Dalam fasa ini, pihak BN perlu segera bangkit sebelum jatuh tidak bangun-bangun semula. Tokoh-tokoh muda UMNO Selangor, seperti Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim dan Budiman Mohd. Zohdi perlu kembali menyusun gerakan untuk mengembalikan kekuatan parti keramat tersebut.

Kegagalan bukan untuk diwarisi, malahan kejayaan Pakatan Harapan bukan berlaku semalaman. Jika pemimpin BN masih bermuhasabah bulan Ramadan memang masa yang afdal, tetapi janganlah lama sangat kerana politik bukannya kerja bermusim.

Mungkin ada calon BN yang tewas pada PRU-14 tempoh hari sedang berada di Mekah Al-Mukarramah menunaikan ibadah umrah di samping merawat kesedihan.

Bermuhasabah bukanlah salah kerana UMNO bukan parti pelengkap pilihan raya yang harus terus meratap. UMNO adalah parti yang mencurah bakti tanpa jemu hingga ramai yang bercita-cita menumbangkannya.

Sudah ditakdirkan BN ditewaskan julung-julung kalinya oleh Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad. Mengapa perlu digusarkan, kerana jika UMNO menemui rentak kehebatannya ia pasti akan kembali dengan gagah.

Sememangnya pada saat ini berdasarkan maklumat Ketua UMNO Bahagian di negeri ini, mesyuarat cawa­ngan sedang giat dijalankan bagi memastikan syarat-syarat Pendaftar Pertubuhan dipenuhi.

Jangan dirunsingkan dengan cakap-cakap belakang untuk mengharamkan UMNO kerana kebangkitan ini penting demi kesinambungan perjuangan orang Melayu di negara ini. Soal prosedur selesaikan segera kerana rakyat yang memberi lebih 70 kerusi parlimen kepada BN mahu melihat Pakatan Harapan menunaikan kesemua janji manifesto mereka.

Janji-janji manifesto tersebut tidak perlu dipertikai selagi tempoh lima tahun masih berbaki. Namun jika awal-awal janji tersebut tidak dipenuhi maka kita nilaikan sendiri rasionalnya. Dari sudut pandang rakyat di Selangor khususnya, keyakinan mereka amat tinggi untuk memberi peluang kepada Pakatan Harapan membuktikan komitmen mereka. Jika tidak masakan Pakatan Harapan mendapat lebih 50 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mandat sebegitu besar membuktikan BN telus dalam PRU-14. Sebarang tuduhan undi tambahan dari luar tidak perlu lagi digembar-gembur kerana sekarang adalah masa untuk bekerja bukannya menjadi hakim hingga segala yang dijanji tinggal janji.

Pada kesempatan bulan Ramadan ini kepada pe­mimpin BN ambillah inisiatif untuk kembali ke akar umbi. Ha­dirlah ke surau-surau dan masjid untuk bergaul dengan masyarakat pelbagai golongan. Ringan-ringankan mulut untuk senyum dan bertanya khabar mereka. Ta­nyakan tentang harga barang dan hal ehwal hidup mereka.

Mula saat ini pemimpin UMNO perlu menganggap rakyat sebagai kawan bukannya sekadar pengundi semata-mata. Rakyat memilih Pakatan Harapan mungkin ke­rana mereka terasa susah dengan keadaan ekonomi sekarang. Maka UMNO atau BN perlu menjadi alat semak dan imbang dengan dasar PH.

Pastikan dasar Pakatan Harapan mampu menyelesaikan masalah rakyat. Di Selangor masalah kos hidup me­ningkat bukan perkara baharu malahan Lembaga Zakat Selangor (LZS)dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak menang tangan membantu golongan miskin bandar. Fokus utama adalah rakyat. Pilihan di tangan mereka maka khidmat perlu diberikan kepada mereka walaupun suka atau sebaliknya.

Bangkitlah bersama menjadi kumpulan pendesak yang berkesan. BN dan UMNO sememangnya perlu muhasabah tetapi masa sangat berharga untuk terus tuduh me­nuduh sesama kita. Dalam era kritikan lebih terbuka, maka ambillah peluang bukannya terus sedih hingga akhirnya letih.