Pada tahun lepas, seorang bekas guru, A. Krishnan berusia 83 tahun memperoleh Ijazah Sarjana Muda Perakaunan daripada Universiti Terbuka Malaysia (OUM), manakala Kwok Yan Chee berusia 78 tahun pada 2016 dicatatkan sebagai graduan tertua dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam bidang Sarjana Muda Kejuruteraan (Elektrik). Di luar negara, Leo Palas, graduan berusia 99 tahun ialah graduan tertua di dunia menerima diploma dalam bidang pendidikan dari Easter Oregon University pada 2011.

Bagaimana mereka belajar? Kewujudan Pengajian Jarak Jauh (PJJ) atau pembelajaran separuh masa yang terdapat di universiti telah memberi peluang mereka bergelar graduan walaupun pada usia emas. Waktu pembelajaran yang fleksibel, diadakan pada hujung minggu atau selepas waktu bekerja adalah antara ciri utama pembelajaran ini.

Dengan kecanggihan teknologi sekarang, kelas maya yang menggunakan komputer dan internet telah menggantikan sesi kuliah tradisional atau bersemuka. Ini lebih berkesan, cepat dan menjimatkan masa serta kos pembelajaran.

Di negara ini, kebanyakan universiti awam menawarkan program secara PJJ seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) melalui penubuhan Institut Pendidikan Neo (iNED), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (SPACE), dan Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pengajian Profesional dan Lanjutan (PACE) untuk mereka yang bekerja. Pelbagai program ditawarkan seperti Pengurusan Perniagaan, Sains Kejuruteraan, Sains dan Matematik, Pentadbiran Awam dan Sains Politik, Perakaunan dan banyak lagi di peringkat sijil, diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana malah ke peringkat Doktor Falsafah.

Pada tahun ini, UiTM berjaya mengeluarkan seramai 25,720 graduan PhD, Ijazah Sarjana, Diploma Lepasan Ijazah, Ijazah Sarjana Muda dan diploma di Majlis Konvokesyen yang bermula dari 22 Oktober hingga 23 November ini di kampus Shah Alam dan kampus-kampus cawangan lain. Daripada jumlah tersebut, 711 orang ialah graduan PJJ yang dikendalikan oleh iNED.

Namun, belajar secara PJJ memerlukan komitmen, pengorbanan serta usaha luar biasa pelajar. Aspek pengurusan masa paling utama mesti diberi perhatian oleh pelajar kerana mereka perlu membahagikan masa kerja, belajar, masa bersama keluarga dan kawan-kawan.

Masa perlu diurus dengan baik bagi mengelakkan masalah ponteng kerja, masalah kesihatan, tekanan dan lain-lain lagi. Tugas dan tanggungjawab pula bertambah kerana perlu bersedia dengan ujian, kuiz, pembentangan kertas projek dan peperiksaan akhir. Pelajar mungkin terlepas untuk menghadiri majlis keraian keluarga seperti kenduri kahwin, sambutan hari jadi dan sebagainya kerana perlu menghadiri kuliah yang diadakan pada hujung minggu.

Perbelanjaan bulanan pula akan bertambah kerana perlu membayar yuran pengajian, pembelian alat tulis, buku, dan sebagainya. Bagi pelajar yang telah berumahtangga, persefahaman dengan pasangan amat perlu kerana keadaan ekonomi rumah tangga yang tidak diurus dengan baik boleh mencetuskan pergaduhan.

Di samping itu juga, sokongan dan kelulusan daripada pegawai atasan atau majikan diperlukan bagi membolehkan pelajar memohon cuti sewaktu bekerja untuk menduduki peperiksaan atau mengendalikan aktiviti berkaitan pembelajaran.

Banyak insentif serta peluang yang ada dan disediakan kepada pekerja dalam meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka. Sesetengah agensi atau syarikat memberikan biasiswa kepada pekerja mereka yang menyambung pengajian, malah memberikan cuti tanpa rekod jika terlibat dengan peperiksaan pada hari bekerja. Tawaran belajar separuh masa adalah peluang keemasan yang perlu direbut oleh pekerja untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran diri.

Namun, jangan jadikan belajar secara PJJ sebagai alasan untuk ponteng kerja, cuti sesuka hati dan mengelak daripada melaksanakan tugas hakiki. Tanggungjawab sebagai ketua keluarga, isteri ataupun anak tidak boleh diabaikan.

Ramai telah berjaya melalui kaedah ini, namun ada juga yang gagal di tengah jalan. Tepuk dada tanyalah hati masing-masing kerana peluang untuk kita meningkatkan ilmu dan kemahiran diri sentiasa ada. Jom belajar!

PENULIS ialah Pensyarah Kanan/Koordinator iNED, UiTM Cawangan Johor.