Kumpulan itu ialah al-Haq, Pusat al-Mezan bagi Hak Asasi Manusia, Pusat Palestin bagi Hak Asasi Manusia dan Persatuan Aldameer bagi Hak Asasi Manusia, semuanya berpusat di Palestin.

Tugas kumpulan-kumpulan ini adalah memperjuangkan hak asasi manusia di Palestin dengan menyiasat dan mengumpul fakta berhubung perkara itu. Setiap kumpulan itu mempunyai fokus penyiasatannya tersendiri.

Ini kerana isu hak asasi manusia adalah luas, baik dari skop perkara mahupun mengikut ruang geografi. Umpamanya ada yang memberi tumpuan pada jenayah perang, sementara yang lain pula fokus pada jenayah terhadap kemanusiaan.

Dari segi geografi pula, ada yang memberi tumpuan kepada Gaza. Sementara yang lain pula, fokus pada Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.Jenayah perang bermaksud perbuatan salah yang dilakukan sewaktu perang.

Sementara jenayah terhadap kemanusiaan adalah tindakan salah terhadap sekumpulan manusia pada masa aman.

Seringkali tersiar dalam media mengenai kekejaman Israel terhadap Palestin. Tetapi sekadar laporan media tanpa dokumen perundangan, ia tidak mempunyai nilai berkesan. Sebab itu diperlukan dokumen membutirkan serta fakta mengenai pelakuan Israel.

Inilah yang dilakukan oleh kumpulan-kumpulan hak asasi itu. Sama ada dokumen itu akan mendatangkan kesan adalah soal lain kerana Israel tidak akur atau menghormati pandangan dunia, yang dianggap kebanyakannya memusuhinya.

Dalam dokumen itu, yang dikeluarkan pada Rabu lalu, kumpulan-kumpulan tersebut menggesa Pendakwa Raya ICC, Fatou Bensouda untuk segera melakukan siasatan penuh ke atas wilayah Palestin yang sekarang diduduki oleh Israel.

Lanjutan daripada itu, ICC hendaklah mengorak langkah-langkah perlu bagi menghentikan budaya zalim ini, yang telah lama berlanjutan sebagai jenayah Israel dengan meletakkan tanggungjawab perbuatan itu ke atas pegawai politik peringkat tinggi.

ICC adalah platform yang sesuai bagi menangani aduan Palestin, yang sudah lama didengar tetapi tidak ada tindakan terhadap Israel. Malah sama ada usaha ini akan berkesan atau tidak, ia juga masih diragui.

Institusi ICC ini adalah badan bebas berpusat di The Hague, Belanda yang bergerak menurut perjanjian Statut Rom yang ditandatangani oleh 124 negara.

Tetapi Israel tidak menandatanganinya. Namun warganegaranya boleh dikenakan tindakan jika jenayah itu dilakukam di Palestin. Ini kerana Palestin menandatangani perjanjian itu yang dilakukannya pada tahun 2015. Orang perseorangan itu boleh ditangkap atau didakwa di Mahkamah ICC. Tetapi tentunya Israel enggan bekerjasama.

Ketika Pihak Berkuasa Palestin (PA), iaitu sebaik saja ia layak berbuat demikian selaku kerajaan yang sah menyertai ICC, Israel bertindak balas dengan menghentikan pembayaran cukai yang dikutip bagi pihak mereka.

Menderita

PA antara lain beroperasi dengan menggunakan wang cukai penduduknya seperti kerajaan-kerajaan lain. Tetapi kutipan cukai itu dibuat oleh Israel bagi pihak Palestin. Setelah dikumpulkannya barulah diserahkan pada PA.

Butiran dokumen itu berasaskan pada fakta yang dikumpulkan oleh empat kumpulan itu. Ia meliputi jenayah ke atas kemanusiaan seperti yang ditetapkan oleh Statut Rom iaitu pembunuhan, pengusiran atau pemindahan penduduk, dan apartheid. Apa yang dimaksudkan dengan apartheid ialah layanan berbeza yang meminggirkan terhadap sesuatu kumpulan manusia hanya kerana berlainan warna kulit, kaum, keturunan, agama atau fahaman politik.

