Namun dalam kalangan mereka sendiri mengakui, ia memberi kesan besar kepada senario politik negara.

Sementara ada pemimpin PH yang mahu kepemimpinan mereka melakukan sesuatu bagi mengelakkan sokongan rakyat terhadap pakatan itu terus terhakis, gerakan juga mula disusun oleh cybertrooper mereka bagi menggugat kerjasama UMNO-Pas.

Penulis dimaklumkan antara usaha yang akan dilakukan ialah memecahbelahkan dalaman UMNO dengan mengaitkan kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan dengan percaturan politik kepemimpinan parti itu.

Manakala dalam soal hubungan dengan Pas pula mula ditimbulkan soal pembahagian kerusi antara kedua-dua parti berkenaan.

Agenda jahat ini pasti akan berterusan kerana PH yang sebelum ini menganggap UMNO telah berkubur dan memburuk-burukkan kerjasama parti itu dengan Pas mula menyedari sesuatu perlu dilakukan bagi menggugat kedua-dua parti utama orang Melayu itu.

Atas sebab itulah Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO ketika berkempen dalam PRK DUN Rantau mengingatkan pemimpin dan penyokong kedua-dua parti supaya tidak terperangkap dengan mainan PH.

Beliau yang menjalankan tugas Presiden UMNO dan Pengerusi BN menyifatkan, kerjasama UMNO dan Pas, ibarat usaha menanam pokok yang rendang demi kesejahteraan orang Melayu, Islam dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya, oleh itu kata beliau:

“Sekarang ini kita sedang buat penyatuan ummah dengan Pas, kita buat elok-elok. Kita pupuk benih penyatuan yang sedang tumbuh ini biar ia membesar menjadi pohon yang rendang untuk melindungi seluruh rakyat Malaysia, bukan orang Melayu sahaja.”

Abdul Hadi pula dalam ulasan terkini kelmarin berkata, UMNO-Pas wajib bersatu mempertahankan perkara asas yang menjadi perjuangan bersama.

Justeru dalam memastikan agenda penyatuan ummah tersebut tidak tergugat, pemimpin dan penyokong kedua-dua parti perlu berhati-hati dan tidak terlalu angkuh atau berasa teruja dengan impak awal di tiga PRK iaitu Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau.

Perjalanan masih panjang, banyak kerja yang masih perlu dilakukan untuk memastikan penyatuan tersebut benar-benar menyelamatkan situasi yang disifatkan oleh Abdul Hadi, “ada orang sedang menebuk kapal.”

PRU-15 tidak tahu bila, mungkin tiga tahun atau empat tahun lagi. Oleh itu tidak perlu pemimpin, ahli dan penyokong UMNO-Pas terperangkap dengan agenda dan muslihat pihak tertentu yang pasti akan mengatur ‘serangan’ bagi memporak-perandakan bukan sahaja dalaman kedua-dua parti tetapi juga kerjasama dua parti utama orang Melayu itu.

Musuh politik UMNO-Pas tidak akan duduk diam, mereka akan berusaha sedaya-upaya untuk memastikan kerjasama itu terbantut di tengah jalan. Ia sudah pun dilakukan dengan membangkitkan perasaan was-was dan curiga dalam kalangan pemimpin UMNO seperti membangkitkan soal masa depan pemimpin UMNO tertentu berikutan kemenangan Mohamad.

Dalam soal ini, penulis yakin rakyat khususnya ahli-ahli UMNO tidak mahu parti itu bergolak, apatah lagi kerana angkara orang luar. UMNO kini sudah berada di landasan yang betul untuk bangkit semula.

Kecemerlangan kepemimpinan Mohamad perlu dikekalkan dengan dibantu aura Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Momentum sedia ada jangan dirosakkan dengan sebarang agenda politik peribadi mana-mana individu kerana UMNO harus kukuh bagi memboleh ia bangkit semula pada PRU-15.

Setakat ini Mohamad sudah berupaya mengembalikan kekuatan UMNO, hanya yang perlu dilakukan memperkukuhkan sahaja.

Selain itu, selepas ini percayalah pasti ada anasir yang akan melakukan ‘kerja-kerja kotor’ bagi merosakkan kesepakatan UMNO dan Pas. Misi mereka seperti mana diberitahu oleh satu sumber kepada penulis ialah meranapkan kerjasama tersebut sebelum PRU-15.

“Mereka akan membuat analisis dan membangkitkan persoalan berhubung pembahagian kerusi antara kedua-dua parti dalam PRU-15.

Melalui cara itu ia akan mewujudkan polemik 
antara penyokong dan seterusnya mencetuskan konflik yang boleh menggugat kerjasama UMNO-Pas,” kata sumber tersebut ketika dihubungi.

Bagi berhadapan dengan ‘serangan’ itu UMNO-Pas serta komponen BN tidak harus berasa angkuh dengan kejayaan setakat ini.

Sementara kerjasama UMNO-Pas diperkukuhkan, usaha mendekati rakyat harus diadakan secara berterusan bukan setakat ketika PRK.

Program bersama yang menyaksikan penampilan pemimpin komponen BN dan Pas harus diteruskan seperti mana suasana ketika program Ceramah Perdana di Taman Angsamas, Rantau pada 12 April lalu.

Kesimpulannya, BN jangan angkuh, kerjasama UMNO-Pas perlu diperkukuh demi memastikan BN kembali berdiri teguh untuk mencapai matlamat PRU-15 melihat kerajaan PH runtuh.