Khabarnya beliau baru selesai bermesyuarat dengan delegasi perniagaan China mengenai kejayaan eksport durian Musang King negara ke republik tersebut.

Menerima baik kedatangan Utusan Malaysia ke pejabatnya, Salahuddin dalam pertemuan hampir dua jam dengan wartawan ZULKIFLI JALIL, HAFIZAHRIL HAMID, NIZAM YATIM dan ASYRIQ FAHMY AHMAD itu berterus terang akan impiannya untuk melihat petani dan nelayan benar-benar menikmati pulangan hasil daripada kudrat yang diusahakan mereka.

“Mengapa petani masih miskin sejak berpuluh-puluh tahun lalu,” soal Salahuddin kepada kami. 

Dan bila masuk bab politik, ketegasan Salahuddin begitu terserlah apabila kami ajukan dakwaan yang kerap ditujukan orang luar khususnya Pas terhadap Parti Amanah Negara (Amanah). Apa lagi kalau bukan bunyinya: ‘Amanah alat strategi DAP’.

Salahuddin juga percaya ketajaman mata pena boleh membentuk dan membina masyarakat. Di Indonesia katanya, dengan novel yang dihasilkan sahaja sudah cukup untuk menggugat dunia.

Ikuti temubual berikut yang Salahuddin sendiri meminta dilakukan secara santai tanpa terikat pada soalan-soalan yang sebelum itu kami e-melkan.

PETANI PERLU BERUBAH, BERPENGETAHUAN

Isu sekarang adalah kenapa selepas lebih 60 tahun negara kita merdeka, dengan begitu banyak peruntukan yang kita dapat, menteri pun semua Melayu, tetapi majoriti petani, pesawah dan nelayan kita masih miskin. Itulah saya rasa cabaran yang besar kerana saya pun naik dari bawah.

Saya lahir dan membesar di kampung nelayan, pernah menjadi peraih ikan, pernah berkebun, bapa mentua dan majoriti orang kampung pun nelayan, apa yang tidak kena?

Kita kena tengok kepada skop lebih besar, bukan penyelesaian secara sedikit demi sedikit dan dalam satu malam. Saya kena sabar dan fokus untuk mengubah masa depan mereka.

Pertama, adalah teknologi dan kedua, sikap. Bila saya turun padang, dua benda ini yang saya jumpa. Kalau dibandingkan jelapang Sekinchan dengan sebelahnya sahaja, hasil cukup berbeza, satu tinggi dan satu rendah sedangkan kita guna varieti padi dan baja sama, puncanya adalah sikap, maknanya ada petani yang tiada disiplin.

Saya rasa tugas kita adalah untuk memberikan mereka pendidikan, menambah mereka dengan pengetahuan serta memperkenal mereka kepada teknologi baharu bagi membolehkan semua sektor pertanian dimodenkan.

Untuk mengubah perkara ini kita kena ada kumpulan sasaran baharu iaitu anak muda. Mereka ini lebih terbuka dan pantas serta berpengetahuan dalam teknologi maklumat (IT).

Kita nak perkenal kepada mereka apa yang dron boleh buat dalam bidang pertanian seperti pemetaan tanah dan menjimatkan masa kerja-kerja penyemburan baja dan racun.

Teknologi moden lain adalah menyediakan traktor mini untuk penanaman padi dan Internet Saling Berhubung (IoT) serta kecerdasan buatan (AI).

MENTERI HARUS BERANI HADAPI KARTEL

Kartel ini dia ada rantaiannya yang telah berakar umbi lebih 60 tahun. Dia orang boleh ‘bunuh’ saya kerana pertanian ini adalah perniagaan yang memberikan pulangan berbilion-bilion ringgit, tetapi menteri kena berani bersuara dan saya mempunyai keberanian itu.

Bukan saya berani sangatlah, tetapi kalaulah 35 tahun saya berjuang (dalam politik) saya hadapi semua sekali, petani bawah sana miskin, saya kena ambil cabaran ini. Saya mati pun tidak apa, saya rela.