Dokumen itu juga memaparkan bukti jenayah perang seperti pembunuhan, pemusnahan dan rampasan harta secara berleluasa, pengusiran dan pemindahan haram, pemindahan penduduk kuasa yang menakluk orang awam mereka ke wilayah yang didudukinya dan rampasan sesuatu bandar dengan memusnahkan harta seterunya.

Dakwaan jenayah itu tertumpu pada perbuatan pihak Israel semasa Perang Gaza. Oleh kerana Palestin menyertai ICC pada April 2015, maka ia boleh 'bicarakan jenayah yang berlaku sejak 13 Jun 2014. Pada tahun itu Israel melancarkan serangan terhadap Gaza. Perang selama 51 hari itu mengorbankan 2,200 orang Palestin termasuk 1,462 orang awam, dan 500 kanak-kanak.

Perpindahan orang Israel ke wilayah Palestin dilihat sebagai jenayah perang yang unik kerana ia dilakukan dengan merampas tanah orang Palestin. Ini dikatakan oleh Raji Sourani, Pengarah Pusat Palestin bagi Hak Asasi Manusia.

Beliau merujuk pada penempatan haram di Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat. Sejak tahun 1967, kerajaan Israel telah memindahkan antara 600,000 dan 750,000 warga Israel ke wilayah Palestin. Penempatan terbesar mempunyai 94,000 orang Israel yang dibina di atas tanah orang Palestin yang dirampas Israel.

Kuasa yang menduduki sesuatu wilayah diharamkan daripada memindahkan sebahagian penduduk awamnya ke dalam wilayah didudukinya. Perkara ini disebut dalam persetujuan keempat Konvensyen Geneva yang menjelaskan perlindungan kemanusiaan terhadap orang awam dalam zon perang.

Pendudukan Israel ke atas Tebing Barat dan Gaza adalah haram tetapi Israel tidak mempedulikannya. Palestin menggunakan pelbagai cara untuk mendapatkan kembali kedaulatannya. Maka usaha ini merupakan sebahagian jalan yang dilakukan iaitu melalui perundangan antarabangsa.

Akhirnya mungkin Palestin boleh berjaya dan menang sorak. Tetapi daripada rekod Israel, mereka tidak akur dengan kehendak antarabangsa. Kalau mereka menghormati dunia, sudah tentulah orang Palestin tidak terus menderita seperti yang berlaku sekarang.

Sebab itu ada sebahagian orang Palestin percaya bahawa keadilan hanya dapat dicapai melalui perang. Israel menggunakan perang untuk menakluk sisa-sisa wilayah Palestin. Maka bagi membebaskan Palestin, jalan yang ditempuh wajar melalui perang.

Tetapi orang Palestin tidak kuat. Hamas yang menggunakan senjata bagi mempertahan diri tidak dapat menghalang tentera Israel semasa perang di wilayah itu.

Israel berharap bahawa akhirnya Palestin berasa putus harap dan tidak melawannya. Sementara itu penempatan Yahudi terus bertambah dan akhirnya Tebing Barat dimiliki Israel sepenuhnya. Mungkin akhirnya Palestin hanya akan tinggal Gaza.

Tetapi usaha membawa Israel ke ICC menunjukkan bahawa rakyat Palestin tidak putus harap. Mereka akan menggunakan apa saja proses untuk mendapatkan semula tanah air mereka. Usaha ini adalah dalam medan perundangan.

Terdapat banyak medan dalam mendapatkan apa yang dikehendaki oleh sesebuah bangsa. Medan perang dan medan diplomasi adalah kaedah yang sering digunakan.

Tetapi bagi bangsa Palestin yang sudah begitu lama dinafikan haknya, maka medan budaya juga perlu dikerahkan untuk mencapai matlamat nasional itu.

Perjuangan Palestin sudah masuk pada beberapa generasi. Begitu juga Israel yang juga telah melalui beberapa generasi dalam usaha mereka menundukkan Palestin. Tetapi akhirnya tidaklah dapat dijangka siapa akan menang.

Sama ada Israel atau Palestin yang menang. Atau kedua-duanya kalah, atau kedua-duanya menang. Tetapi pada masa sekarang, Israel yang sedang menang. Tetapi dalam perang, yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu. Pertarungan antara Israel dan Palestin belum berakhir.