Ada dalam kalangan mereka dikenali oleh penulis secara kebetulan berikutan terlibat dalam dunia penulisan ini. Ramai antara mereka ‘otai-otai’ yang memiliki seni penulisan yang menyentuh hati dan sanubari para pembaca. Mereka menulis bukan hanya kerana berada dalam dunia kerjaya sebagai wartawan tetapi kerana ingin menyumbang dan berbakti kepada masyarakat.

Membangkitkan sebarang isu rakyat bukanlah bertujuan menuding jari dan mencari salah orang lain, tetapi untuk menegur dan menasihati antara satu sama lain ke arah kebaikan bersama. Bukan senang sebenarnya untuk menulis. Bak kata pepatah, bagai menarik rambut di dalam tepung. Perlu ada kebijaksanaan dalam menulis agar sesuatu isu itu dapat dise­lesaikan dengan cara terbaik.

Sememangnya semua orang boleh menulis semberono, namun menulis untuk mencari kebaikan bersama itulah sukar dilakukan. Hanya mereka yang mahir dan berpengalaman seperti wartawan-wartawan ‘otai’ mampu menegur dan menasihati agar setiap daripada kita dapat membetulkan sebarang kesilapan yang telah dilakukan. Tiada manusia yang sempurna.

Tegur menegur dan nasihat menasihati sesama kita sememangnya amat diperlukan agar masyarakat dapat menjalani kehidupan yang lebih baik. Masih ada lagi perkara yang perlu diusahakan ke arah yang lebih baik. Misalnya dalam hal kese­jahteraan penduduk luar bandar. Jurang antara penduduk luar bandar dan bandar perlu dikurangkan pada tahap paling minimum.

Penduduk luar bandar berhak menikmati pembangunan dan kemajuan negara. Mereka ini adalah sebahagian daripada rakyat Malaysia. Kemudahan infrastruktur yang lebih baik diperlukan oleh mereka. Ini melibatkan semua bidang terutamanya dari sudut ekonomi.

Dalam hal ini, penduduk luar bandar inginkan peluang-peluang pekerjaan yang lebih baik di tempat mereka. Bidang pekerjaan yang menjanjikan pendapatan yang lebih baik agar tiada perpindahan secara mendadak penduduk luar bandar ke bandar. Dengan itu, kawasan luar bandar perlu dibangunkan dan dimajukan. Strategi membangunkan dan memajukan kawasan luar bandar perlulah sesuai agar kesan negatif perpindahan penduduk luar bandar ke bandar dapat dikurangkan.

Apakah prospek-prospek pekerjaan yang boleh dikembangkan di kawasan luar bandar? Ini perlu melibatkan kemahiran dan minat mereka dalam sesuatu pekerjaan. Misalnya, penduduk luar bandar memiliki kekuatan mereka yang tersendiri dalam bidang pertanian. Ramai antara mereka menjadi nelayan dan petani.

Jadi, di sini kita boleh melihat semula bagaimana hasil-hasil pertanian mereka boleh dikembangkan menjadi pendapatan yang sesuai dengan hasil titik peluh mereka. Begitu juga, ada antara kawasan luar bandar ini berpotensi untuk dibangunkan melibatkan produk-produk berasaskan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Mereka ini perlu dilatih agar mahir dalam bidang perniagaan dan keusahawanan. Perlu ada mekanisme untuk memupuk minat mereka secara berterusan agar dapat kekal dalam bidang keusahawanan sehinggalah berjaya kelak. Ini bagi membolehkan usaha mereka untuk berbakti kepada masyarakat tidak terhenti begitu sahaja di pertengahan jalan.

PROF. MADYA DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM).