Pastinya ini menimbulkan keresahan kepada ibu bapa yang sedang atau mahu menghantar anak mereka belajar di pusat-pusat tahfiz. Sememangnya kecenderungan ibu bapa mutakhir ini untuk melahirkan generasi ‘al-Quran bergerak’ (hamalatul Quran) amat tinggi. Sebab itu, permintaan memasuki pusat-pusat tahfiz sentiasa melebihi penawaran.

Sebuah pusat tahfiz di daerah Kuala Selangor yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor misalnya terpaksa membuat saringan yang ketat. Para pemohon perlu menduduki ujian bertulis yang mengandungi soalan-soalan pengetahuan agama Islam dan juga subjek akademik seperti matematik, bahasa Melayu dan sains. Itu baru ujian pertama. Lulus saringan, baru layak ke temuduga. Sulitnya kerana ada kira-kira 700 permohonan tetapi pengambilan hanya 30 orang.

Sebab itu, tidak hairan pusat-pusat tahfiz tumbuh bak cendawan selepas hujan. Ramai ibu bapa pula kadangkala tidak ada pilihan, Lantaran pusat tahfiz yang diiktiraf dan berdaftar dengan Jakim atau majlis agama Islam negeri terhad jumlahnya, maka pusat tahfiz swasta menjadi pilihan.

Namun, yang menjadi kebimbangan adalah tahap kese­lamatan bangunannya. Ini kerana Ketua Pengarah JPBM, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim mendedahkan baru-baru ini, hanya 50 peratus daripada 956 pusat tahfiz yang diperiksa oleh jabatan itu di seluruh negara berada dalam keadaan tidak selamat. Pastinya kita tidak mahu peristiwa kebakaran yang mengorbankan 23 nyawa di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada 14 September 2017 berulang.

Untuk itu, pihak yang menguruskan pusat-pusat tahfiz mesti mengambil tindakan segera memperbaiki keadaan dan juga infrastruktur masing-masing. Ini supaya mematuhi garis panduan keselamatan yang ditetapkan oleh JBPM. Antaranya, melengkapkan premis masing-masing dengan alat pengesan kebakaran dan alat pemadam api. Struktur utama bangunan pula mestilah dilengkapi dengan tangga kecemasan, dinding penghalang kebakaran dan sebagainya.

Dalam masa sama, ustaz dan ustazah di pusat tahfiz juga perlu dibekalkan dengan ilmu memadam dan mengawal kebakaran. Begitu juga para pelajarnya. Lakukan fire drill dan juga kursus memadam api. Ini selain, Skuad Bomba Tahfiz yang dilancarkan Mei lalu yang kini memiliki 3,150 ahli.

Sebabnya, antara tahun 2015 hingga 2017 sebanyak 125 kes kebakaran pusat tahfiz direkodkan. Ia melibatkan 24 kematian dan enam kecederaan. Memang kita tidak menolak qada dan qadar Allah. Namun, membuat persiapan dan latihan dalam menghadapi kebakaran adalah jauh lebih baik daripada tidak ada langsung ilmu mengenai­nya apabila berhadapan situasi mencemaskan itu. Ini juga termasuk dalam salah satu maqasid syariah iaitu memelihara nyawa. Jangan kita mengambil sikap sambil lewa atas nama tawakal dan hanya pasrah tanpa berusaha.

• Imam al-Ghazali mendefinisikan tawakal sebagai menyandarkan diri kepada Allah dalam menghadapi suatu kepentingan, bersandar kepada-Nya dalam kesukaran, teguh hati tatkala ditimpa bencana disertai jiwa yang tenang dan hati yang tenteram.

• Almarhum Buya Hamka pula menjelaskan tawakal adalah menyerahkan segala urusan atau perkara ikhtiar dan usaha kepada Allah SWT kerana kita ini lemah dan tidak berdaya.

Adapun dalam Islam, tawakal adalah menyerah diri kepada Allah SWT setelah berusaha keras, berikhtiar dan bekerja sesuai dengan kemampuan dan mengikuti sunnah Allah yang Dia tetapkan. Selepas itu, baru me­nyerahkan diri kepada Allah supaya tujuan itu tercapai. Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai mereka yang bertawakal kepada-Nya. (ali-‘Imran: 159).

Dengan mengambil langkah-langkah proaktif meningkatkan tahap keselamatan pusat-pusat tahfiz, bukan sahaja para pelajar lebih selesa menuntut ilmu malah ibu bapa terlibat juga lebih tenang melepaskan anak-anak untuk dididik sebagai huffaz.