Walaupun bertukar-tukar Awang, namun matlamat asas penerbitan Utusan Malaysia masih kekal sama iaitu penyambung lidah bangsa Melayu.

 

Awang teringat pesanan Yusof Ishak, pengasas Utusan Melayu. Kata beliau, “Utusan Melayu disifatkan sebagai surat khabar yang pendusta, cetek fikirannya dan murah fahamannya. Sebaliknya Utusan Melayu pernah juga disifatkan sebagai johan rakyat jelata dan suara yang tidak gentar kepada sesiapa pun jua. Malahan ada yang berkata bahawa orang Melayu akan berjaya dalam dunia ini sekiranya Utusan Melayu berjaya dalam perjuangannya.” Inilah perjuangan 20 tahun Yusof Ishak.

Pelbagai onak dan duri terpaksa dilalui. Pelbagai cabaran terpaksa didepani. Bagi Yusof Ishak, Utusan bukan milik individu, jauh sekali milik parti tetapi ia milik umat Melayu sejati. Inilah juga perjuangan kami hari ini.

Dari segi perjuangannya, Utusan Melayu lebih awal daripada parti politik Melayu yang ada, malah ia wujud lebih awal daripada UMNO sendiri. Hinggakan Dato’ Onn Jaafar pernah menyifatkan bahawa Utusan Melayu sebenarnya menjadi pemangkin gerakan Melayu sehingga tertubuhnya UMNO pada tahun 1946.

Pastinya peristiwa-peristiwa lalu memberi kekuatan kepada Utusan untuk bertahan sehingga hari ini. Walau apa pun cabaran yang datang sama ada dari luar mahupun dalam, prinsip perjuangan Utusan tetap dipertahankan.

Utusan akan terus kekal sebagai lidah orang Melayu untuk menjunjung dan mengangkat martabat orang Melayu walaupun adakalanya ia sendiri terluka disebabkan orang Melayu.

Utusan tidak akan takut, merajuk, lari atau gentar dengan mana-mana ugutan pemimpin upahan yang mahu menghancurkan institusi ini. Apa yang penting kepada Utusan bukanlah peribadi pengarangnya ataupun pemegang sahamnya tetapi yang lebih penting adalah masa depan survival orang Melayu menjadi keutamaan.

Kata-kata Allahyarham Tun Abdul Razak, 46 tahun yang lalu sememangnya menjadi semangat kepada warga Utusan. Kata beliau, “maka wajiblah dan menjadi tanggungjawab saudara-saudara yang mewarisi pusaka ini daripada penaja-penaja dan pengasas-pengasas syarikat ini yang sekarang menjadi pusaka orang Melayu supaya perusahaan ini kekal menjadi satu institusi, satu lambang kebolehan dan kemampuan anak-anak Melayu untuk berdikari.”

Awang boleh datang dan pergi tetapi Utusan jangan kita korbankan hanya kerana kepentingan peribadi. Jangan marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Jangan menang sorak, kampung tergadai dan kerana ufti bangsa dikhianati.

Semoga Utusan terus kekal menjadi wadah dan lidah orang Melayu sepanjang zaman dan waktu.

 

MENGKRITIK-DIKRITIK DALAM MEDIA

Awang ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang telah memberi maklum balas kepada penulisan Awang minggu lepas terutamanya berhubung cerita Najib Razak.

Ada yang merasakan Awang biadap, melampau, cuba melangkaui mahkamah dan tergopoh-gapah melahirkan pendapat. Ada juga yang merasakan bahawa ia adalah satu kenyataan benar walaupun pahit untuk diterima.

Walau apa pun jua, Awang tetap meraikan kepelbagaian pendapat kerana dalam soal melahirkan pendapat, tidak semestinya apa yang kita lontarkan adalah betul semua ataupun salah semua, dan jauh sekali untuk diterima semua.

Namun, yang lebih penting ialah pendapat mestilah lahir dengan niat yang ikhlas untuk memperhebatkan bangsa. Awang percaya setiap kita mestilah berpegang kepada prinsip dan pendirian masing-masing. Sememangnya hukum akal manusia setiasa mempunyai perbezaan.

Kepada ahli UMNO dan semua umat Melayu, Awang mohon ampun dan maaf sekiranya perbuatan Awang dikira biadap dan melampau.

