UTUSAN: Pada Perhimpunan Agung UMNO 2012, semua pemimpin dan perwakilan menyatakan akan mengutamakan parti, tetapi apabila PRU-13 berlaku sabotaj dan boikot calon. Bagaimana mahu memastikan perhimpunan kali ini tidak sekadar retorik?

HISHAMMUDDIN: Ketika itu ramai perwakilan dan ahli UMNO berada dalam keadaan tidak menentu. Sebahagian besar penuh persoalan dan ada yang berada di persimpangan. Tahun ini saya lihat banyak perkara yang kita ta­ngani secara tertib dan bijaksana melalui kesabaran dan meletakkan agenda parti lebih penting.

Sebagai Pengerusi Jawatan­kuasa Usul, saya berasa lega ke­rana kita telah kembali kepada perkara asas perjuangan UMNO iaitu berkaitan pembelaan ke atas orang Melayu dan Islam. Saya berharap apa yang diperkatakan di perhimpunan kali ini dapat dihayati bukan sahaja oleh perwa­kilan tetapi juga rakyat.

Walaupun UMNO mengamalkan perkongsian kuasa, namun ada dalam kalangan ahli parti merasakan sesetengah kawasan majoriti pengundi Melayu yang diberikan kepada komponen Barisan Nasional (BN) perlu diambil semula oleh UMNO. Apa panda­ngan Datuk Seri?

Yang penting kita menang. Di kawasan saya, Sembrong, saya Ahli Parlimen, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada MCA dan seorang lagi daripada MIC. Dalam kawasan MIC itu, pengundi Me­layu 99 peratus. Pe­ngundi India hanya 600 orang. Tetapi oleh kerana khidmat Yang Berhormat R. Vidyananthan yang cemerlang, mereka tetap sokong beliau. Saya merasakan sebagai Ahli Parlimen, tidak ada sebab kita tidak boleh jadikan Sembrong sebagai contoh konsep BN yang diimpikan oleh Datuk Onn Jaafar.

Kalau kita tengok penghormatan yang diberikan oleh pe­mimpin di luar negara, dalam situasi dunia yang cukup kompleks kini, mereka tertanya-tanya bagaimana kita me­mimpin sebuah negara majmuk. Saya tanpa apologetik berkata, ini kepe­mimpinan UMNO dan kebijaksa­naan itulah dihormati, dihargai dan dilihat sebagai satu wadah yang boleh dicontohi negara-negara lain.

Malangnya, di negara kita, ada pihak yang memperlekeh dan menidakkannya. Itu satu pendekatan berbahaya. Mereka mungkin menang sorak tetapi kalau kampung tergadai pada masa itu, siapa mereka mahu tuduh? Apakah kita juga? Tidak mungkin.

Ada pihak mengatakan kelemahan sesetengah parti komponen BN seolah-olah menjadi liabiliti kepada UMNO?

Ia tidak menjadi liabiliti kalau kita menggemblengkan tenaga. Meniti perjalanan kita suatu ketika dahulu, orang Melayu pernah berpecah. Ketika itu, kaum bukan Melayu membantu memastikan parti kita dapat diwariskan kepada generasi dan pemimpin akan datang. Kali ini, memang saya tidak nafikan cabarannya besar. Apa yang penting persefahaman dan tolak ansur. Kawasan-kawasan yang parti komponen tidak mampu bertahan, mereka perlu rea­listik untuk memberi ruang kepada UMNO kerana yang penting BN menang.

Itu yang menjadi pertimbangan seluruh kepemimpinan, bukan sahaja dalam UMNO dan Majlis Tertinggi (MT) tetapi juga BN. Kita perlu tekankan, tetapi ka­lau mahu tekankan itu, UMNO perlu ada winning mentality.

UMNO di peringkat bawah jangan ‘cah keting’. Jangan menu­ding jari sesama kita dalam parti. Kita hendak mengajar orang lain tetapi kalau sendiri pun tidak bersatu, tidak dapat perkukuhkan solidariti, bagaimana hendak meyakinkan parti lain bahawa apa yang kita lakukan ini ikhlas dan untuk kepentingan ramai.

