Kepemimpinan dan pentadbiran adalah tugas yang terlalu rumit dan memenatkan kerana berkaitan penyediaan keperluan dan kemudahan asas rakyat, pembangunan material dan insan serta keselamatan negara dan setiap penghuninya. Berkaitan tugas ini Umar al-Khattab berkata: “Jika ada seekor keldai yang jatuh di Iraq, maka aku akan ditanya di hadapan Allah Taala, kenapa engkau tidak memperbaiki jalan itu.”

Kurang kefahaman tentang konsep kepimpinan dalam Islam adalah faktor utama yang mana bidang politik ini amat digemari ramai walaupun dari sudut lahiriah jelas menunjukkan mereka bukan terdiri daripada individu yang mempunyai kelayakan untuk memegang jawatan dalam pentadbiran negara. Pelbagai cara digunakan untuk menarik perhatian rakyat supaya memilih mereka menjadi pemimpin.

Penonjolan diri sebagai orang yang bertakwa, memiliki ciri-ciri sahabat Rasulullah SAW adalah satu fenomena dalam kempen pilihan raya di negara Islam. Sedangkan hakikatnya keperibadian, ilmu dan ketakwaan yang dimiliki oleh umat Islam masa ini adalah terlalu jauh dibandingkan dengan keperibadian sahabat baginda.

Dalam urusan kepemimpin­an dan pentadbiran, kealiman dan kezuhudan bukan kriteria utama bagi pemilihan pemimpin tetapi kealiman dan kezuhudan adalah sifat yang sepatutnya wujud dalam diri pemimpin supaya mereka tidak terbabas dari landasan kepimpinan dalam Islam.

Tugas berat ini hanya layak disandang oleh individu yang mempunyai keupayaan akal yang tinggi dan bijak memahami selok-belok dunia politik, berpengalaman dalam aspek pemerintahan dan pentadbiran, jujur, cintakan rakyat dan bersedia mengorbankan masa, tenaga dan kepen­tingan diri demi untuk agama, negara dan rakyat. Jika ciri-ciri begini tidak wujud dalam diri ahli politik maka usahlah menjadi pe­mimpin kerana kekurang­an diri dan kecetekan akal pemikiran boleh mengundang kemusnahan negara.

Dalam dunia di mana keimanan dan kezuhudan pemim­pin tidak setanding dengan keimanan dan kezuhudan para sahabat Rasulullah SAW maka pemilihan pemimpin hanyalah berdasarkan kepada kejujuran, ilmu pengetahuan, pengalaman, kebijaksanaan dalam hal ehwal negara dan masyarakat serta kesanggupan untuk berkorban kepada negara dan rakyat. Jika ciri-ciri begini sudah wujud pada diri pemimpin dan pentadbir maka sudah memadai negara dipimpin oleh mereka.

Dalam hal ehwal kepimpinan dan pentadbiran perkara utama yang mesti dilaksanakan adalah memastikan setiap penghuni dalam negara dapat menikmati kemudahan asas dan keselamatan mereka terjamin. Selama mana masih terdapat ramai rakyat yang miskin dan kelaparan maka tumpuan utama pemimpin adalah berusaha menyediakan keperluan asas kehidupan. Ketekunan dan kegigihan mereka membela nasib rakyat dapat meyakinkan rakyat bahawa mereka adalah pemimpin yang berwibawa.

Para pemimpin yang sering menumpukan perhatian kepada keperluan asas rakyat sering disanjung walaupun keimanan mereka tidak sampai ke tahap keimanan dan kezuhudan para sahabat Rasulullah SAW kerana sebahagian daripada tugas dan keistimewaan sahabat baginda telah dilaksanakan oleh pe­mimpin tersebut. Sikap prihatin dan ketekunan melaksanakan tugas untuk rakyat adalah termasuk salah satu ciri kepimpinan dalam Islam.

Ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa yang diangkat Allah menjadi pe­mimpin bagi kaum Muslim, lalu ia menutupi dirinya tanpa meme­nuhi keperluan mereka, perhatian terhadap mereka, dan kemiskinan mereka. Allah akan menutupi (diri-Nya), tanpa memenuhi keperluannya, perhatian kepadanya, dan kemiskinannya.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi).

Berdasarkan kepada kelemahan yang wujud dalam diri pemimpin masa kini maka usah memaksa diri menonjolkan diri sebagai orang yang suci seperti mana sahabat Rasulullah SAW kerana sukar untuk umat Islam masa kini mencapai keimanan setinggi sahabat baginda. Ba­ginda memperakui perkara ini dengan sabdanya: “Akan muncul di akhir zaman lelaki yang memanipulasi agama untuk kepenting­an dunia, mengenakan pakaian yang halus-halus, lidah mereka lebih manis daripada madu tetapi mereka berhati serigala. Allah berfirman, “Apakah kepada-Ku mereka sombong atau, kepada-Ku mereka berani. Atas nama-Ku mereka bersumpah. Maka akan ditimpakan kepada mereka fitnah, yang membuat orang-orang pandai jadi kebingungan” (Hadis riwayat at-Tirmidzi).

Sukar untuk umat Islam masa kini menandingi kehebatan sahabat Rasulullah SAW seperti Abu Bakar, Umar al-Khattab, Uthman Affan dan lain-lain dalam aspek ketakwaan dan kezuhudan. Perkara ini diperakui oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya: “Jika ditimbang iman Abu Bakar al-Siddiq dengan iman sekalian umat maka berat lagi iman Abu Bakar.”

Berdasarkan kepada kelemah­an umat Islam dalam aspek keimanan dan kekurangan dalam hal ehwal kepemimpinan dan pentadbiran maka perbaikilah perkhidmatan sebaik mungkin dan giatkan usaha untuk membasmi kemiskinan dan menyediakan kemudahan asas kepada masyarakat supaya kewibawaan mereka diyakini oleh rakyat tanpa menonjolkan diri sebagai orang yang setanding dengan kehebatan sahabat-sahabat Rasulullah SAW.

PROFESOR MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN dari Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).