Kata Dekan Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Abdul Shukor Juraimi, ada dalam kalangan ibu bapa kita sendiri pernah mempraktikkannya. Menoreh getah misalnya, pukul 4 pagi mereka sudah keluar rumah dalam keadaan gelap gelita.

Tujuannya bagi membolehkan susu getah keluar banyak. Lagipun suhu pada waktu itu cukup

ABDUL SHUKOR
ABDUL SHUKOR 

nyaman. Memanglah gelap tetapi pokok getah yang ditanam sederet memudahkan pergerakan penoreh. Guna lampu suluh yang diletakkan di kepala sudah memadai.

“Pukul 10 pagi mereka sudah habis kutip susu getah, kemudian proses getah di bawah teduhan (bangunan). Pukul 11, 12 tengah hari selesai semuanya.

“Dalam tempoh enam jam selesai semua kerja, mereka boleh balik rumah,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Serdang, Selangor, baru-baru ini.

Di negara-negara yang mempunyai empat musim di mana ada kala waktu siangnya begitu pendek, para petani di sana sudah biasa bekerja dalam cuaca gelap. Tiada masalah pun malahan hasil pengeluaran tetap memberangsangkan.

Apa yang penting, aktiviti pertanian itu sendiri kerana ada yang sesuai dilaksanakan pada waktu malam, ada juga yang tidak praktikal. Juga mesti bersifat pertanian moden seperti kaedah pertanian pintar, menegak atau bandar.

Misalnya yang mengusahakan rumah hijau, mereka boleh menuai dan membaja pada sebelah malam. Keadaan di dalam rumah hijau juga terkawal, cukup segala kemudahan seperti lampu. Di Cameron Highlands memang ada yang mengusahakan pertanian sedemikian.

Sektor lain yang sesuai adalah pertanian intensif seperti fertigasi. Biasanya yang ditanam dalam polibeg, kawasan bersih tanpa semak samun serta saiz ladang tidak berapa luas. Menurut Abdul Shukor, beliau sendiri pernah melawat ladang cendawan yang melaksanakan kaedah pertanian pintar oleh MIMOS Sdn. Bhd. di Kundasang, Sabah.

Bertani pada waktu malam juga lebih selesa. Kalau siang suhunya antara 33 hingga 37 darjah Celcius, malam pukul 10 atau 11 biasanya 25 darjah Celcius. Sayur juga tahan lebih lama, boleh terus bungkus sebaik sahaja dipetik dan masukkan ke bilik sejuk untuk dipasarkan dalam keadaan segar.

Walau bagaimanapun, padi mungkin belum sesuai diusahakan pada waktu malam kerana kawasannya luas. Waktu malam juga agak bahaya kerana biasanya haiwan berbisa seperti ular keluar mencari makan, justeru ada sedikit kerisauan dari segi keselamatan pesawah.

Video oleh Zabry Mohamad Madzlan

Kualiti

Kecualilah menggunakan kaedah moden seperti rumah hijau, namun di negara kita padi ditanam di bendang. Tapi di Jepun sudah dipraktikkan.

Begitu juga kelapa sawit. Pekebun terdedah kepada serangan haiwan liar seperti babi hutan dan ular pada waktu malam. Lagipun ladang kelapa sawit sangat luas, pastinya sukar dikawal.

Jelasnya, tidak semesti petani terhad bekerja pada sebelah malam sahaja. Mereka boleh mengatur jadual kerja mengikut kesesuaian masing-masing. Misalnya petani boleh turun selepas pukul 5 petang semasa matahari mulai terbenam. Pada waktu ini suhu tidak panas.

“Pukul 7.30 malam berhenti rehat untuk solat maghrib, pukul 9 berhenti rehat pula untuk makan dan isyak. Pukul 1 pagi selesai, cukup kerja lapan jam.

“Pukul 2 pagi sudah boleh masuk tidur. Masih lagi boleh dapat kualiti tidur yang mencukupi,” ujarnya.

Abdul Shukor memberitahu, penggunaan teknologi canggih yang melibatkan gajet mampu menarik minat golongan belia untuk menceburi bidang pertanian pintar. Anak-anak muda pastinya teruja kerana tidak lagi perlu berpanas di bawah terik matahari.

Boleh menggunakan telefon bimbit sahaja untuk memantau tanaman, membekalkan air dan baja, mencegah serangan serangga perosak, mengawal suhu dan sebagainya. Nak sembur racun pun boleh guna dron.

Semuanya hanya di hujung jari. Begitu juga ternakan dalam bangunan atau reban. Kita boleh jaga makan minum haiwan ternakan, pantau makanan serta penyakit dengan guna gajet sahaja.

Beliau mencadangkan kerajaan mendirikan ladang pintar contoh untuk dijadikan model pertanian waktu malam. Dari situ, orang ramai boleh melihat sendiri kaedahnya.

Ini semua tidak mustahil dilakukan dengan adanya inisiatif daripada kerajaan disokong sistem-sistem sedia ada. Sudah sampai masanya kita berbuat demikian memandangkan negara sedang memasuki era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0).

Selain itu katanya, hasil pengeluaran makanan negara kita pun bukanlah membanggakan sangat. Beras masih diimport sebanyak 30%. Pengeluaran daging lembu pun kita hanya 23 % manakala kambing 10 %.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya melihat cadangan Perdana Menteri tersebut secara positif. Pertanian waktu malam tidak mustahil diusahakan di negara ini tetapi bergantung juga kepada jenis tanaman.

Kalau nak bagi alasan bertani pada waktu malam takut menjadikan seseorang tiada masa bersosial, hari Sabtu dan Ahad masih ada untuk berbuat demikian.

Orang yang kerja syif pun tiada masalah, apatah lagi petani yang bekerja sendiri. Usahlah fikir semua negatif.