Walaupun kesemua penari latar belakang itu berpakaian lengkap, namun aksi lucah yang dipaparkan dalam muzik video berjudul Like A Dog sempena sambutan Tahun Baharu Cina itu jelas terpampang. Malah sesiapa yang menonton muzik video tersebut pasti akan melihatnya.

Persoalannya, mengapa Name­wee terus-menerus mencipta kontroversi? Tidakkah dia sedar kebanyakan karya seni yang dihasilkannya itu lebih kepada meruntuhkan perpaduan antara kaum. Malaysia bukan negara homogeneous seperti Jepun, Korea Selatan dan Taiwan yakni hampir keseluruhan penduduknya terdiri daripada satu bangsa.

Sebaliknya, Malaysia adalah sebuah negara pelbagai agama, kaum dan etnik. Dengan adanya kepelbagaian ini, banyak perkara serta isu yang perlu ditangani dengan bijak dan seimbang. Malah penulis amat yakin ramai yang sedar akan hakikat ini termasuk Namewee.

Mustahil anak kelahiran Muar ini tidak tahu komposisi penduduk negara ini terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik. Dengan kata lain banyak perkara sensitif yang perlu dipelihara lebih-lebih lagi jika berkaitan soal bangsa dan agama.

Bukannya Namawee ini orang Taiwan atau orang Hong Kong. Namawee adalah anak jati Johor dan anak jati negara ini. Tidak salah untuk dia berkarya tetapi bukan ini caranya. Cara yang digunakan oleh Namawee ini tidak ubah seperti mahu merosakkan keamanan dan keharmonian yang telah kita kecapi selama ini atas nama kebebasan.

Cuba contohi rappers tempatan lain seperti Joe Flizzow, Altimet, Sona One, Waris dan Juzzthin. Mereka menggunakan platform seni untuk kemakmuran negara, untuk mengenali adat budaya bangsa. Malah hasil kerjasama antara Joe Flizzow, Altimet, Sona One dengan penyanyi ter­kenal, Faizal Tahir telah berjaya menghasilkan sebuah lagu yang cukup hebat berjudul Negaraku.

Dalam lagu itu mereka telah menggunakan kata-kata sema­ngat dan kata-kata nasihat agar keamanan serta keharmonian negara ini dapat terus dipertahankan. Alangkah baiknya Namewee ikut jejak langkah mereka.

Ini tidak. Namewee terus bermain api. Namewee terus menghasilkan karya-karya yang me­nimbulkan konflik. Mungkin juga pihak berkuasa negara ini terlalu berlembut sehingga penyanyi rap ini bebas melakukan apa sahaja.

Sebelas tahun lalu, Namewee telah mencetuskan kontrover­si­nya yang pertama apabila dia menghasilkan sebuah lagi bertajuk Negarakuku yang diubah suai daripada lagu Kebangsaan, Negaraku. Liriknya cukup mengguris perasaan terutama bahagian yang mempersendakan seruan azan.

Azan berkait rapat dengan ibadat umat Islam dan tidak sewajarnya perkara ini menjadi bahan mainan. Apatah lagi de­ngan kedudukan istimewa Islam sebagai agama bagi Persekutuan seperti mana termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Selepas menghasilkan lagu tersebut, Namewee terus mencipta lagu-lagu rap yang liriknya begitu sensitif seperti Nah (yang ditujukan khas kepada seorang pengetua Kulai Johor) dan Oh My God sehinggalah lagunya yang terbaharu, Like A Dog.

Yang peliknya, Namewee ti­dak pernah dihadapkan ke mah­kamah atas perbuatannya itu.

Apa pun tidak dinafikan yang dia pernah ditahan reman untuk siasatan yang membabitkan dakwaan satu klip video bertajuk Oh My God pada Ogos 2016 apabila klip video berkenaan memuatkan adegan menari di masjid, gereja, kuil dan tokong Buddha, sekali gus mengundang kemarahan penduduk pelbagai kaum negara ini. Mungkin kes tersebut tidak begitu kukuh untuk mengheret Namewee ke mahkamah.

Sememangnya kerajaan tidak boleh membiarkan manusia se­per­ti ini melakukan apa sahaja atas nama hiburan dan atas sebab itu penulis amat bersyukur apabila Namewee sekali lagi ditahan polis pada 22 Februari lalu ekoran paparan klip video Like A Dog.

Apa yang diha­rapkan selepas ini, pihak berkuasa per­lu menggunakan segala peruntukan undang-un­dang yang ada terutama dalam Kanun Keseksaan, Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia agar Namewee dapat pengajaran sewajarnya. Jangan biarkan orang seperti Namewee terlepas daripada tindakan undang-undang.

Jangan bagi muka dengan orang seperti ini. Bak kata orang tua-tua berani buat, berani tanggung.

Dalam perkembangan berkai­tan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang pada satu masa pernah membelanya turut mengecam tindakannya itu. Mohamed Nazri menyifatkan per­buatan penari-penari latar Namewee yang memaparkan aksi lucah dalam klip video terbaharunya itu sebagai melampau dan biadab. Beliau juga mahu Namewee ditahan dan dibawa ke mahkamah untuk diadili.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut membidas perbuatan biadab Namewee itu dengan menegaskan bahawa penyanyi tersebut tidak boleh menyalahkan pihak berkuasa sekiranya tindakan dikenakan terhadapnya selepas video terbaharunya itu sekali lagi menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia.

Tidak boleh kita nafikan dalam negara ini ada jenis manusia se­perti Namewee dan cara terbaik untuk mengajar mereka adalah dengan menggunakan peruntukan undang-undang. Biar undang-undang membentuknya menjadi seorang rakyat yang sentiasa menghargai nikmat ke­amanan, keharmonian dan kemakmuran.