Janganlah kerana Awang, Utusan menjadi mangsa apa lagi mahu memboikot dan meruntuhkan institusi Melayu yang berusia hampir 80 tahun ini.

 

ANUGERAH ATAU HADIAH?

Pastinya rakyat Malaysia bangga dengan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad yang telah dianugerahi “Grand Cordon of the Order of the Paulownia Flowers” daripada Maharaja Akihito dari Jepun baru-baru ini.

Tapi sayangnya anugerah ini datang selepas kerajaan bersetuju untuk menerima tawaran Kerajaan Jepun iaitu pinjaman melalui bon Samurai sehingga 200 bilion yen (RM7.4 bilion) pada tempoh 10 tahun.

Awang mendengar bisikan yang kononnya anugerah ini adalah hadiah kepada Dr. Mahathir kerana berjaya mengembalikan syarikat Jepun menjadi pelabur utama dalam negara ini selepas ditinggal jauh oleh Negara China yang memonopoli sebelum ini.

Rakyat bimbang apakah anugerah ini adalah sama dengan anugerah tertinggi yang pernah diterima oleh Najib Razak, Perdana Menteri Keenam dahulu daripada Kerajaan Arab Saudi yang akhirnya rakyat Malaysia dan dunia dikejutkan dengan derma RM2.6 bilion yang sehingga kini menimbul pelbagai persepsi dan masih diragui kesahihannya. Awang berharap anugerah yang diterima Dr. Mahathir ini tidak menimbulkan isu yang sama seperti yang melanda Najib.

Ramai juga bimbang walaupun hutang negara sudah terlalu besar, namun kini kerajaan menambah pula hutang yang baharu. Kalau dulu dengan China kali ini dengan Jepun.

Awang teringat dengan pinjaman bon Pelan Miyazawa antara Malaysia dengan Jepun ketika krisis kewangan tahun 1999 dulu yang berjumlah lebih RM12 bilion untuk membiayai projek infrastruktur dan juga projek Monorel Kuala Lumpur, pembinaan landasan kereta api berkembar Ipoh-Rawang dan naik taraf jalan raya yang penglibatan kontraktor tempatan amatlah minimum.

Awang mengharapkan kerajaan dapat memperincikan kepada rakyat tentang terma bon Samurai ini supaya rakyat tidak dibebani dengan hutang baharu. Pada masa sama biarlah anugerah ini menjadi kebanggaan negara dan bukanlah dicemari dengan persepsi korupsi cara baharu.

 

DARI REFORMASI KE ‘BALINGKRUSI’

September 1998 merupakan tarikh keramat bangkitnya gerakan reformasi untuk menentang penyalahgunaan kuasa kerajaan pemerintah ke atas Anwar Ibrahim, yang bukan sahaja dipenjara malah dipukul dan diaibkan tanpa batasan.

Perjuangan 20 tahun ini akhirnya membuahkan hasil apabila PKR sebagai parti gabungan dalam Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan. Namun segala-galanya sudah berubah.

Kalau dulu Anwar berbangga dengan slogan reformasi, namun kini PKR lebih terkenal dengan slogan ‘balingkrusi’ yang semakin rakus berlaku dalam pemilihan parti. Ternyata kuasa yang dimiliki kini telah menyebabkan ideologi parti yang selama ini gah menentang kezaliman, korupsi dan kronisme telah di ketepi.

Secara terang-terang, banyak aduan diterima ketika proses pemilihan parti. Kedua-dua calon Timbalan Presiden PKR dikatakan terlibat dengan pelbagai bentuk salah guna kuasa dan rasuah semasa kempen pemilihan jawatan nombor dua tertinggi dalam PKR.

Alangkah baiknya kalau Anwar yang sudah menjadi Presiden dapat menyuntik kembali semangat reformasi ke dalam parti. Perhebatkan ideologi parti yang selama ini menentang kezaliman, korupsi dan kronisme walaupun ia akan mengakibatkan kedua-dua calon Timbalan Presiden ini direhatkan bagi menyelamatkan imej PKR.

Secara tidak langsung, ini akan mengembalikan keyakinan rakyat kepada bakal Perdana Menteri kelapan untuk menguruskan negara dengan lebih baik dan tersusun.