memang menyakitkan mata apabila saya melihat gambar sampah dan puntung rokok dibuang merata-rata manakala beberapa kemudahan lain turut dirosakkan. Perbuatan musnah laku atau vandalisme ini bukan sahaja merosakkan kemudahan yang disediakan untuk projek pengangkutan awam bernilai RM21 bilion ini tetapi turut mencalarkan nama baik Malaysia dalam kalangan pelancong luar negeri.

Pengarah Komunikasi Stra­tegik dan Hubungan Pihak Ber­kepentingan MRT Corp, Datuk Najmuddin Abdullah turut berkongsi gambar serta kekesalan beliau mengenai sikap sesete­ngah pengguna MRT yang sengaja menggores dinding dan bangku, merosakkan tandas malah sanggup merosakkan ukiran Rukun Negara di Stesen Merdeka. MRT Corp adalah pemaju dan pemilik projek MRT manakala Rapid Rail Sdn. Bhd. adalah pengendali perkhidmatan MRT.

Saya percaya semua ini dilakukan oleh sebilangan kecil rakyat Malaysia yang berperangai hodoh atau the ugly Malaysian kerana masih tidak tahu menghargai kemudahan yang dibina kerajaan untuk rakyat, termasuk prasarana bertaraf dunia seperti MRT. Mereka yang tidak bertanggungjawab ini akan merosakkan apa sahaja yang dapat dicapai tanpa ada sedikit pun rasa bersalah.

Seperkara lagi yang perlu diberi perhatian adalah sikap tidak bertanggungjawab sesetengah ibu bapa yang membiarkan anak-anak mereka berlari, bermain dan memanjat pelbagai kemudahan yang disediakan termasuk eskalator dan hiasan dinding. Ada juga yang membiarkan anak-anak mereka berlari di dalam tren dan keluar masuk sesuka hati ketika pintu tren dibuka.

Ibu bapa perlu ingat bahawa stesen MRT dan tren-tren yang disediakan bukan padang permainan. Sudah pasti kemalangan akan berlaku jika anak-anak dibiarkan bermain tanpa ada pengawalan. Bayangkan kekecohan yang akan berlaku jika ada kanak-kanak yang tersepit di eskalator atau pintu tren. Sudah tentu nanti ada yang menuding jari kepada pihak pengurusan MRT atau pihak berkuasa lain seolah-olah semua kesalahan tersebut terletak di atas bahu pihak lain.

Sebenarnya saya telah beberapa kali menimbulkan kebimbang­an mengenai isu ini termasuk ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuka fasa pertama Laluan Sungai Buloh-Kajang, dari Sungai Buloh ke Semantan, pada 15 Disember tahun lalu.

Sebelum ini, pelbagai kemudahan yang disediakan oleh kerajaan turut menjadi mangsa vandalisme. Kelemahan aspek penyelenggaraan juga memburukkan keadaan apabila kemudahan yang rosak tidak dibaiki segera. Walaupun memang terdapat mereka yang gemar merosakkan kemudahan awam sebagai satu tabiat, ada juga individu yang melakukan vandalisme untuk melepaskan kemarahan dan kekecewaan terhadap sesuatu.

Pengendali MRT harus mencontohi prosedur operasi stan­dard yang digunakan oleh pemilik konsesi lebuh raya untuk menjaga kebersihan dan keselesaan tandas di tempat rehat dan rawat (R&R) mereka. Pemilik dan operator MRT juga harus menambah bilangan pekerja serta memasang kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi strategik bagi mengawasi kemudahan dan mengenal pasti mereka yang merosakkan kemudahan yang disediakan.

Dalam pada itu, pihak staf pengurusan MRT Corp juga harus mengadakan lebih banyak pemeriksaan mengejut selain menggalakkan pemimpin politik, pegawai kerajaan dan pemimpin industri untuk menggunakan MRT dan berkongsi pandangan dan pengalaman mereka.

Hakikat bahawa penumpang harian untuk Laluan MRT SBK telah melepasi 140,000 orang membuktikan kemudahan bertaraf dunia itu kini menjadi pilihan orang ramai. Pencapaian ini harus membakar semangat semua pihak berkepentingan untuk mengambil tindakan segera bagi menghentikan masalah vandalisme yang semakin buruk.

Saya harap MRT Corp, Ra­pid Rail dan kontraktor mereka mempu­nyai jumlah pekerja yang mencukupi untuk mengawasi stesen MRT serta melaksanakan kerja-kerja pembersihan, ter­utama tandas.

Pada pendapat saya, masanya sudah tiba untuk kerajaan memperkenalkan undang-undang an­ti-vandalisme yang menyediakan hukuman setimpal termasuk melaksanakan kerja-kerja kemasyarakatan. Jika perlu, kerajaan juga boleh memperkenalkan hukuman rotan kepada mereka yang merosakkan harta awam sepertimana yang dilaksanakan di negara jiran. Kita perlu mengambil tindakan segera ke­rana perbuatan vandalisme bukan sahaja melibatkan stesen-stesen MRT tetapi juga kemudahan lain di seluruh negara.

Walau apa jua alasan yang diberikan, kita tidak ada pilihan selain mengubah mentaliti kita dan mendidik orang ramai tentang pentingnya menjaga kemudahan yang dibina oleh kerajaan manakala budaya penyelenggaraan yang baik juga harus dijadikan amalan.

Malaysia sebenarnya terke­nal sebagai negara yang bangga de­ngan kejayaan menyediakan infrastruktur bertaraf dunia tetapi tidak dalam soal penyelenggaraan kemudahan ber­kenaan. Penyelenggaraan yang lemah bagi setiap bangunan dan kemudahan awam sebenarnya boleh meng­undang kemalangan dan kece­deraan.

Sehubungan itu, audit ke­selamatan perlu dilakukan de­ngan kerap manakala tindakan penyelenggaraan perlu dibuat segera bagi mengelak kemalangan dan tragedi yang tidak diingini. Langkah-langkah proaktif sebegini sudah tentu dapat memastikan kemudahan yang dibina kerajaan seperti MRT bukan sahaja dapat bertahan untuk kegunaan kita pada masa ini tetapi juga untuk generasi yang akan datang.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).