Mengapakah kita berpandangan negatif terhadap mereka? Ingatlah, kita akan dapat apa yang kita beri. Jika kita berikan remaja pandangan negatif atau yang buruk-buruk tentang mereka, maka yang buruk-buruk jugalah yang bakal kita terima. Bukankah kata-kata itu doa dan doa ibu itu mustajab dan tiada hijab?

Abu Hasan dalam kitab Ast-Tsulatsiyah menerangkan Anas bin Malik menjelaskan hadis Nabi, dengan mengatakan ada tiga doa yang tidak ditolak Allah, iaitu doa orang tua untuk anaknya, doa orang yang teraniaya dan doa seorang musafir. Hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan ad-Dailami juga mengatakan yang bermaksud: “Doa orang tua untuk anaknya sama dengan doa Nabi untuk umatnya. Sebagai ibu, malah bapa, proseskan cara minda kita berfikir ke arah positif terhadap anak-anak kita.

Contohnya, kalau anak kita nakal, tukarkan pandangan kita dengan mengatakan, kerana anak kita sihat sebab itulah dia aktif dan suka melakukan perkara yang bersifat hiperaktif. Hal ini adalah kerana, anak yang nakal lumrahnya anak yang aktif dan itu sebagai petunjuk dia seorang kanak-kanak yang sihat. Tetapi sebaliknya, anak yang pasif biasanya ialah kanak-kanak yang tidak sihat, sebab itulah dia kelihatan tidak nakal.

Jom kita lihat remaja dengan pandangan positif, doa dan harapan juga yang positif. Lihatlah remaja ini sebagai benih-benih segar yang akan tumbuh menjadi pohon yang tinggi. Fikir-fikirkan, baja apakah yang patut kita letak sekarang ini bagi membolehkan nanti, benih itu menjadi pohon yang segar bugar dan berbuah lebat. Jangan sama sekali kita menjadi pembunuh kepada benih yang baru kita semai – belum pun tumbuh bercambah benih semaian kita itu, kita sudah mengatakan pokok itu rosak.

Ketika kita siram pokok itu, hati kita pula bercakap, boleh ke hidup pokok ini atau lebih teruk lagi kita kata, pokok ini pasti mati. Maka akan pasti matilah pokok itu. Oleh itu, apabila berhadapan dengan remaja bermasalah, betulkan diri ibu bapa terlebih dahulu. Jangan terus salahkan remaja!

Dalam “Reset Minda” konsep pemikirannya juga menjelaskan “Dunia dalaman saya menggambarkan dunia luaran saya”. Maka itu seorang ibu atau bapa mesti perbetulkan dirinya terlebih dahulu, jadilah ibu atau bapa yang menjaga solat dan ibadahnya, menjaga auratnya, menjaga pergaulan, dan isteri/ibu menghormati suami dan suami/ayah menyayangi suami. Jika dunia dalaman ibu atau bapa baik atau positif dunia luarannya juga positif.

Maka ibu atau bapa yang baik akan melahirkan anak yang baik, iaitu baik pada zahirnya baik pada batinnya, insya-Allah. Anak-anak adalah cerminan ibu bapanya.

Perhatikan dengan “mata hati” setiap kali seorang ibu melahirkan anak, adakah kita ingin mendidik anak kita menjadi Abu Jahal (berakhlak buruk) atau menjadi Imam Syafee (berakhlak mulia)?

Kita bertanggungjawab ke atas bentuk dan corak keperibadian anak-anak kita, kerana sama ada anak kita menjadi anak yang positif atau negatif, adalah bergantung pada pilihan kita 10 atau 20 tahun dahulu. Iaitu ke tadika mana yang kita letakkannya? Ke sekolah mana yang kita hantarkannya dan universiti mana yang menjadi pilihan kita untuk anak-anak kita?

Kitalah yang mencorakkannya. Semuanya berkisar dari niat; jika positif niat, positiflah jadinya. Jika negatif niatnya dan penuh prasangka buruk, buruklah jadinya. Jadilah kita guru pertama kepada anak-anak kita, dan didiklah ke arah mencari keseimbangan dunia dan akhirat. Mendidik anak remaja samalah seperti kita bermain layang-layang, kena bijak mengawalnya.