Tetapi saya akan buat secara bijaksana. Pertama, kita kena engage (dapat kerjasama) dengan semua pegawai. Kita nak rungkai satu rangkaian kartel ini bukan mudah. Kita memerlukan keberanian dan penuh keyakinan untuk bergerak ke hadapan.

Kalau saya panggil mesyuarat dan maki pegawai pun tidak selesai masalah (kartel). Orang kata Ketua Setiausaha (KSU) begini-begini.

Saya kata saya jadi menteri, saya memimpin dan ajak mereka bersama-sama, barulah kita boleh bergerak ke hadapan. Jadi saya kena sabar dan bijak.

Setakat ini, Alhamdulillah KSU dan Timbalan KSU sangat menyokong usaha ini.

NAFAS BANGKITLAH SEMULA...

Saya masuk bulan enam, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) digantung. Kecewa dan sedihnya saya membaca laporan itu. Saya nak marah pun tidak boleh, sebab itu adalah agenda (membantu) Melayu.

Tetapi apabila Nafas diberi selama berpuluh-puluh tahun dapat rundingan terus baja kepada kerajaan, yang bernilai berbilion-bilion ringgit, tetapi 13 anak syarikat rugi. Dah lah tidak buat bisnes dan hanya bergantung kepada baja. Baja pula rundingan terus tetapi masih rugi.

Jadi persoalannya agihan ke mana? Hanya segelintir yang dapat, saya tak nak huraikan lebih lanjut, you faham-fahamlah. Jadi langkah ke hadapan saya sekarang ini untuk dua tiga tahun ini, saya mesti ada upper hand (kawalan) dalam hal ini.

Jadi sekarang saya nak Nafas balik semula. Saya dah minta pengurusan Nafas yang baharu membuat pelan perniagaan serta ekosistem dalam bidang poultry (ayam itik), perladangan, ruminan dan tenusu.

Ada empat bisnes besar yang akan dibuat oleh Nafas. Kemudian saya akan cuba untuk tahun ini atau tahun hadapan masih dapat rundingan terus lagi.

Saya juga hendak tubuh Tabung Pelaburan Petani macam Amanah Saham Nasional (ASN). Saya minta Permodalan Nasional Bhd. (PNB) nasihat, supaya keuntungan dapat terus kepada petani.

HALA PUSAT FIDLOT KEBANGSAAN (NFC)?

Perkembangan terkini tentang NFC ini adalah perundingan sedang dibuat di peringkat akhir. Saya diberitahu ada syarikat lain yang nak beli NFC ini dan sekiranya mereka boleh selesaikan dari segi perundangan, kementerian tidak ada masalah.

Kita nak NFC berkembang, kalau kita hold (tangguh) pun tiada faedah, kes mahkamah (berlarutan), ini akan menyusahkan semua pihak. Jadi buat apa berdendam. Dua hari lepas KSU tengok terma dan syarat syarikat ini dan berita baik katanya.

Jadi dalam masa singkat kita akan selesaikan isu ini. Kalau ada syarikat lain nak teruskan, okey, tetapi hutang kena bayar balik kepada Kementerian Kewangan, negara pun untung.

JASA UTUSAN

Sebenarnya Utusan ini ada jasa kepada saya. Semasa saya menjadi Ahli Parlimen dan Ketua Pemuda dahulu walaupun saya dalam Pas, Utusan memberikan liputan yang bagus.

Berapa siri saya mendapat muka tengah, sampaikan kepemimpinan Pas berasa cemburu dengan saya, kata nak masuk UMNO ke.

Betul! Dia kata, eh! baik sangat ni, dia takut saya masuk UMNO, akhirnya dia (Pas) yang pergi kepada UMNO sekarang.

Saya kata, saya cakap benda yang sepatutnya saya cakap sebagai pemimpin yang dilatih dalam Pas, saya hanya mengamalkan untuk menjadi seorang Muslim yang baik, cakap elok-elok. Mungkin Utusan rasa saya sesuai.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) pun saya terhutang budi, betul, bukan apa, saya banyak dapat peluang seperti Debat Perdana, jadi semua orang merasakan saya akan meninggalkan Pas.