PRU-14 bakal menyaksikan peningkatan jumlah pengundi muda. Adakah UMNO bersedia meletakkan calon-calon yang menepati pengundi muda tanpa mengetepikan muka-muka lama?

Orang muda tidak lihat dari segi calon sahaja. Yang penting adalah pemimpin yang boleh mendekati mereka. Umur tidak menjadi pertimbangan. Yang ke­dua, kita meletakkan calon muda, wajah baharu, nafas baharu, suntikan baharu tetapi pada masa sama kita mahu yang berpengalaman dan dapat mendekati rakyat.

Jika mereka dapat memenuhi kriteria itu, tidak kiralah sama ada yang muda, dewasa atau wanita, yang penting, rakyat boleh terima mereka. Perjuangan kita untuk orang muda cukup penting tetapi ia tidak berkisar tentang pencalonan sahaja.

Semasa saya Ketua Pemuda dahulu, banyak calon Pemuda diberikan ruang dan Alhamdulillah, mereka sekarang menjadi pe­mimpin-pemimpin kanan dalam parti. Seperti Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Idris Haron dan ramai lagi. Yang pentingnya, bukan sahaja hendak bertanding dalam pilihan raya kali ini. Yang kedua, mereka juga mesti dite­rima di kawasan masing-masing. Ketiga, mereka mesti ada harapan sebagai pemimpin yang akan mencorakkan kepemimpinan negara pada masa akan datang.

Berkaitan peremajaan parti, mampukah UMNO menampilkan imej sebagai wadah suara orang muda dalam PRU-14?

Saya rasa mampu kerana Datuk Seri Najib sendiri telah mendekati golongan muda.

Walaupun diberikan gambaran dan persepsi yang pelbagai tetapi ramai yang di sebelah sana pun tidak mendekati mereka. Kadang-kadang perkara ini putar belit sahaja.

Ada ruang lagi untuk kita cari jalan ke hadapan dengan golongan muda. Datuk Seri Najib contohnya melalui Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Kalau itu tidak merupakan sesuatu yang memberikan keutamaan kepada generasi muda, apa lagi?

Bermakna kita hendak mendengar daripada mereka sendiri apa aspirasi mereka menjelang 2050. TN50 itu hanya satu contoh di mana kita mengupayakan dan memperkasakan dan kita meletakkan cita rasa dan aspirasi golongan muda sebagai perkara cu­kup penting.

UMNO dikenali dengan peranannya mempertahankan kepentingan orang Melayu dan Islam, namun ada ketikanya peranan ini menyebabkan UMNO dalam kea­daan tersepit apabila berdepan parti-parti komponen BN?

Itu saya faham sangat, bukan mudah kita hendak memimpin sebuah negara. Mereka seharus­nya menghormati perjuangan kita sama seperti mana kita menghormati perjuangan mereka. Ini tidak bermakna keretakan itu hanya berkisar sekitar kaum dan agama. Kalau kita lihat apa yang menular di Asia Barat, sesama Islam, kesannya lebih dahsyat jika dibandingkan dengan hanya pertimbangan politik kita hari ini dalam konteks BN.

Mereka perlu memahami jika tidak menghormati apa yang UMNO lakukan sebelum ini, tidak menghargainya, tidak berusaha merapatkan diri dengan apa yang kita lakukan, tidak memahami apa sebenarnya DNA UMNO, maka tidak boleh salahkan UMNO sekiranya wujud satu persepsi bahawa UMNO hanya memperjuangkan orang Melayu dan Islam.

Apa harapan Datuk Seri pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 kali ini?

Pertama, jurucakap-jurucakap diharapkan mengeluarkan hujah yang mampu mengeratkan perpaduan, mengukuhkan solidariti dan menyuntik semangat yang menyatupadukan kita.

Kedua, membuktikan kepada orang ramai bahawa UMNO sudah pulih daripada ketidaktentuan dua tahun lalu. UMNO telah pulih kepada asal.

Ketiga, diharapkan jurucakap kita menghargai perwakilan yang telah diuji walaupun ditekan, diasak dan dituduh macam-macam. Ini memandangkan mereka yang berhimpun di Pusat Daga­ngan Dunia Putra (PWTC) kali ini meru­pakan orang UMNO yang setia dan meletakkan parti sebagai keutamaan mereka.

