Setiap petugas media perlu dididik tentang cara untuk menyesuaikan diri dengan semua situasi serta kaedah terbaik bagi mereka menguruskan risiko yang terdedah semasa membuat tugasan.

Insiden tragis yang melibatkan jurukamera Bernama TV, Noramfaizul Mohd. Nor yang meninggal dunia semasa bertugas membuat liputan mengenai perang yang melanda Somalia pada tahun 2011 mengingatkan kita mengenai kepentingan keselamatan di kalangan petugas media.

Kemajuan di dalam teknologi komunikasi telah meningkatkan permintaan bagi mendapatkan maklumat terkini. Organisasi media sering bersaing di antara satu sama lain untuk menghantar berita-berita terkini.

Kebanyakan organisasi media yang menghantar petugas-petugas mereka untuk membuat liputan di zon konflik perlu menawarkan beberapa jenis latihan sebelum mereka bertugas.

Di antara latihan yang boleh diadakan adalah seperti asas pertolongan cemas, penilaian risiko, teknik kemahiran hidup, pakaian perlindungan diri serta informasi mengenai kawasan di mana mereka akan bertugas.

Di dalam kebanyakan kes, wartawan dan jurugambar mungkin tidak sedar akan bahaya yang bakal mereka hadapi ketika bertugas di tempat kejadian seperti kebakaran, banjir, letupan kimia, tanah runtuh dan sebagainya. Wartawan dan jurugambar perlu ditawarkan latihan terutamanya di lokasi pemberitaan yang berisiko tinggi.

Mereka juga perlu diberi maklumat dan dimaklumkan mengenai risiko terhadap kesihatan dan keselamatan mereka. Alat Peralatan Perlindungan Peribadi yang berkualiti juga perlu disediakan.

Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), banyak lagi yang perlu dilakukan oleh pertubuhan-pertubuhan media untuk melindungi kakitangan mereka. Perkara yang perlu diberi penekanan adalah keperluan meliputi persediaan yang cukup oleh wartawan dan media sebelum melakukan tugasan.

Organisasi media perlu memberikan bantuan teknikal dan mengadakan program latihan yang direka khusus untuk meningkatkan tahap keselamatan peribadi serta dapat menjalankan penilaian risiko yang berkaitan dengan tugasan tertentu.

Selain itu, Kod Antarabangsa Amalan Perlakuan Selamat bagi bidang kewartawanan menyatakan bahawa profesional media mesti dimaklumkan mengenai politik, fizikal dan sosial di kawasan mereka bekerja. Mereka tidak perlu terlibat di dalam keadaan yang tidak menentu dan tidak selamat akibat daripada sikap tidak ambil peduli dan tingkah laku melulu.

Ia seterusnya menyatakan bahawa wartawan dan kakitangan media yang lain hendaklah dilengkapi dengan alat-alat pertolongan cemas, alat komunikasi, kemudahan pengangkutan yang mencukupi serta pakaian perlindungan jika perlu ketika keluar melakukan tugasan.

Di Malaysia, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Kementerian Sumber Manusia telah memperkenalkan Garis Panduan untuk Profesional Media berkaitan dengan amalan kerja yang selamat.

Garis panduan yang bertindak sebagai Prosedur Kerja Selamat (SOP) akan membolehkan kakitangan media dilengkapi maklumat apabila menjalankan liputan media di dalam zon berbahaya dan persekitaran yang berhazad.

Organisasi media dan majikan harus menyedari bahawa empat faktor utama yang menjustifikasikan pengurusan OSH. Ini adalah, tanggung jawab sosial syarikat, kewajipan sosial dan moral, kriteria perniagaan yang baik dan kewajipan undang-undang.

Kebiasaannya pengurusan OSH yang berkesan tidak hanya mengurangkan risiko terhadap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, tetapi juga menunjukkan peningkatan tinggi dalam produktiviti pekerja dan keuntungan syarikat.

Pengurusan OSH yang baik merupakan bahagian integral dari sistem pengurusan syarikat yang baik secara keseluruhan. Menguruskan OSH tidak hanya penting untuk daya saing perniagaan tetapi juga menjamin kesejahteraan tenaga kerja.

Perlu untuk mengatakan bahawa aset yang paling berharga dari suatu organisasi adalah orang-orang yang bekerja di dalamnya dan memberi sumbangan bagi kejayaannya.

Kesejahteraan sumber daya manusia mereka adalah paling penting bagi pengusaha dan sesuatu prasyarat untuk membangunkan dan melindungi tenaga kerja yang kompeten dan sangat trampil.

Di Malaysia, kesedaran tentang OSH telah terus meningkat dari tahun ke tahun. Semakin banyak pengusaha dan pekerja memahami peranan dan tanggung jawab untuk memastikan bahaya di tempat kerja dikenalpasti, dinilai dan dikendalikan.

Namun, sementara mungkin ada peningkatan kesedaran tentang perlunya persekitaran kerja yang selamat dan sihat, hanya pengamalan dan komitmen yang berterusan untuk sistem pengurusan OSH akan mencapai budaya OSH dalam organisasi.

Banyak orang yang tidak sedar akan pentingnya keselamatan dan kesihatan (OSH) sehingga berlaku kecederaan, kemalangan atau kematian. Ada industri yang tidak mahu melabur dalam keselamatan dan kesihatan di tempat kerja kerana faktor kos.

Mereka nampaknya tidak menyedari bahawa jika kemalangan atau kematian berlaku kerana mereka mengabaikan OSH kos yang mereka harus menanggung bahkan akan jauh lebih berat.

Syarikat mesti berusaha untuk mewujudkan budaya kerja selamat dan berbuat lebih banyak untuk mencegah atau meminimumkan kemalangan industri melalui amalan OSH yang baik.

Pendidikan dan latihan OSH sangat penting dan pihak majikan harus melihat latihan sebagai pelaburan dan bukan perbelanjaan dan bebanan. Dalam ekonomi global isu OSH adalah penentu daya saing syarikat melalui peningkatan produktiviti dan kecekapan. OSH seharusnya dianggap sebagai pelaburan dan bukan beban dan ini selaras dengan pepatah bahawa ‘keselamatan baik untuk perniagaan’.

Saya akhiri dengan petikan ini: “Tugas wartawan adalah untuk melaporkan berita, dan bukan untuk menjadi berita. Seorang wartawan yang meletakkan dirinya di dalam keadaan yang berisiko dan sia-sia serta berkelakuan dengan cara yang tidak profesional, akhirnya tidak akan dapat melaporkan berita atau menunjukkan gambar yang perlu dilihat.”

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH)