Mengirimkan doa atau hajat melalui ibu bapa, adik-beradik, saudara mara mahupun sahabat handai yang menunaikan haji atau umrah memang perkara biasa tetapi mengambil upah berdoa dengan harga tertentu (RM250 hingga RM2,500) atas keberkatan bumi Mekah adalah satu perbuatan yang tiada dalam syarak.

Alhamdulillah, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha segera menjelaskan hukum perbuatan itu bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dalam masyarakat.

Ini satu hal. Ada satu hal lain yang penulis merasakan umat Islam perlu tahu mengenainya. Sebagaimana kita tahu kerajaan Arab Saudi telah membuat peraturan baharu iaitu bermula bulan Muharam lalu jemaah yang mahu menunaikan umrah buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun Hijrah akan dikenakan caj visa sebanyak 2,000 riyal (RM2,250).

Walau bagaimanapun peraturan baharu itu tidak tertakluk kepada jemaah yang kali pertama memasuki tanah suci untuk menunaikan umrah atau haji. Mereka dikecualikan daripada caj tersebut.

Tidak lama selepas dikuatkuasakan, tiba-tiba tular pula di media sosial bahawa Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dikatakan membatalkan peraturan baharu tersebut.

Namun begitu pihak berkuasa Arab Saudi segera tampil membuat penjelasan dengan menyatakan tiada arahan terkini dikeluarkan berhubung pembatalan kadar baharu visa negara itu seperti yang diputuskan sebelum ini.

Ini bermakna caj baharu visa untuk jemaah umrah kali kedua tetap berkuat kuasa dan tidak pernah dibatalkan. Sehubungan itu, jemaah yang mahu menunaikan umrah buat kali kedua dalam tempoh tidak sampai tiga tahun Hijrah akan tetap dikenakan caj visa sebanyak RM2,250.

Berkaitan caj baharu tersebut, penulis dan bapa baru-baru ini ada bertanyakan tentangnya kepada seorang ustaz di tempat kami yang juga seorang mutawif. Kata ustaz itu, dia boleh menguruskan pemergian jemaah umrah kali kedua tanpa perlu membayar caj visa lebih RM2,000 itu.

Penulis bertanya bagaimana? Ustaz itu berkata caranya cukup mudah. Caranya adalah dengan merosakkan pasport lama (belum tamat tempoh) dan kemudian digantikan dengan pasport yang baharu.

Kaedah untuk rosakkan pasport itu kata ustaz ber­kenaan ada pelbagai cara antaranya mengoyakkannya atau meletakkan air di beberapa helaian pasport itu agar tulisan dan copnya mengembang sehingga tidak boleh dibaca.

Apabila rosak, jemaah boleh menggantikannya dengan pasport baharu di pejabat imigresen berdekatan. Dengan menggunakan pasport baharu pihak kedutaan besar Arab Saudi tidak akan dapat mengesan rekod pemergian ke tanah suci sebelum ini.

Oleh itu apabila permohonan visa dibuat, jemaah ber­kenaan hanya dikenakan caj biasa, seolah-olah baru pertama kali pergi menunaikan umrah sedangkan dia adalah jemaah umrah kali kedua.

Penulis dan bapa terkejut dengan jawapan yang diberikan kerana perbuatan itu bagi kami ada ciri-ciri penipuan. Pasport yang elok sengaja dirosakkan semata-mata mahu ke tanah suci. Matlamat tidak boleh menghalalkan cara. Walaupun matlamatnya baik tetapi itu bukan bermaksud kita boleh melanggar peraturan sesuka hati termasuk dengan cara menipu.

Lagipun jemaah terbabit sudah pun pergi menunaikan umrah. Persoalannya wajarkah jemaah melakukan sedemikian sedangkan dia bukan jemaah umrah kali pertama? Oleh itu sekiranya jemaah umrah kali kedua tetap juga mahu pergi ke tanah suci sila sediakan caj visa sebanyak RM2,250.

Jika tidak, tunggu sehingga habis tiga tahun Hijrah. Jangan rosakkan pasport semata-mata mahu mendapatkan caj visa biasa. Alangkah baiknya kita menunggu daripada menunaikan umrah yang dikhuatiri tiada nilainya di sisi Allah SWT. Wallahu’alam.