Sebelum bas bergerak emak menghulurkan RM50 se­ba­­gai tambah duit belanja. Saya sebak. Titis hujan dan air­mata bers­atu. RM50 itu besar bagi keluarga kami. Dalam perjalanan sesekali terasa kesal menerima tawaran kerja di Utusan Melayu. Bukankah lebih bertuah kalau berjaya temuduga sebagai posmen. Tanpa pengetahuan emak dan ayah, saya berjanji dengan “tukang atur” untuk mem­be­ri­kan sebulan gaji sebagai upah. Tetapi gagal juga.

Saya sampai ke pondok pengawal Utusan Melayu pukul 7.30 pagi. Sunyi dan tidak ada orang kecuali pengawal. Saya beritahu hendak berjumpa Encik Zainuddin Maidin. Pengawal itu menjegil kepada saya. Rupa-rupanya waktu berkerja pukul 10 pagi. Saya melaporkan diri di atas tangga semasa Zainuddin berjalan naik dengan beg briefcase dan terus panggil masuk ke pejabat.

Di sini, walaupun ada editornya kelihatan bengis dan garang tetapi keluarga besar Utusan Melayu sangat hu­ma­nis. Ini membuatkan saya yang jauh dari dunia asing tidak terasing di warisan pusaka orang Melayu paling berjasa ini. Mereka memberi ilmu tanpa cemburu. Zainuddin sendiri misalnya kerap memanggil saya "menghadap" di biliknya. Wa­taknya yang bengis, serius dan sukar kompromi terha­dap kesilapan memang menggerunkan.

Sebenarnya saya tidak diasuh di mana-mana sekolah kewartawanan. Utusan Melayu adalah universiti saya, ke­tua-ketua daripada dulu, Zainudin (Zam), Johan Jaaffar, Khalid Mohd. dan sekarang Aziz Ishak telah membentuk karakteristik pemikiran kewartawanan saya.

Saya dibentuk tanpa sedar oleh ketua-ketua yang ber­pengaruh ini. Oleh yang demikian saya menghargai me­re­ka seumpama Mitch Albom mengenang pensyarahnya Profesor Morrie Shwartz yang menderita sakit amyotrophic lateral selerosis (ALS) dalam buku Tuesdays With Morrie. ALS diibaratkan mati sebelum mati.

Saya beruntung kerana berpeluang menyaksikan ke­tua-ketua saya berhadapan dan menyuraikan peristiwa-peristiwa besar yang melibatkan rakyat dan negara dengan begitu cemerlang. Ternyata wartawan bukanlah pelapor dan pelobi melulu. Juga bukan penulis pamplet. Jauh lebih besar wartawan adalah manusia yang mewaraskan rakyat yang barangkali tidak punya waktu untuk berfikir. Saya mengamati dan belajar daripada semua tragedi ini.

Peristiwa seperti tragedi Memali di Kedah tahun 1986, pertarungan Dr. Mahathir dengan Tengku Razaleigh Ham­zah (Ku Li) tahun 1987 seterusnya membawa kepada peng­­haraman parti UMNO pada 1988 yang sekali gus me­­lucutkan seketika jawatan Perdana Menteri daripada Dr. Mahathir, krisis antara Dr. Mahathir dengan institusi Raja pada 1992 dan pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1998 membawa kepada pergolakan politik di negara ini.

Pengalaman melihat kewarasan pasukan editorial yang diketuai oleh Zainuddin berdepan dengan konflik mem­bawa kepada pengharaman UMNO suatu yang sangat ber­harga. Begitu juga Khalid Mohd yang menerajui Utusan Melayu ketika ledakan reformasi Anwar Ibrahim serentak kecundang Orde Baru Presiden Suharto di Indonesia. Ini an­tara fragmen-fragmen zaman yang sangat mencabar bagi wartawan di negara ini.

Utusan Melayu membentuk saya melihat dunia dan manusia daripada sudut pandangan yang berbeza, kritis, analitikal dan berkeupayaan membaca semiotik yang terlindung dari mata zahir. Malah saya selalu diingatkan bahawa wartawan Utusan Melayu bekerja un­tuk pembaca supaya pemikiran mereka merdeka. Kata mereka, kita mesti jawab segala persoalan daripada rakyat pada esok­nya.

Hanya rak­yat yang merdeka pemikirannya menjadi pemangkin kepa­da sistem politik yang stabil dan aman. Fasa pertama perjuangan Utusan Melayu memerdekakan negara tercapai dengan jayanya. Tetapi perjuangan tidak terhenti di situ, (selepas 59 tahun), organisasi surat kha­bar seperti Utusan Melayu berterusan untuk agenda mer­dekanya. Da­lam persekitaran sosiobudaya dan politik yang sangat kompleks, cabaran dan harapan kepada wartawan juga sangat tinggi.

Hari ini saya sudah tidak menyesal kerana gagal menjadi pos­men (tanpa secebis maksud memperkecil pekerjaan posmen), malah bersyukur. Kegagalan itu memberikan pe­luang bersama-sama Utusan Melayu yang me­nyediakan lubuk pengalaman yang tidak ternilai harganya.

Utusan Melayu terlalu rapat secara fizikal mahupun spiritual dengan saya. Teman-teman yang baik dan ke­na­ngan yang manis semuanya ada di sini. Inilah juga se­ba­hagian kekuatan saya. Saya pasti akan kehilangan mereka apabila tiba pada batas waktu untuk berpisah.

Malam ini (malam tadi) selepas saya menekankan tan­da noktah pada catatan terakhir ini, saya melangkah me­ning­galkan Utusan Melayu yang sudah 32 tahun empat bulan Tuhan menyalurkan rezeki saya melaluinya. Saya bersyukur menumpang hidup di rumah pusaka bangsa ini.