Akhir sekali kita kena tunjukkan UMNO sudah pun bertekad dan membulatkan azam untuk berdepan dengan PRU-14. Apabila tamat perhimpunan nanti, mereka akan pulang ke bahagian masing-masing dengan semangat luar biasa untuk mendapat mandat lebih besar PRU-14.

Apa harapan Datuk Seri kepada orang Melayu, walaupun mereka ini tidak mendapat ganjaran dan sebagainya tetapi mereka ini tetap mengharapkan UMNO berjaya untuk kepentingan Melayu dan Islam?

Secara peribadi, saya menghargai sangat mereka kerana beberapa tahun sebelum ini kepemimpinan UMNO terpaksa berdepan desakan dan serangan bertubi-tubi. Tetapi yang memberikan kita kekuatan ialah perwakilan dan orang UMNO di pe­ringkat akar umbi.

Ini saya harap dapat dikupas dengan baik oleh jurucakap di perhimpunan kerana survival dan masa depan UMNO banyak bergantung kepada ahli-ahli, bu­kan individu mahupun pemimpin tertentu.

Ia datang da­ripada kekuatan akar umbi se­bab itu kita perlu memasti­kan Wanita UM­NO dihargai, anak-anak muda ­melalui Pergerakan Pemuda dan Puteri diiktiraf serta perwakilan kita dapat me­nyesuaikan diri dalam keadaan politik yang cukup kompleks.

Kita dapat melihat Datuk Seri agak sibuk dengan tugas rasmi kerajaan sehingga timbul cakap-cakap mengatakan Datuk Seri kurang turun padang bertemu akar umbi. Bagaimana Datuk Seri menangani persepsi itu?

Saya sudah penat melayan mereka yang ingin melaga-lagakan saya dengan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid atau Datuk Seri Najib. Sekarang ini bawa cerita saya mahu menjadi Perdana Menteri, sebelum ini cerita kata saya nak jadi Timbalan Perdana Menteri.

Jadi, kita hanya boleh jawab perkara ini dengan tindakan kita, saya nyatakan secara terus terang hubungan saya dengan Ahmad Zahid dan Najib cukup erat. Tiada gunanya kita pegang jawatan tinggi kalau hari-hari kita berkecamuk sebab melayan orang yang nak laga-lagakan kita. Tak ada kerja lain. Sebab itu hendak turun ke bawah pun mesti ada sebab, bukan sebab hendak jawatan atau pengaruh, hendak kejar jawatan dalam parti.

Kalau kita turun sebagai satu pasukan, itu satu kekuatan. Kalau kita turun semata-mata kerana perlu turun, apa guna­nya pada parti?

Ahli akademik, merasakan imej UMNO tidak begitu menonjol kerana ia bergerak atas sifat kerajaan. Imej UMNO itu tidak berapa menonjol dalam kalangan pe­mimpin UMNO sendiri, contoh­nya Ahli MT tidak diperkasakan untuk turun ke bawah atas sifat Ahli MT. Mungkin sampai masanya UMNO melihat kon­­sep parti itu harus disamaratakan dengan konsep kerajaan.

Mungkin dalam landskap yang kita sedang selami hari ini, cara UMNO melihat ke depan perlu disesuaikan. Ini tidak bermakna sebelum ini kita meminggirkan pandangan ahli akademik. ­Seperti anak muda dan wanita juga, kita menganggap ulama dan cendekiawan cukup penting untuk beri input kepada kita.

Namun, persepsi kerajaan de­ngan parti ini sampai kiamat tidak selesai, kerana titik perpisahan itu wujud kerana satu pihak lagi mentadbir negara manakala satu pihak lagi memperjuangkan apa yang kita warisi daripada pejuang parti kita dahulu.

Cuma kita perlu memastikan perkara yang diperjuangkan parti itu diambil kira dalam memimpin negara. Banyak perkara yang merupakan perjuangan UMNO tetapi yang menyedihkan, orang tak nampak, orang tak dengar dan orang tak iktiraf apa kejayaan kita selama ini kerana mereka lebih suka melayani isu-isu sensasi.

