Maklumlah mereka mengharapkan keputusan pa­ling cemerlang iaitu dengan mendapat semua A dalam setiap mata pelajaran diambil anak mereka. Dengan ini memudahkan anak mereka memasuki sekolah terbaik di Malaysia seperti Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Ini sudah menjadi trend dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Dari satu sudut, trend sebegini sememangnya cukup positif kerana mengharapkan anak-anak cemerlang dalam pelajaran. Namun, dari satu sudut lain boleh menyebabkan anak-anak berasa tertekan jika tidak mendapat keputusan diharapkan oleh ibu bapa. Yakinilah bahawa USPR hanyalah sekadar permulaan peperiksaan umum buat sesiapa sahaja yang bergelar warganegara Malaysia. Masih panjang lagi kehidupan anak-anak kita yang akan menempuh pelbagai jenis peperiksaan bukan setakat semasa belajar tetapi juga semasa bekerja kelak. Yang tidak mendapat keputusan paling cemerlang dalam peperiksaan UPSR tidak bermaksud mereka tidak boleh cemerlang dalam peperiksaan lain.

Ambil contoh bagaimana graduan cacat penglihatan Universiti Utara Malaysia (UUM), Harziah Khalid Yunus menjadi penerima anugerah Pingat Emas Canselor sempena Istiadat Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen UUM, Sabtu lalu. Kisahnya cukup menarik untuk dijadikan iktibar. Bayangkan pernah berhenti sekolah rendah kerana asyik mendapat markah kosong. Hanya ketika berusia 10 tahun, barulah gadis berasal dari Sabah itu memasuki semula alam persekolahan.

Bayangkan betapa tingginya semangat gadis ini dalam mengejar yang terbaik dalam mendapatkan ilmu pengetahuan. Bukan calang-calang orang yang mampu melakukannya. Kita yang normal ini pun belum tentu lagi mampu memiliki semangat sepertinya. Namun, itulah yang dibuktikannya. Semangat menimba ilmu pengetahuan dan tidak sesekali berputus asa meskipun terpaksa mengharungi pelbagai cabaran dan kesusahan, satu perkara yang perlu diterapkan dalam kalangan anak-anak kita.

Malang sekali kerana kini sudah mula menjadi trend dalam kalangan kita terutamanya di bandar-bandar besar mengadakan majlis tamat belajar untuk pelajar tahun enam di hotel. Ramai sahabat penulis yang menetap di Lembah Klang meluahkan rasa terkilan dengan trend sebegini. Anak-anak dididik sejak kecil lagi dengan suasana sebegini. Walhal, ketika kos sara hidup tinggi, perkara sebegini perlu dielakkan. Ramai yang berusaha berjimat cermat tetapi apabila ada­nya perbelanjaan tidak perlu sebegini, sudah tentulah memberi kesan ter­hadap wang ­perbelanjaan mereka.

Bukan tidak boleh mengadakan majlis tamat belajar. Boleh tetapi biarlah diadakan di sekolah yang ­sememangnya lebih murah. Lagi pun apalah gunanya kemudahan di sekolah yang disediakan kerajaan menggunakan wang rakyat daripada pelbagai jenis kutipan cukai. Tahukah kita, terdapat murid yang tidak mampu melanjutkan pelajaran kerana ibu bapanya begitu miskin.

Bayangkan bagaimana pula kehidupan kanak-kanak sebegini jika berada dalam suasana pendidikan di Lembah Klang sehinggakan majlis tamat belajar pun diadakan di hotel. Dalam hal ini, usahlah kita mendidik anak bermewah-mewahan. Semua ibu bapa ingin menyediakan yang terbaik buat anak-anak mereka. Namun, mendidik anak bermewah-mewahan akan menjadikan anak-anak kecil tidak menghargai kesusahan untuk mendapatkan sesuatu yang diingini. Ingatlah pengajaran yang boleh diambil dalam filem Tan Sri P. Ramlee, Anakku Sazali. P. Ramlee telah lama cuba menyelit pengajaran terhadap filemnya ini buat ibu bapa agar tidak terlalu memanjakan anak-anak dengan memberikan pelbagai kemewahan kepada anak-anak hatta anak tunggal sekali pun.

Nasib baiklah trend dialami sahabat-sahabat penulis di Lembah Klang belum lagi merebak ke Kedah. Banyak lagi penekanan perlu dibuat seperti apa yang berlaku kepada pelajar-pelajar yang dikatakan terjebak dengan pelbagai masalah sosial sehingga tidak melanjutkan pelajaran. Inilah fokus yang perlu dilakukan. Tidak hanya segelintir pelajar cemerlang dalam pelajaran menjadi tumpuan. Pelajar kurang cemerlang dalam pelajaran juga perlu menjadi tumpuan kerana kita tidak mengetahui mungkin mereka ini berjaya dalam kehidupan mereka kelak. Banyak sahaja bukti di sekeliling kita, pelajar yang kurang berjaya dalam pelajaran telah bangkit semula dalam realiti kehidupan sebenar ketika dewasa.

Apa yang penting di sini, tumpuan perlu dilakukan terhadap perkara-perkara utama dalam mendidik anak-anak kita. Mendidik anak bermewah-mewahan hanya boleh mendatangkan pelbagai risiko kemudian hari.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM).