Orang UMNO tidak perlu berasa segan-silu atau rasa bersalah jika ada pihak cuba memperlekeh, mencemuh kononnya parti ini sudah jumud dan tidak relevan lagi.

Bahawa kononnya orang muda tidak lagi rapat dengan UMNO. Juga, adu-domba kalangan orang bandar enggan mendekati parti keramat itu, malahan kononnya UMNO ‘tidak jaga orang kampung’.

Hakikatnya, jangan sesekali lupa. Parti mana yang mengusulkan kementerian-kementerian strategik untuk kepen­tingan Melayu dan bumiputera? Siapakah yang memartabatkan institusi-institusi Melayu serta bumiputera seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM)?

Begitulah juga nasib penjawat awam yang jumlahnya kini lebih 1.5 juta orang terus dibela. Parti manakah yang mempermuliakan Raja-Raja Melayu dan memperteguhkan syiar Islam? Dan di manakah parti yang terus menjadi sandaran untuk orang-orang Melayu menumpang teduh, membawa hati demi menghitung masa depan keturunan anak cucu mereka?

Kepada ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Idris Haron, UMNO telah banyak membuat perkara yang betul.

“Contohnya, ada kenyataan yang saya terbaca iaitu apabila orang muda tidak berada dalam aliran a­rus perdana, ini semua kononnya salah UMNO kerana tak beri ruang pada orang muda.

“Tidak ada dalam sejarah UMNO nafikan orang muda. Bahkan UMNOlah yang sediakan pemimpin-pemimpin muda untuk perjuangan idealisme, UMNO yang pertama berbuat demikian.

“Walau sebanyak manapun kejayaan yang diraih UMNO, hatta segunung pun rekod yang mampu dicipta, walau setinggi mana pun pengiktirafan yang telah diterimanya, orang UMNO tidak boleh sekali-kali berasa complacent dan duduk bersimpuh.

“Keluarlah dan perjelaskan bahawa kita telah membuat semua perkara yang betul ini,” kata beliau kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi semalam.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka itu menarik perhatian ini kerana musuh dalaman mahupun luaran termasuklah orang yang menyelar UMNO tadi, akan terus mengintai-intai, cuba menerobos apa jua celah dan ruang untuk menjatuh-jatuhkan perjuangan UMNO.

Pada perhimpunan agung parti yang terakhir sebelum pi­lihan raya umum nanti, tegas Idris, UMNO mesti berada dalam keadaan seluruh pemimpin di segenap peringkatnya dari MT, perhubu­ngan negeri, bahagian dan cawangan tidak boleh me­nuding jari lagi.

“Cukup-cukuplah. Kita kini sampai ke peringkat bermuhasabah diri dan menilai kerangka serta melengkapi parti untuk menang.

“Kalau masih menuding jari, risikonya perbalahan tidak dapat dibendung dan jika dibenarkan, akan menjadi parah menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Berhentilah tuding jari dan lebih-lebih lagi buat tuduhan dan buka cerita fitnah sehingga mencetuskan friendly fire - me­nyalakan api kebencian yang a­khirnya tembak ke kaki sendiri dan baling batu ke rumah kaca.

“Itu tidak boleh berlaku lagi. Tidak boleh lagi di sekeliling pe­mimpin UMNO menuduh orang itu ini hanya untuk meraih populariti atau mahu dapat perhatian menjelang PRU,” kata Idris.

Siapa sahaja yang dipilih sebagai calon oleh pucuk pimpinan nanti, kata beliau, itu adalah muktamad dan mereka mesti berlapang dada untuk kebaikan seluruh umat Melayu.

Mengingatkan sekali lagi supaya ahli UMNO tidak usah apo­logetik, Idris menarik perhatian sekiranya orang muda tidak rapat dengan UMNO, masakan apabila Institut Onn Jaafar (IOJ) me­nganjurkan Malaysians United Run (MUR) 2017 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 18 November lalu, lebih 40,000 orang muda dan belia menyertainya.

“Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selaku penaung IOJ yang mencetuskan program ini disukai orang muda. Bahkan larian lima kilo­meter ini diiktiraf sebagai Penyertaan Terbesar Belia Dalam Larian BrandLaureate.

“Baru-baru ini juga dalam program Gen Y Green The City Melaka 2017, lebih 80,000 orang muda menyertainya di Dataran 1Malaysia, Klebang, Melaka memperlihatkan mereka tetap mahu mendekati Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bukan sahaja menyempurnakan perasmian program tetapi turut mengabadikan kapsul masa yang akan dibuka pada tahun 2050 nanti.

“Ramai yang datang, kenapa? Kerana mereka masih minat de­ngan UMNO,” kata Idris.

“Maka, jangan rasa bersalah kerana ‘akibat kealpaan kita’ sebab UMNO tidak pernah alpa dalam memberi perhatian kepada sudut-sudut terpencil ini sehinggakan UMNO sendirilah yang mewujudkan Puteri UMNO sebagai tetingkap untuk menarik wanita muda menyertai parti,” kata beliau.

Idris mahu ahli UMNO bersiap-siaga dan memasuki gelanggang PRU-14 dengan ‘saya bermentalitikan kemenangan’.

Ini kerana Pakatan Harapan yang dikepalai DAP, kata beliau, berada dalam keadaan tidak berstruktur. Tidak dapat buat keputusan siapa yang bakal menjadi ketua seandainya menang nanti. Mereka berterabur tidak dapat uruskan parti dengan cekap.

“Parti ini tidur sebantal dan sekatil tetapi mimpi berbeza-beza. Satu parti nak bebaskan Anwar Ibrahim sahaja matlamatnya. Satu lagi nak turunkan Perdana Menteri manakala yang satu lagi tu nak angkat satu kaum sahaja.

“Tidak lupa juga satu lagi parti yang dulunya mengatakan Islam sebagai idealisme perjuangan mereka tetapi hari ini sanggup bersekongkol dengan parti sekutunya untuk menafikan Islam dalam perjuangan memperkasakan mahkamah syariah,” kata beliau.

Kata Idris: “Tetapi UMNO ada kelebihan. Sistem kita tidak pernah gagal berfungsi saban tahun. Usul-usul yang dibawa oleh bahagian, peringkat perhubungan negeri dan kebangsaan ada sahaja yang pro dan tetap ada membangkang. Sistem ini berjalan lancar dengan 21,000 cawangan dan 191 bahagian mengadakan mesyuarat.

“UMNO ada kemahiran atau skills, bahkan PKR dan PAN menciplak dan mengimport kemahiran ini dari UMNO. Kita ada 7S iaitu structure, strategy, system, staff, skills, style dan self value. Ini yang membezakan UMNO dengan parti-parti pembangkang yang lain.”

Apa yang diperhatikan dari senario politik semasa tanah air, benarlah cendekiawan menyebut: “For evil to triumph, good men do nothing (kerana kejahatan untuk menang, orang baik tidak melakukan apa-apa)”.

Malah, menurut para ilmuan, kata-kata itu disesuaikan daripada beberapa hadis antaranya oleh Abu Daud.

Maksudnya - sekalipun UMNO di pihak yang benar, tetapi jika orang di dalamnya hanya duduk berdiam, tidak melakukan apa-apa, maka musuh akan bermaharajalela dan makin menjadi-jadi.