Dalam khutbah tersebut khatib telah memberikan beberapa senario yang biasa berlaku dalam kehidupan seharian umat Islam. Setiap senario yang dikemukakan itu akhirnya mengkehendaki kita membuat pilihan sama ada ketaatan kepada Allah itu menjadi keutamaan atau sebaliknya.

Antara contoh paling mudah yang boleh dikaitkan dengan tajuk khutbah tersebut adalah tentang arahan untuk hadir ke mesyuarat dalam pukul 3 petang. ­Kea­daan ­seperti ini biasa berlaku dan kadang-kadang menjadi rutin kepada sesetengah pejabat atas keperluan mesyuarat itu diadakan.

Tidak salah untuk diadakan mesyuarat malah Islam sendiri amat menggalakkannya terutama untuk menyelesaikan satu-satu isu atau melancarkan lagi setiap gerak kerja yang telah dirancang.

Bagaimanapun agak malang jika ketua atau bos yang mempengerusikan mesyuarat itu langsung tidak peka tentang waktu solat. Langsung tiada pertimbangan dalam dirinya untuk membenarkan anak-anak buah keluar solat untuk seketika sebaik sahaja masuk waktu.

Di sinilah letaknya cabaran ahli-ahli mesyuarat lain khususnya mereka yang sentiasa memelihara solat wajib lima waktu sehari semalam. Adakah mereka mahu terus berada dalam bilik mesyuarat atau keluar sebentar me­nunaikan solat asar.

Di saat itu mereka perlu membuat satu keputusan sama ada perintah Allah yang lebih utama atau arahan bos yang lebih penting, lebih-lebih lagi jika waktu asar hampir tamat. Jika tidak bertindak segera (menunaikan solat) pasti kita akan terlepas solat asar. Sekiranya itu yang berlaku sudah tentu kita telah melakukan satu dosa terhadap Allah SWT kerana meninggalkan solat wajib dengan sengaja,

Pengalaman sama pernah dialami oleh seorang sahabat penulis. Katanya, pada satu hari dia telah diarahkan hadir dalam satu mesyuarat pengurusan syarikat yang bermula kira-kira pukul 4 petang.

Setelah sekian lama bermesyuarat, kira-kira pukul 6.45 petang tiada langsung tanda-tanda untuk berhenti sedangkan waktu maghrib semakin hampir. Pada masa itu sahabat penulis masih belum bersolat asar dan dia mula resah.

Mahu tidak mahu dia bertekad untuk meninggalkan mesyuarat sebentar untuk bersolat asar walaupun pada ketika itu isu yang dibincangkan amat penting. Kata­nya kepada penulis, dia terpaksa melakukannya kerana waktu asar sudah hampir luput. Dia juga tahu tindakannya itu mungkin mengundang rasa kurang senang dalam kalangan ahli mesyuarat lain termasuk bos.

Situasi yang berlaku ke atas sahabat ini sama dengan tajuk khutbah yang disampaikan oleh khatib berkenaan. Sebenarnya itulah langkah yang sepatutnya diambil. Ja­ngan hiraukan apa orang hendak kata kerana kita yang akhirnya akan menanggung dosa sekiranya meninggalkan solat dengan sengaja.

Penulis akui kita semua bukan insan sempurna tetapi urusan ibadat wajib ini tidak boleh dikompromi lebih-lebih lagi berkaitan solat. Penulis juga sering teringat kata-kata nasihat seorang pakar motivasi yang antara lain menyebut tentang sikap yang terlalu melebihkan pandangan manusia lain berbanding penilaian daripada Allah SWT.

Kerana apa? Ini semua disebabkan habuan yang bakal kita nikmati hasil daripada kesungguhan kita di mata manusia. Sebab itu mereka rela berada dalam mesyuarat berjam-jam daripada menunaikan solat tidak sampai 10 minit.

Inilah hakikat yang berlaku dan sememangnya selalu berlaku. Justeru, sudah tiba masanya sikap terlalu mementingkan pandangan manusia ini diubah demi mendapat reda Allah SWT sejajar dengan ibrah peristiwa Israk dan Mikraj. Jangan disebabkan terlalu mengejar ­ke­untu­ng­­an dunia, kita akhirnya mengabaikan perintah Allah SWT lebih-lebih lagi jika melibatkan ibadat solat.