Tidak kurang juga usahawan yang kekal sebagai jaguh kampung dan berpuas hati dengan gelaran tersebut. Mungkin mereka belum bersedia untuk meng­hadapi persaingan yang lebih kompetitif di peringkat antarabangsa. Apa yang pasti pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk melahirkan lebih ramai lagi usahawan Melayu yang berjaya dalam pelbagai bidang, sekali gus bersedia mengembangkan sayap untuk terus bersaing di peringkat antarabangsa pula.

Baru-baru ini Majlis Perundi­ngan Melayu (MPM) menyatakan persediaan badan itu untuk menjalin kerjasama dengan Petronas bagi membantu komuniti ekonomi bumiputera khususnya usahawan Melayu dalam bidang minyak dan gas untuk menerokai pasaran global.

Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr. Hasan Mad menjelaskan bahawa MPM telah mengemukakan beberapa isu yang positif dan membina untuk dipertimbangkan oleh pihak Petronas yang diwakili oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Penulis yang turut sama dalam perbincangan tersebut berasa gembira kerana Petronas telah memberikan respons dan komitmen yang sangat positif. Dalam hal ini, sebenarnya sejak dari dahulu lagi Petronas tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya memba­ngunkan serta membantu usahawan dan syarikat bumiputera.

Begitulah yang pernah dinyatakan oleh Wan Zulkiflee suatu ketika dahulu dan komitmen ­Petronas akan sentiasa kekal mem­bantu kerajaan melahirkan dan membimbing para usahawan bumiputera.

Dalam hal ini, sejak penubuhannya pada 1974, Petronas ­telah memainkan peranan penting dalam membantu usaha kerajaan serta pelbagai pihak bagi melahirkan dan membimbing usahawan bumiputera untuk berjaya dalam industri minyak dan gas.

Apa yang dibincangkan dan cuba dilaksanakan oleh MPM dan Petronas adalah satu usaha dan juga cabaran yang perlu dita­ngani oleh usahawan bumiputera jika ingin terus mengembangkan sayap mereka.

Mungkin sudah sampai masa­nya usahawan bumiputera yang terperap dalam tempurung belajar untuk melihat dunia dari per­spektif mata burung pula.

Persefahaman kerjasama antara MPM dan Petronas pastinya boleh membantu melahirkan lebih ramai lagi usahawan bumiputera. Pengalaman dan kejayaan Petronas di peringkat antarabangsa pula tidak perlu dipertikaikan lagi.

Majalah Fortune Global 500 pernah meletakkan Petronas sebagai antara 100 syarikat terbesar di dunia. Bahkan, majalah tersebut juga pernah meletakkan Petronas sebagai syarikat perbadanan ke-13 paling banyak membuat keuntungan di dunia dan paling banyak mencipta keuntungan di benua Asia.

Sebuah lagi majalah ekonomi yang terkenal, Majalah Financial Times juga pernah mengiktiraf Petronas sebagai satu daripada seven sisters yang baharu iaitu syarikat pengeluar minyak terbesar dunia. Di sebalik kejayaan itu, Petronas juga tidak kebal dari dikritik oleh pelbagai pihak.

Pelbagai tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan kepada Petronas, namun syarikat ini ­terus kukuh berdiri.

Mungkin para pengkritik ini tidak sedar atau sengaja tidak mahu mengiktiraf jasa dan peranan Petronas yang mencakupi dan merangkumi segala aspek dalam pembangunan ekonomi Malaysia.

MPM sentiasa berpendapat bahawa usaha untuk memperkasakan ekonomi bangsa Melayu akan terus berjalan tanpa ada noktahnya.

Selain usaha yang dilakukan oleh MPM serta ­Petronas, usahawan Melayu sendiri perlu lebih yakin dan berusaha meningkatkan keupayaan dan menghindarkan segala kelemahan untuk menjadi usahawan lebih kompetitif dan lebih berdaya saing dan maju.

MPM yakin usahasama yang bakal dilaksanakan dengan Petronas mampu merealisasikan matlamat untuk melihat lebih ramai usahawan Melayu yang berkualiti tinggi dan mempunyai daya ketahanan dan saing yang kuat sehingga boleh mencipta nama ke persada antarabangsa.

PENULIS ialah Pengerusi Biro Politik Majlis Perundingan Melayu (MPM).