Apabila ditanya pandangannya mengenai Croatia sebuah negara  kecil  yang  kini  menjadi kuasa baru  bola sepak   dunia,  beliau berkata  tiada  siapa  pernah  menjangka  sebuah  negara  dengan penduduk hanya empat juta orang, bakal berentap di pentas akhir Piala Dunia,  Ahad ini bertemu Perancis.

“Saya pilih Perancis juara. Mungkin 2-1,” katanya. Bagi beliau, Malaysia memerlukan tempoh lima atau enam tahun lagi jika menggunakan kaedah bersistematik untuk berjaya. 

“Kalau ikut sistem yang tepat, mungkin dalam lima, enam tahun lagi Malaysia boleh berjaya. Tapi, mesti mula di sekolah,” katanya. 

Beliau menolak   kaedah  meniru corak pasukan lain  kerana   tiada   pasukan   yang   unggul   untuk dijadikan model terbaik.

“Orang yang jadi pemimpin bola sepak mesti bijak berfikir. Pilih pemain   yang   berbakat   semula   jadi.   Jangan   meniru, guna  otak," jelasnya kepada 
wartawan Mingguan Malaysia SAHIDAN JAAFAR  ketika menemubual beliau di Universiti Malaya  (UM) baru-baru ini.
 

MINGGUAN: Selepas 60 tahun merdeka, kualiti bola sepak Malaysia masih jauh ketinggalan. Ranking kita berada pada tangga ke-175. Apa komen Tan Sri.

KAY KIM: Saya begitu kecewa. Saya tak mahu cakap pasal ranking. Sudah banyak kali cakap tapi mereka tak mahu dengar pandangan. Saya begitu sedih. Saya tak mahu bincang lagi. Tak guna (marah).

Negara Asia seperti Korea Selatan, Jepun sudah lama berada di pentas Piala Dunia. Terbaru, kali ini tahun 2018. Agaknya bila Malaysia boleh menyertai Korea Selatan dan Jepun? Sedangkan dahulu, kita setaraf dengan mereka.

KAY KIM: Mereka dulu, belajar dari kita. Misalnya China selalu menjemput pemain di sini (Tanah Melayu). Masa itu Tanah Melayu belum menjadi sebuah negara bangsa. Misalnya, pemain bola sepak pertama dijemput mewakili China di Sukan Olimpik ialah seorang pemain dari Singapura. Nama dia Chua Boon Lek.

Seorang lagi lewat 1940-an, pemain dari Pulau Pinang, Yap Cheng Eng, pernah dijemput mewakili China. Ya, dulu pemain-pemain kita hebat. Sebab itu pemain kita selalu dijemput untuk bermain mewakili China. Misalnya tahun 1948 atau 1949 mereka jemput Dollah Don, pemain bola sepak dari Johor.

Dia sangat terkenal di China hingga semua penonton tertarik dengan Dollah Don. Dan mereka memberi nama China, Too Ah Tong kepada dia. Dia main centre forward. Dia (Dollah Don) walaupun pemain Johor, begitu juga Shariff Madon, pemain sayap kanan dari Johor, mereka selalu pergi bermain di Singapura. Di Johor mereka paling famous.

Ketika itu Singapura memiliki banyak pemain hebat seperti Awang Bakar, Rahim Omar, Abdul Rahman, Salleh, Osman Anggolia. Selangor hanya terkenal selepas Perang Dunia Kedua bila muncul Ghani Minhat dan Mokhtar Dahari.

Malaysia pernah layak ke Olimpik 1972 dan 1980? Bolehkah Malaysia mengulangi sejarah itu? Apakah ramuan yang perlu bagi melayakkan Malaysia ke Olimpik atau Piala Dunia?

KAY KIM: Ya, Malaysia pernah layak ke Olimpik 1972 di Jerman. Sekali lagi tahun 1980, skuad kita layak ke Rusia. Tapi kita tak pergi (bantah Rusia). Bila buat ‘Ola Bola’ mereka pilih skuad 1980. Mereka (skuad 1980) tak pergi Olimpik Rusia (ketawa).

Semasa Sukan Olimpik di Jerman 1972, dalam perlawanan pertama, Malaysia lawan Jerman. Malaysia kalah 3-0. Itu pencapaian terbaik Malaysia di peringkat dunia.

Bola sepak di Malaysia mesti dikuasai oleh orang yang berpengalaman dan berpengetahuan. Jangan meniru orang lain. Pakai otak. Ikut stail kita bermain. Macam sekarang kita tengok Croatia bermain, oh, kita hendak tiru Croatia. Jangan. Kalau kita tengok Croatia main, macam biasa saja. Kalau lawan liga di Tanah Melayu dulu, kalah dia (ketawa).

