Persoalan sama ada perubahan dan era baharu ini membawa kebaikan kepada agama, bangsa dan negara bergantung kepada kita rakyat yang menentukannya. Di sinilah letaknya peranan Utusan Malaysia.

Sebagai akhbar yang menjunjung Perlembagaan, Utusan Malaysia tidak pernah sangsi apatah lagi gentar untuk memastikan tiang-tiang negara terus tersusun teguh di tempatnya.

Utusan Malaysia akan terus mengekalkan corak pemberitaan serius dan berwibawa, menjadi penyemak dan pengimbang, mendedahkan salah laku dan ke­pincangan serta sudah tentu mengangkat hal-hal berkepentingan negara dan rakyat.

Sebenarnya rancangan untuk menukar saiz broadsheet kepada kompak telah dicanai lama dahulu sejajar dengan perkembangan semasa. Jauh mendahului pesaingnya iaitu pada pertengahan tahun 2000-an semasa perubahan saiz akhbar sudah menjadi lumrah di seluruh dunia sejak 2003. Sekadar menyebut beberapa nama seperti The Guardian (2018), The Times (2004) dan The Sun (1969) di Britain dan Berita Harian (2008) di Malaysia.

Jadi, hari ini Utusan Malaysia berwajah baharu bagi menjayakan rancangan lama yang tertangguh. Hari ini juga bertepatan dengan usia 79 tahun akhbar ini yang dahulunya berkibar dengan jenama Utusan Melayu bertulisan jawi. Kami masih mengekalkan akhbar bertulisan jawi ini dalam bentuk e-paper setiap Isnin dan portal berita semasa.

Dalam usianya ke-79, Utusan Malaysia beriltizam untuk terus melakukan inovasi bagi menghadapi cabaran semasa industri media yang berkembang pantas. Utusan Online yang diwujudkan sejak 1996 menjadi platform digital antara lain untuk menyajikan berita ‘cepat dan tepat’.

Perubahan saiz ini juga merupakan sebahagian daripada usaha tanpa henti akhbar Minda Rakyat ini untuk memenuhi kehendak dan cita rasa pembaca.

Akhbar ini yang diterbitkan sejak 29 Mei 1939 di Singapura dan kemudian dikenal sebagai Utusan Malaysia pada 1967 telah mengharungi pelbagai cabaran. Di belakang duri, di depan api begitu analogi cabaran yang selalu dikaitkan dengan akhbar ini.

Kami sedar tiada jalan mudah dalam menempuh cabaran perubahan pantas industri media. Kami, pewaris semangat juang pendahulu Utusan telah membulatkan tekad.

Kami akan menyajikan yang terbaik kepada pembaca. Kami sedar akan tanggungjawab dan amanah itu seperti yang pernah ditegaskan oleh pengasas Utusan Melayu, Yusof Ishak dalam satu ucapan pada tahun 1958; “Kami yang bekerja sebagai pengarah dan kakitangan syarikat Utusan Melayu adalah hamba kepada bangsa Melayu yang menjalankan tugas bagi meninggikan mutu agama, bangsa dan tanah air”.