Kenyataan yang dikeluarkan itu adalah sanggahan terhadap kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki pada 18 Januari lalu. Dalam kenya­taan beliau, Asyraf menyeru agar golongan wanita dan penyokong gerakan kewanitaan memberikan sokongan terhadap pindaan yang dicadangkan. Hal ini disebabkan pindaan tersebut bertujuan mempertahankan mereka daripada perbuatan-perbuatan yang memangsakan mereka.

Sanggahan diberikan SIS itu turut disertai pengulangan bahawa pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355 sebagai tidak menyokong femi­nisme atau tidak membela wanita, tidak adil dan tidak Islamik.

Ditinjau dari sudut takrifan feminisme, ia bermaksud fahaman yang menuntut persamaan hak untuk wanita. Fahaman ini adalah suatu teori sosial dan ge­rakan politik dalam masyarakat Barat yang mendukung persamaan hak tanpa mengira jantina dalam setiap aspek kehidupan. Jelas bahawa fahaman feminisme ini adalah asing dan berbeza sama sekali dengan pandangan alam Islam. Justeru, ia tidak relevan sama sekali dengan masyarakat dan negara Islam. Misalnya jika kita mengambil kira bahawa segala bentuk kekangan undang-undang dan budaya terhadap wanita dianggap pendukung fahaman ini sebagai perlu dihapuskan bagi memastikan persamaan tercapai.

Kekangan dimaksudkan termasuklah agama kerana dalam masyarakat Barat sekular, agama adalah sebahagian kebudayaan iaituciptaan manusia. ­Menyentuh tentang persamaan, kita tidak menemui perintah dalam al-Quran supaya menya­makan. Sebaliknya, Allah SWT hanya memerintahkan supaya dilaksanakan keadilan kerana keadilan dalam semua keadaan adalah baik. Kesamaan dalam banyak keadaan adalah kezaliman iaitu bertentangan dengan keadilan. Oleh itu, kita mendapati banyak peringatan agar tidak menyamakan martabat dan darjat manusia kerana ia tidak sama di sisi Allah. (Surah Ali-Imran ayat 163, Surah al-An’am ayat 83, 131 dan 165 serta Surah al-Mujadalah ayat 11).

Selanjutnya keadilan pula memberikan maksud setiap sesuatu berada di tempatnya sebenar. Hal ini disebabkan setiap sesuatu telah pun ditentukan tempatnya. Dalam hubungan ini, manusia sebagai khalifah Allah berperanan memastikan ketetapan yang ditentukan itu benar-benar terlaksana manakala Islam pula dijelaskan dalam hadis Nabi SAW yang panjang dan diriwayatkan Abu Hurairah R.A. bahawa Islam meliputi tiga asas utama iaitu akidah, ibadah, dan akhlak yang semuanya adalah syariah atau undang-undang Allah. Oleh itu, individu yang mengakui dirinya sebagai Muslim mesti menerima dan melaksanakan ketiga-tiga asas ini dalam kehidupannya tanpa sebarang dalih.

Sebagaimana kerap kali dijelaskan, Akta 355 dibentuk ber­asaskan punca kuasa daripada Perlembagaan Persekutuan, Ja­dual Kesembilan, Senarai Negeri, Butiran 1. Oleh itu, dengan punca kuasa tersebut maka Akta 355 adalah akta sah yang dibuat me­nurut peruntukan Perlembagaan. Justeru, sebagai warganegara setiap individu mesti menerima kedudukan mahkamah syariah sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Selain pengiktirafan, setiap warganegara perlu memberikan sokongan terhadap apa juga langkah yang dilakukan bagi memartabatkan kedudukannya sebagaimana yang dinikmati oleh mahkamah sivil. Hal ini terma­suklah melalui pindaan yang dicadangkan. Apatah lagi dengan mengambil kira bahawa kali ter­akhir pindaan dilakukan terhadap akta berkenaan ialah pada 1984.

Jika dibuat perbandingan, sebagai contoh pindaan telah sering kali dilakukan terhadap kanun keseksaan dengan mengambil kira tuntutan atau keperluan semasa. Misalnya, pindaan dilakukan de­ngan memasukkan Seksyen 130QA iaitu berkaitan kesalahan menerima suapan untuk membolehkan perbuatan keganasan dilakukan. Peruntukan ini menetapkan hukuman mati bagi kesalahan yang menyebabkan kematian selain hukuman penjara tidak kurang daripada tujuh tahun tetapi tidak melebihi 30 tahun di samping denda.

SIS turut menekankan sekiranya pihak yang berkaitan benar-benar prihatin akan hak wanita maka Undang-Undang Keluarga Islam dan Akta/Enakmen Jenayah Syariah yang ada kini hendaklah dipinda serta dikaji semula.

Menurut pertubuhan itu lagi, peningkatan hukuman semata-mata tidak menangani masalah sebenar dalam mahkamah syariah. Misalnya, diskriminasi terhadap kaum wanita, kelemahan pelaksanaan undang-undang dan ketiadaan sensitiviti dalam kala­ngan kakitangan mahkamah syariah terhadap isu gender. Perlu ditegaskan kepemimpinan negara sentiasa peka akan isu-isu yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak berhubung mahkamah syariah. ­Justeru, pelbagai penambahbaikan terhadap mahkamah itu diusahakan dan sedang berjalan. Ia bukan semata-mata melibatkan pindaan yang dicadangkan iaitu dengan meningkatkan hukuman yang ada. Sebaliknya, membabitkan pelbagai pendekatan lain. Hal ini dapat dilihat dengan penubuhan Jawatankuasa Pindaan Undang-Undang Kekeluargaan Islam. Jawatankuasa ini turut ber­peranan menerima semua pendapat yang diberikan selagi bersesuaian dengan prinsip-prinsip syarak. Demikian juga dengan penubuhan Bahagian Sokongan Keluarga yang bertujuan menangani isu-isu berkaitan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah nafkah yang dikeluarkan oleh mahkamah syariah.

Selanjutnya pula adalah pelantikan hakim-hakim wanita untuk turut memainkan peranan dalam pelaksanaan keadilan yang berkesan. Khusus berkaitan sensitiviti terhadap isu gender, pihak mahkamah sentiasa mengingatkan kakitangannya akan kepen­tingan pelaksanaan keadilan tanpa mengambil kira gender.

Meskipun banyak penambahbaikan dilaksanakan, kepemimpinan negara dan pihak mahkamah menyedari bahawa masih ba­nyak ruang penambahbaikan perlu dilakukan. Misalnya, langkah-langkah bagi mengatasi halangan pentadbiran, perubahan daripada sistem adversarial kepada inquisitorial, persekitaran mahkamah yang lebih baik, latihan untuk hakim khususnya di negara-negara yang mempamerkan sistem keadilan yang sistematik dan berkesan, kreativiti dalam penghakiman, pewujudan sistem sokongan seperti unit kaunseling dalam bidang kuasa mahkamah selain juga sokongan padu pihak-pihak yang terlibat bagi memastikan kelancaran kes.

PENULIS ialah Felo Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).