Memang Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) pada masa itu nak saya masuk UMNO. Pak Lah pujuk saya, katanya kalau saya (Pak Lah) beri satu kerusi kepada MCA, Gerakan, kenapa tidak saya beri satu kerusi kepada orang baik macam you.

Jadi itu pada 2004, masa itu Barisan Nasional (BN) menang besar, bukan dua pertiga tetapi majoriti sembilan per 10.

Apa hujah Amanah alat DAP?

SAYA sudah tidak hiraukan lagi isu ini (Amanah alat DAP), bukan benda baharu. Tanggapan sama turut melanda dalam Pas sebelum ini apabila Pas bekerjasama dengan DAP. 

Apa sahaja bentuk kerjasama yang menjadi cabaran kepada BN pasti ayat sedemikian akan dikeluarkan. Ia merupakan ayat yang paling mudah untuk difahamkan kepada rakyat, ‘alat kepada DAP’, nampak macam praktikal namun tidak sebenarnya bagi DAP. Saya merasakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebenarnya dapat mengawal dari segi polisi dan dasar.

PERTEMUAN dengan Salahuddin Ayub di Kuala Lumpur kelmarin turut disertai Ahli Lembaga Pengarah Utusa
PERTEMUAN dengan Salahuddin Ayub di Kuala Lumpur kelmarin turut disertai Ahli Lembaga Pengarah Utusan Melayu (M) Bhd. Datuk Ahmad Fauzi Zahari (dua dari kanan). – UTUSAN/GAIE UCHEL

Saya sendiri pun tidaklah bodoh sebegitu, sebagai seorang Melayu, Islam dan terdidik di dalam Pas begitu lama dengan perjuangan untuk bangsa dan agama biarpun sebesar mana sekalipun misi tidak mungkin saya akan korbankan perkara asas ini. 

Jadi di dalam Parti Amanah Negara (Amanah) ini apa yang kita korbankan? Dalam kerajaan PH yang ada pada hari ini apa yang telah dikorbankan?

Lainlah jika ada mana-mana ahli dalam parti (Amanah) yang telah kehilangan jati diri, mula berkompromi, luntur akhlak sejak bersama DAP barulah ada hujahnya. Apa yang telah kami gadaikan? Dari segi agama, cuba sebutkan apakah perkara yang berkaitan agama telah parti Amanah gadaikan? 

Adakah kedudukan Raja-raja Melayu terjejas, adakah Islam sebagai Agama Rasmi Persekutuan terhakis? Hak-hak orang Melayu apa yang kita ambil? Jika betul perkara sedemikian berlaku, beritahu saya.   

KALAULAH PAS  TIDAK PATAH BALIK...

Apabila kami keluar (dari Pas), ia adalah atas pilihan sendiri kerana kita merasakan bahawa Pas ketika itu tidak lagi menepati pendekatan politik yang bagi kami sangat perlu untuk berkuasa. 

Ramai dalam kalangan kepimpinan Amanah semasa di dalam Pas dahulu yang tidak bersetuju dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang masa itu bukan melibatkan soal agama tetapi ada sesuatu yang kami merasakan beliau tidak lagi membuat keputusan yang betul. 

Contohnya seperti isu yang melanda dalam kepemimpinan BN sebelum ini, apabila berlaku perkara yang tidak betul tiada siapa yang berani menegur.

Jika ada yang mendesak sehingga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan digantikan oleh timbalannya, hari ini saya masih lagi pembangkang rasanya. 

Ada juga yang menyatakan jika hal itu terjadi, mungkin UMNO akan selamat. Tidak berlaku seperti hari ini, tetapi itu telah ditetapkan oleh Allah SWT. Begitu juga saya dengan Tok Guru Abdul Hadi, kealimannya, kewarakannya, saya masih hormat, namun dari segi pendekatan politik ia agak berbeza.

Pas saya rasa tidak lagi boleh bawa visi kami untuk moderate ke arah Islam yang lebih progresif.

Bagi saya Tok Guru Abdul Hadi telah membawa parti itu balik semula 30 tahun ke belakang, jadi kami tidak boleh terima situasi tersebut melainkan jika saya menjadi yes man.