PRU-14 DAN PAKATAN HARAPAN

Bagi pengundi bukan Melayu terutamanya kaum Cina, kita telah mengetahui polanya dalam PRU-13. Bagaimana Datuk Seri melihat kemungkinan pola pengundian mereka dalam PRU-14?

Susah hendak diramalkan tetapi saya ada pengalaman peribadi di kawasan saya. Jumlah pe­ngundi Cina ramai. Pengundi Melayu dan India hanya 54 peratus sahaja. Saya lihat ada perubahan tetapi bimbang bila pilihan raya umum semakin dekat, isu-isu yang dimainkan sama ada benar, tidak benar atau separuh benar ditularkan. Kalau kita tidak sempat menanganinya, ini akan mempengaruhi mereka yang menerima pembelaan kita selama ini termasuk kaum Cina dan India di Sembrong. Adalah penting bagi kita ­meyakinkan mereka bahawa dalam pilihan raya dahulu hasrat mereka melihat inilah masanya mengubah kerajaan tidak berlaku. Persepsi ketika itu seolah-olah ia sedang berlaku. Itu yang mungkin ada gelombang daripada pihak sana. Kali ini saya harap situasi berubah.

Bagaimana Datuk Seri melihat situasi dalam Pakatan Harapan ketika ini?

Gandingan dalam Pakatan Ha­rapan lagi rapuh. Apa visi mereka untuk membangunkan dan menjaga keselamatan negara termasuk yang bukan Melayu dan bukan Islam? Mereka hanya menyuntik kebencian dan meme­cahbelahkan rakyat, saya tak nampak apa sebenarnya visi mereka untuk memimpin negara.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PKR mula memukul canang kononnya mampu memperjuangkan agenda Melayu dan Islam lebih baik daripada UMNO. Komen Datuk Seri?

Mereka juga ke­na meyakinkan DAP dan penyokong DAP, bagaimana mahu memastikan perjuangan mereka untuk orang Me­layu dan Islam dapat difahami dan disokong oleh DAP.

Dalam bahasa mudah, kalau ada parti tertentu yang fokus kepada Sabah, satu parti fokus kepada Melayu dan Islam, satu lagi parti hanya fokus kepada Cina-Kristian atau Cina-Buddha, ia bermakna mereka sebagai satu pakatan tidak mampu ketengahkan satu misi untuk negara yang realitinya majmuk. Yang itu mereka perlu tunjukkan kepada orang ramai. Kita harap perhimpunan UMNO kali ini dapat menterjemah dan mendedahkan kelemahan mereka.

Apa pandangan Datuk Seri mengenai bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini menganggotai Pakatan Harapan?

UMNO parti keramat. Saya hargai keyakinan dan kesetiaan ahli kepada kepemimpinan, Sebab itu saya kecewa dengan Dr. Mahathir.

Semasa beliau susah dulu kita tolong meyakinkan rakyat terhadap kepemimpinan beliau. Pada masa itu, beliau menggunakan hujah yang sama untuk mengekalkan kepemimpinannya dalam UMNO dan kerajaan selama 22 tahun. Saya sebagai Ketua Pemuda terpaksa menilai apa yang beliau cuba yakinkan kepada Pemuda ketika itu dan apa sebabnya kepemimpinan beliau penting.

Saya masih ingat lagi beliau kata kedudukan Presiden itu tidak penting tetapi institusi Presiden itu penting. Sebab itu kena sokong. Sekarang, beliau pula menyerang institusi dan parti yang selama ini mempertahankannya. Sebab itu saya kata beliau cakap tak serupa bikin.

Dahulu, beliau suruh kita bermusuh dengan Kit Siang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP tetapi sekarang boleh duduk semeja kerana ­kononnya mereka boleh bersama secara ikhlas.

UMNO telah melalui bermacam-macam ujian pada satu ketika dahulu. Teruk juga survival UMNO semasa beliau me­mimpin dan kita yang mempertahankan beliau. Seperti orang Johor kata, tak aci.

Orang yang tidak terlibat secara langsung seperti saya ini tidak perasan, mungkin terikut-ikut dengan apa yang dikatakannya. Bagi saya, ada hikmah apa yang berlaku. Yang bersama kita sekarang adalah mereka yang diuji kesetiaannya dan boleh diharap meneruskan perjuangan parti.