Ya, kalau Croatia lawan pasukan yang ada Ghani Minhat, Awang Bakar, tentu kalah (ketawa). Dulu, pemain memiliki skil individu seperti Maradona (Argentina), Pele (Brazil). England dulu ada. Stanley Matthew, Bobby Charlton.

Seperti di Singapura juga, ada Rahim Omar, dia main sayap kiri era 1950-an. Luar biasa. Ini, sebelum ahli politik campur tangan dalam bola sepak.

Suatu ketika dulu, Malaysia boleh mencapai kejayaan dalam sukan utama termasuk bola sepak tetapi mengapa sekarang tidak lagi?

KAY KIM: Ini semua berlaku perubahan dasar selepas negara merdeka 1957. Dasar yang baik di sekolah telah diubah dan ahli politik mula campur tangan dalam sukan bola sepak. Mereka sudah pegang jawatan sebagai pengerusi di peringkat bandar dan negeri.

Ada campur tangan politiklah. Dulu, yang menjadi pegawai di peringkat bandar atau daerah atau negeri tak dapat satu sen pun. Tapi, sekarang mereka dibayar. Dulu, di bandar yang biasanya jadi presiden persatuan ialah Pegawai Daerah. Bukan orang politik. Dan mereka selalu mengutamakan kecemerlangan.

Misalnya, di Perak, tahun 1957 Panglima Bukit Gantang pernah jadi Presiden Bola Sepak Perak. Dan pertama kali, Perak menang Piala Malaya tahun 1957.

Adakah cara atau formula hendak memajukan bola sepak negara?

KAY KIM: Kita perlukan orang yang faham tentang bola sepak, untuk memimpin bola sepak di negara ini. Saya pernah ditanya, mengapa saya buat komen tentang sukan? Saya seorang profesor. Saya tanya, kamu tak pernah dengar sejarah bola sepak? Mereka jawab tak pernah!

Saya kata tahu orang sini (Malaysia) bermain bola sepak sejak era 1930-an, 1940-an dan 1950-an. Mulai 1960-an bola sepak kita dah merosot.

Dulu, pemain macam Awang Bakar (pemain Singapura) era 1950-an, kalau dapat masuk kawasan penalti saja seratus peratus gol. Dia (Awang Bakar) pernah menjaringkan 13 gol dalam satu perlawanan. Sekarang mana ada?

Malaysia sudah memiliki pemain bertaraf profesional tetapi pengurusan bertaraf amatur? Komen Tan Sri?

KAY KIM: Cakap saja profesional (ketawa). Macam saya cakap. Sekarang banyak pemain dibayar. Dulu mereka tak dapat satu sen pun. Tapi, tengok cara mereka bermain. Dulu, mereka bermain bola sebab mereka suka bermain. Sekarang selalunya kerana dapat wang. Apa sumbangan mereka?

Sedih. Ini masalah negara kita. Bukan dalam bidang sukan saja. Selalu soal utamakan wang saja. Sebab itu negara berhutang sampai bilion ringgit. Mereka (pemain) diberi gaji yang tinggi untuk buat apa? Bukan ada sumbangan.

Tan Sri merupakan seorang bekas ahli panel yang dilantik menganggotai panel Technical and Developmet Committee, Footbal Association of Malaysia (FAM) 1985 sehingga tahun 1995. Apa yang terjadi?

KAY KIM: Sedih. Saya pun pernah berada dalam jawatan kuasa pusat FAM. Orang yang bertanggungjawab bukan orang yang benar-benar mempunyai pengalaman ataupun pengetahuan (dalam bola sepak).

Nampaknya, mereka marah bila tengok saya ada di situ. Yang lain tengok saya di situ pun tak suka. Saya hadir dua tiga kali, tengok mereka tak suka, saya keluarlah. Syor saya, sukan bola sepak mesti balik ke sekolah. Kalau tunggu sudah jadi dewasa, dah lewat.

Pesanan Tan Sri untuk mencorakkan kembali mutu bola sepak negara supaya Malaysia lebih meningkat lagi.

KAY KIM: Mereka mesti pilih orang yang berpengetahuan dan berpengalaman untuk membantu memajukan bola sepak negara. Jika mereka tak sanggup, tak mungkin kita boleh maju.

Ada orang tanya saya, bolehkah Perdana Menteri mengetuai FAM? Mungkin dia boleh tukar keadaan? Saya kata boleh, kalau mereka ada pengalaman dan pengetahuan.

Tapi ada orang lain jawab: Perdana Menteri yang pertama kita pernah jadi Presiden FAM.

Saya kata: Kamu tahu tak Tunku pernah mewakili pasukan bola sepak St. Catherine’s College, Cambridge University. Mereka tak tahu sebab itu mereka anggap sejarah tak penting dalam sukan.