Saya di dalam Pas hampir 35 tahun, memegang jawatan Ketua Pemuda Pas Pusat. Visi kami ketika itu amat jelas. Islam ini bagi saya bukan hanya tertumpu kepada soal sembahyang, puasa.

Jika itu yang difokuskan semata-mata, tiada siapa faham ideologi dibawa dan mereka tidak akan mengundi kita. 

Sebab itu Pas hanya kekal berkuasa di Kelantan dan Terengganu sahaja, sepatutnya apa yang kita perjuangkan adalah bagaimana Islam itu boleh diterapkan dalam proses tadbir urus yang baik, kita nak menentang kemungkaran dan sebagainya. Oleh yang demikian kita memerlukan kuasa politik.

Perjuangan kami ketika di dalam Pas waktu itu sehingga mampu meyakinkan orang bukan Islam mengundi Pas. Kita sudah pergi sejauh itu. Bayangkan Pas tidak berpatah balik, Pas merupakan kerajaan sekarang, mungkin Tok Guru Abdul Hadi telah pun menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Oleh sebab yang demikian kami menubuhkan Amanah dan dibawa masuk ke dalam arus perdana (PH), lalu menang. Jika Pas tidak berpatah balik, mereka itu  parti kedua terbesar.

Bagaimanapun perkara yang sebaliknya berlaku dan kini berkawan pula dengan UMNO, untuk apa?

Jika objektifnya adalah untuk memperjuang dan meletakkan bangsa serta agama pada tempat yang sepatutnya, apa yang diperlukan adalah kuasa. Tapi jika bergabung dengan parti kalah, apa boleh mereka buat? 

AMANAH TERUS BELA MELAYU ISLAM

Siapa yang mengatakan bahawa Amanah tidak mempedulikan bangsa dan agama? Saya adalah Melayu dan Islam, bottom line saya masih memperjuangkan negara Islam dan kepentingan Melayu, saya tidak akan kompromi tentang hal itu. Namun jika berlaku penyelewengan janganlah pula kita kompromi.

Tidak boleh. Dalam Amanah, kami mahukan Melayu mendominasi negara kita dan agama Islam dipelihara. Namun kita tidak seperti Pas yang sewenang-wenangnya mengkafirkan orang lain, menuduh orang lain tidak beriman dan sebagainya. Naratif kita berbeza. 

Sebagai contoh bagaimana kita berhadapan atau menangani perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti terdapatnya kilang arak, golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT). Adakah perlu kita bakar kilang-kilang arak ini, mengambil tindakan ekstrem terhadap golongan LGBT? 

Mestilah tidak, bagaimana kita berhadapan dengan rakyat sebegini? Islam ini bagaimana sebenarnya? 

Naratif Islam itu sebenarnya tidak sampai sebagai contohnya isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), ia tidak menyentuh kepentingan Melayu pun.

Oleh itu, naratif kita kena betul, seperti juga anda (Utusan Malaysia) jika mahu orang Melayu maju, kita kena beri kesedaran (educate) minda orang Melayu, jangan lagi berpegang kepada naratif sebelum ini, kita akan mati, Melayu akan mati. Beri orang Melayu ruang untuk berani berfikir, pandu mereka bagi arah yang betul kepada mereka.

Untuk membentuk sebuah negara Islam, kita memerlukan pemimpin Melayu Islam yang jelas akan pembawakan tidak menyalah guna kuasa, tidak racial dan kita bukannya mahu mempraktik Islam yang radikal. 

Cumanya kita hari ini ada sedikit perselisihan contohnya tentang pengiktirafan Sijil UEC (Unified Examination Certificate). Apa yang saya bagi tahu adalah penyampaian naratifnya (UEC) adalah tidak berapa kena. 

Jika diubah sedikit dengan memasukkan klausa atau komitmen untuk turut menjadikan calon sijil tersebut menitikberatkan penguasaan Bahasa Melayu dan diiktiraf terlebih dahulu oleh Kementerian Pendidikan dan segala prosedur operasi standard (SOP) contohnya, maka segalanya akan menjadi lebih mudah. Naratifnya perlu tepat agar lebih mudah di fahami.