“Bang, boleh duduk tak?,” tanyanya sopan. Abang hensem perasan tak pernah aku tengok mamat ni.

“Saya kerja bank kat sini, baru masuk kerja beberapa hari lepas,” kata anak muda lingkungan awal 20-an itu.

Cerita punya cerita, sembang punya sembang 15 minit lagi nak masuk solat Zuhur, dapatlah sedikit sebanyak abang hensem ‘baca’ tentang dirinya - ‘baru nak hidup’.

Dengan pertuturan yang dijaga, tanya anak muda ini lagi: “Bang, apa agaknya rahsia rezeki? Dalam umur 22 tahun ini, saya nak buat macam-macam kerja. Nak ada girlfriend secantik Neelofa atau Nora Danish, kemudian dirikan rumah tangga, ada anak-anak comel dan macam-macam lah bang.”

Abang hensem ‘teruja’ melihat keazaman anak muda yang sebaya anak nombor dua abang hensem ni.

Cuma pesan abang hensem kepadanya: “Sebenarnya satu saja ‘punca’ rezeki seseorang itu. Hulurkan sedikit duit gaji adik tu kepada orang tua. Percayalah, yakinlah...keberkatannya tidak ada tolok banding.”

Abang hensem percaya hampir 90 peratus orang bekerja akan anggap gaji mereka hanya ‘cukup-cukup makan’. Maklumlah, ada macam-macam komitmen yang perlu dilangsaikan setiap bulan. Dari kereta, rumah, sehinggalah ke makan minum, semuanya perlukan duit.

Ada yang sanggup buat dua tiga kerja semata-mata nak sara hidup dan nak buat ‘duit tepi’ sebab gaji tak cukup. Namun, walaupun dah buat lebih daripada satu kerja, ramai yang mengaku kewangan mereka masih tidak kukuh.

Mengapa jadi macam itu? Bila kita dah mula senang, anak-anak dah besar, baru terfikir nak balas jasa ibu bapa. Tapi waktu itu sudah terlambat. Tak ada nikmat dunia lagi yang dapat gembirakan mereka. Bawa melancong, kaki mereka sakit. Bawa makan, mereka perlu berpantang. Bawa ke taman, tak larat berjalan.

Yang mereka mahukan ketika itu hanyalah anak mereka sebagai teman. Tapi demi Allah, ‘kita’ tak mampu berikan sebab hanya sibuk mengejar kekayaan. Akhirnya syurga mereka pun pergi. Satu-satunya peluang mereka ke syurga secara jalan pintas telah pun tertutup.

Waktu itu tiada lagi guna untuk menyesal. Doa yang lebih mujarab daripada doa kedua orang tuamu. Khususnya ibu.

Dah hulur ke duit buat mak ayah tu? Eh! Takkan sampai nak potong duit dari gaji kot RM100 sebulan, baru nak buat.

Ada kewajaran tak idea abang hensem ni? Buat autodebit, duit pun tak nampak pergi mana. Tapi berkatnya hingga ke akhir hayat.