Memberontak

Ada waktunya kita kena lepaskan anak remaja kita “terbang tinggi”, setinggi mana yang boleh, yang mereka inginkan, macam kita melepaskan tali layang-layang kita. Namun begitu, kita tidak pernah melepaskan tali layang-layang itu sekali gus, kita lepaskan tali layang-layang kita sikit-sikit, kalau anak-anak terbabas, ibu bapa akan tarik perlahan-lahan, bawa anak-anak ke arah matlamat yang mereka mahu.

Kalau perlu disentap pun, sentapan mereka pun penuh berhati-hati, tidak merosakkan/mengoyakkan layang-layang atau memutuskan ekornya (dalam analogi kita) dan menyakitkan anak-anak (dalam hakikat sebenar).

Remaja memang tidak boleh terlalu dikongkong, kalau dikongkong memberontak jiwa mereka. Sebenarnya apa yang kita hendak itulah yang terlebih dahulu kita ibu bapa kena berikan kepada anak-anak kita. Demikian jugalah, kita (ibu bapa hendak kebebasan, tetapi kita hendak mengongkong anak-anak kita). Ingatlah, kita akan dapat apa yang kita beri kepada orang - kebebasan boleh diberi, tetapi dengan bersyarat dan ibu bapa perlu tegas dengan syarat tersebut. Ibu bapa tidak boleh memberi kebebasan kepada anak-anak, terutama untuk bersosial sejak kecil hingga mereka remaja.

Kawal anak-anak supaya mereka tidak boleh keluar dari rumah sesuka hati. Untuk tujuan kawalan itu dalam masa yang sama anak-anak masih diberikan peluang mengecap kenikmatan alam remaja mereka. Iaitu contohnya ibu bapa sanggup menghantar anak-anak mereka ke mana sahaja yang anak-anak mereka mahu bagi mengelakkan mereka menaiki kenderaan awam yang terdedah dengan hal sosial dan keselamatan atau akan terpengaruh dengan suasana di luar, seperti budaya melepak dan berpeleseran dalam kalangan muda-mudi yang merosakkan susila.

Kalau anak-anak ingin ke rumah kawan-kawan ibu bapa sanggup menghantar anak-anak ke rumah kawan-kawannya dan datang mengambil semula anak-anak mereka pada waktu yang dijanjikan. Sebagai ibu atau bapa, kita perlu tegas dalam hal ini.

Setiap kawan anak-anak, ibu bapa akan kenal, bahkan juga kenal keluarga kawan-kawan anak-anak kita. Hal ini amat penting bagi memastikan anak-anaknya tidak tersilap memilih kawan. Biarpun mereka tidak suka dikawal begitu, ibu bapa mesti bertegas dan pemantauan itu perlu berterusan.

Seandainya anak-anak degil, menggempa marah atau mengingkari syarat yang kita berikan, tegur mereka dengan baik. Jangan sesekali memarahi anak-anak, khususnya anak remaja dengan kekasaran. Iaitu sama ada dalam bentuk kekasaran kata atau kekasaran fizikal, atas niat memberi hukuman, nanti mereka akan lebih memberontak.

Marah yang mengajar dan menegur yang menyedarkan adalah perkara yang perlu dititik beratkan oleh ibu bapa. Berikan anak-anak motivasi dan inspirasi dengan pujian dan kasih sayang.

Setakat nakal-nakal remaja itu adat kehidupan. Kita juga pernah menjadi remaja, dan kebanyakan kita pun tidak terus menjadi orang yang baik dan berjaya seperti sekarang. Percayalah kalau mereka memberontak pun, sikit-sikit sahaja, tidaklah sampai melawan, jika mereka mendapat kasih sayang sepenuhnya daripada ibu bapa.

Seterusnya untuk berjaya dalam pelajaran kawal bahan bacaan dan tontonan anak-anak. Usah membenarkan anak-anak membaca, mendengar dan menonton perkara-perkara yang boleh melalaikan mereka. Kecuali sesekali, kerana hiburan itu boleh kalau sesekali. Hiburan ibarat “garam”, perlu dalam hidup, tetapi tidak boleh diambil banyak-banyak nanti akan mendatangkan mudarat

“Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.