Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bersungguh-sungguh memburu penguat kuasa terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa mutakhir ini bukan sahaja harus dipuji, malah perlu disokong khususnya oleh agensi terlibat.

Tindakan ini secara tidak langsung memberikan keyakinan kepada rakyat terhadap kemampuan SPRM dan agensi terlibat untuk berfungsi lebih cemerlang.

Ketika ini, gejala rasuah dalam kalangan penguat kuasa bukan lagi isu kecil malah ia semakin merebak dan mungkin sudah membarah dalam sesetengah agensi.

Oleh sebab itu, langkah tegas SPRM tidak boleh terhenti di situ sahaja. SPRM perlu melakukan usaha tersebut secara berterusan hingga masalah jenayah ini dapat di atasi.

Masyarakat pula perlu dimaklumkan bahawa tangkapan terhadap pegawai atau anggota penguat kuasa yang mengambil rasuah dengan jumlah kecil tidak boleh lagi dianggap sebagai kes biasa atau tangkapan ikan bilis.

Rasuah dalam kalangan penguat kuasa ini ialah jenayah luar biasa kerana kesannya amat menakutkan. Impaknya besar hingga boleh mengakibat penyakit sosial serta pelbagai rantaian jenayah lain.

Perlu diketahui bahawa rasuah adalah punca jenayah perjudian, pelacuran, penyeludupan senjata api dan pusat hiburan tanpa lesen berleluasa. Bukan itu sahaja, rasuah juga menjadi punca isu jenayah dadah sukar dihapuskan.

Dalam hal ini, saya amat berharap agar agensi-agensi penguat kuasa perlu memberi komitmen penuh membantu SPRM membersihkan organisasi masing-masing dengan mengenal pasti kalangan mereka yang terjebak dengan kegiatan rasuah.

Langkah-langkah pembersihan dari dalam lebih memberi kesan malah dapat menghalang isu berkenaan daripada terus merebak.

Saya yakin disebabkan keanggotaan yang terhad, SPRM berdepan kekangan untuk menangani 1,001 masalah jenayah rasuah secara bersendirian.

Oleh itu, ketua-ketua jabatan perlu memainkan peranan mereka memantau pegawai dan anggota yang hidup mewah di luar kemampuan atau lebih tepat tidak sepadan dengan gaji mereka.

Peranan ketua jabatan

Ketua-ketua ini juga perlu memperlihatkan contoh yang baik kepada pegawai-pegawai bawahan mereka bertepatan dengan prinsip kepimpinan melalui tauladan.

Dalam pada itu, agensi-agensi terlibat jangan sesekali melindungi mana-mana anggota yang didapati terlibat dalam jenayah rasuah.

Jangan sesekali bertolak ansur terhadap sebarang perbuatan salah laku yang boleh melunturkan keyakinan masyarakat terhadap kewibawaan agensi penguat kuasa masing-masing.

Kolaborasi antara agensi-agensi yang berkaitan juga adalah amat penting supaya tindakan holistik dan bersepadu dapat diambil bagi menangani isu ini secara berkesan.

Saya turut berpandangan bahawa penangkapan terhadap ‘pelindung sindiket’ atau penerima rasuah dalam kalangan penguat kuasa sahaja tidak akan memberi kesan besar sekira ketua-ketua sindiket haram dan pengusaha kegiatan haram yang menawarkan rasuah atau suapan tidak diambil tindakan dan dibawa ke muka pengadilan.

SPRM perlu mengambil tindakan terhadap mereka agar dapat mengenal pasti dan memutuskan terus rantaian jenayah mereka.

Walau bagaimanapun, saya percaya ramai lagi anggota penguat kuasa yang jujur dan amanah melaksanakan tanggungjawab mereka.

Kelompok penguat kuasa yang jujur ini kadangkala akan disisih dan tidak dapat bertindak kerana tidak mengikut arus kalangan anggota penguat kuasa yang tamak haloba dan mementingkan diri sendiri.

Semua warga penguat kuasa perlu ingat sumpah jawatan yang diikrarkan untuk berkhidmat dengan jujur demi menjaga kepentingan masyarakat. Ingatlah bahawa jangan hanya dek kerana beberapa titis racun dalam kalangan mereka, akan habis terkorban sekeluarga.

Segala usaha dan kejayaan yang dikecapi akan lebur dilupakan begitu sahaja kerana masyarakat di luar sana sukar untuk memuji, tetapi lebih pantas untuk mengeji.

Malah janganlah penguat kuasa menjadi pengkhianat kepada organisasi mereka dan mengkhianati rakan-rakan seperjuangannya yang gigih menjalankan tugas dengan ikhlas dan jujur.

Malah penguat kuasa juga harus sedar bahawa mereka sebenarnya diperhatikan oleh masyarakat kerana memikul tanggungjawab dan amanah yang penting.

Jadi sekiranya berlaku sesuatu yang tidak sepatutnya, kepada siapa lagi hendak diharapkan untuk menjaga keselamatan dan membela nasib masyarakat?

PENULIS ialah Ahli lembaga penasihat pencegahan rasuah (lppr).

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain