Berasaskan kepada peranan manusia sebagai hamba kepada Allah (Ibad Allah) dan pemimpin Allah di muka bumi (khalifah Allah fil-Ard) maka umat Islam perlu merealisasikannya secara membuktikan kepada dunia bahawa umat Islam adalah satu masyarakat yang pa­ling ideal dalam hal ehwal kerohanian dan kepemimpinan. Persoalannya, sejauh manakah umat Islam berjaya menonjolkan kehebatan mereka dalam hal ehwal kerohanian dan kepemimpinan?

Realitinya ramai ahli politik Islam yang bermusuhan sesama sendiri sehingga ke tahap menzahirkan keaiban dan kelemahan dalam mengendalikan hal ehwal kenegaraan dan kemasyarakatan. Tambahan pula agama dipergunakan untuk menutup kelemahan dan kesilapan yang dilakukan ketika mengendalikan urusan masyarakat dan negara.

Jika sumbangan dan perkhidmatan yang dilaksanakan kepada masyarakat dan negara disulami dengan penipuan, kerakusan dan ketamakan maka usah bersumpah dengan nama Allah untuk mempertahankan diri. Masyarakat tidak meminta ahli politik bersumpah de­ngan nama Allah untuk menyakinkan mereka berkaitan kejujuran dan ketelusannya dalam perkhidmatan negara.

Apabila seorang ahli politik dipilih menjadi wakil rakyat atau pemimpin negara maka beliau sepatutnya ­berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat dan negara. Ini adalah harapan rakyat kepada ahli-ahli politik yang dipilih untuk menjadi pe­mimpin.

Sukar untuk mencari pemimpin yang mempunyai kewibawaan dan kepintaran hebat seperti mana digariskan oleh Islam.

Bersyukurlah jika setiap ahli politik sentiasa me­ngingati Allah ketika mereka memerintah dan mentadbir negara kerana sikap begini boleh menjadikan mereka amanah dan bertanggungjawab terhadap negara dan masyarakat. Dalam hal ehwal kepemimpinan, gabu­ngan kerohanian dan ilmu pengetahuan dalam hal ehwal pentadbiran amat penting bagi menghasilkan pemimpin yang bijaksana dan memiliki nilai kerohanian yang tinggi.

Apabila seorang pemimpin mempunyai ciri-ciri begini, maka setiap ucapan dan tindakannya boleh meyakinkan rakyat dan beliau adalah pemimpin yang boleh dipercayai. Ini adalah harapan rakyat kepada para ahli politik beragama Islam.

Sikap gemar mencemarkan maruah antara satu sama lain sehingga sanggup menggunakan Islam untuk mempertahankan diri adalah sikap yang boleh menimbulkan kecurigaan dan menghakis keyakinan rakyat terhadap kebolehan umat Islam dalam kepemimpinan negara. Cara mereka mengkritik dan berhujah lebih mirip kepada serangan peribadi seperti memaparkan kelemahan dan salah guna kuasa.

Lumrah kebanyakan orang menceburi arena politik adalah untuk meraih kekayaan dengan mendapatkan kuasa. Sikap begini menjadikan konsep khalifah di muka bumi tersasar daripada garis panduan Islam. Apabila umat Islam sudah terpengaruh dengan konsep ‘memiliki kuasa adalah sumber kekayaan’ maka setiap ahli politik umat Islam usah menggunakan Islam untuk mencapai matlamat perjuangan politik atau mempertahankan diri sebagai ahli politik yang berwibawa dan mewakili agama Islam.

Sikap menggunakan Islam untuk mempertahankan diri daripada kesilapan dilakukan terhadap rakyat dan negara tidak mungkin dapat menghapuskan titik hitam yang dilakukan ketika memperoleh kuasa kerana setiap perbuatan dan tindakan yang dilakukan oleh pemimpin politik menjadi sejarah untuk dipertontonkan oleh masyarakat masa kini dan akan datang.

Dalam era umat Islam sudah terhakis nilai dan budaya Islam dalam setiap aspek kehidupan, maka usah mencemar maruah antara satu sama lain sehingga hilang setiap kebaikan dan jasa yang ditaburkan kepada negara dan masyarakat.

Umat Islam sepatutnya memahami bahawa tidak ada manusia yang sempurna di dunia kecuali para Nabi dan Rasul. Oleh itu, pergelutan dalam arena politik perlu dibatasi dengan akhlak dan tata susila Islam supaya setiap ahli politik Islam yang berbeza parti politik tidak tersasar daripada garis panduan berpolitik dalam Islam.

Justeru, fahamilah kekuatan Islam hanya dapat diperkukuh melalui hubungan silaturahim antara sesama Islam. Sedarilah pergelutan politik hanya untuk menentukan kelayakan para pemimpin negara dan masyarakat, bukan merupakan medan peperangan yang boleh memusnahkan hubungan sesama umat Islam. Takutilah Allah dalam urusan kepemimpinan.

PROFESOR MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN ialah pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).