Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

SEORANG pesalah syariah dijatuhi hukuman sebat di khalayak ramai
SEORANG pesalah syariah dijatuhi hukuman sebat di khalayak ramai di Aceh, Indonesia. Kelantan dijangka melaksanakan hukuman sama tidak lama lagi. GAMBAR HIASAN

SEPERTI diduga keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan kelmarin meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang membolehkan hukuman sebat terhadap pesalah dijalankan di tempat terbuka mendapat pelbagai reaksi.

Bagi sesetengah pihak yang sememangnya tidak mahu undang-undang Islam dilaksanakan, mereka mengemukakan bermacam-macam hujah untuk menentang RUU itu yang dilakukan sebagai persediaan sekiranya Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355) diluluskan oleh Dewan Rakyat kelak.

Hakikatnya, kita tidak perlu melayan bantahan-bantahan kelompok yang sememangnya sejak awal lagi bagaikan ‘cacing kepanasan’ apabila soal menegakkan syariat Islam dilakukan. Mereka terus memberi pandangan negatif terma­suklah kononnya undang-undang syariah itu hanya berkaitan de­ngan ‘menghukum, menghukum, meng­hukum’ sahaja.

Apa yang anehnya, RUU yang diluluskan oleh DUN Kelantan itu melibatkan orang Islam sahaja, oleh itu puak-puak bukan Islam termasuk dalam kalangan komponen Barisan Nasional (BN) tidak perlulah menyibuk.

Secara tegasnya, kita boleh memberitahu mereka, ini urusan orang Islam, biarlah orang Islam menguruskannya. Kalau ada dalam kalangan orang Islam termasuklah kelompok yang ko­nonnya berada dalam kategori sebagai ‘Melayu berjaya’ mahu menentang biarkan sahaja.

Apa yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Kelantan itu adalah bertepatan dengan seruan Islam. Atas sebab itulah wakil-wakil rakyat BN di DUN negeri tersebut turut memberi sokongan padu. Walaupun ada hujah dangkal bahawa apa yang dilakukan oleh Pas Kelantan itu adalah usaha terdesak memenangi pilihan raya tetapi ternyata BN tidak terpengaruh dengan dakyah berkenaan.

Ini memandangkan apa yang bakal dilaksanakan mampu me­ningkatkan syiar Islam, biarpun ia hanya di Kelantan. Oleh itu, tidak perlu mana-mana pihak cuba mahu mengajar orang Islam bagaimana mahu menguruskan undang-undang Islam.

Atas sebab itulah, umat Islam tidak kira apa juga fahaman politik mereka perlu menyokong keputusan DUN Kelantan itu. Mereka tidak perlu terperangkap dengan kenyataan politik sempit atau mahu melihat dari sudut politik semata-mata.

Kalaulah RUU itu boleh menjejaskan atau mewujudkan pandangan serong terhadap agama Islam sudah pastilah para mufti menentangnya, tetapi ternyata ia mendapat sokongan padu golong­an tersebut.

Mereka melihat hukuman yang bakal dilaksanakan boleh membantu mendidik masyarakat dan mampu menyelesaikan gejala negatif. Apa yang dikatakan oleh golongan mufti tersebut adalah benar kerana suka atau tidak, kita perlu mengakui di Kelantan masih wujud banyak masalah sosial yang boleh dikategorikan layak dikenakan hukuman berdasarkan kepada RUU berkenaan.

Tindakan DUN Kelantan itu juga boleh dianggap satu lagi ujian kepada umat Islam untuk membuktikan sejauh manakah mereka akan bersatu mempertahankan undang-undang Islam. Jika bangsa lain boleh bersatu bagi mempertahankan agenda mereka termasuklah ketika isu penggunaan kalimah Allah satu ketika dahulu, kenapakah umat Islam tidak boleh melakukan perkara yang sama?

Lagipun undang-undang ini hanyalah untuk orang Islam. Ia sama sekali tidak akan melibatkan orang bukan Islam. Oleh itu umat Islam perlu menunjukkan solida­riti bagi mempertahankan RUU itu.

Ini bukan soal politik, sebaliknya berkaitan keberanian umat Islam untuk menegakkan undang-undang dan syariat Islam yang sudah berpuluh-puluh tahun hanya diperkatakan di atas pentas-pentas ceramah politik sahaja.

Umat Islam perlu membuktikan mereka mampu bersatu bagi mempertahankan hak dan kuasa mereka melaksanakan perkara-perkara berkaitan Islam. Mereka tidak boleh terpengaruh dengan puak Melayu liberal yang suka melihat Islam dari sudut berbeza.

Sebenarnya, umat Islam khususnya di Kelantan tidak perlu bimbang dengan pelaksanaan undang-undang syariah ber­kenaan, kalau mereka bukanlah kaki arak, suka melakukan zina, mahu membuat maksiat atau suka memfitnah orang.

Jangan memberi hujah ‘gila’ bahawa perbuatan-perbuatan itu hak adalah peribadi seseorang itu atau itu soal urusan dosa pahala antara manusia dengan Allah SWT. Sebagai umat Islam kita bertanggungjawab untuk mencegah kemungkaran.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Sesiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegahnya dengan tangannya (kuasa), Jika dia tidak mampu maka hendaklah dicegah dengan lidahnya, Tetapi jika dia tidak mampu maka hendaklah dia mencegahnya dengan hatinya, yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim)

Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 110 bermaksud;

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula ber­iman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang yang fasik.”

Berdasarkan kepada fakta-fakta ini, maka apa yang dilakukan oleh Kerajaan Pas Kelantan de­ngan disokong oleh BN bukanlah perkara bertentangan dengan Islam atau mahu menganiaya mana-mana pihak.

Sebaliknya, ia dilakukan demi menegakkan syariat Islam sekali gus melaksanakan perintah Allah SWT.

Kepada kelompok umat Islam yang menentang pelaksaan RUU ini, kalau tidak menyokong tidak apa, tetapi janganlah berhujah mengikut logik akal kerana ia hanya mendedahkan kejahilan kalian mengenai syariat Islam.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain