Sejak sekian lama, sungai menjadi sumber utama bekalan air untuk kegunaan domestik, industri dan pertanian. Dalam konteks kitaran hidrologi, curahan hujan yang sampai di permukaan tanah akan menjadi air permukaan seperti saliran, tasik dan sungai. Ada juga curahan hujan itu menyusup menjadi simpanan air bawah tanah.

Seterusnya dilepaskan ke atmosfera melalui sejatan daripada air permukaan seperti tasik, sungai, laut serta peluhan oleh tumbuhan. Bagaimana curahan hujan tersebut diagih kepada komponen hidrologi bergantung kepada keragaman ruang dan temporal curahan hujan serta ciri-ciri permukaan.

Dalam sistem bekalan air, sungai menjadi sumber utama bekalan manakala simpanan air bawah tanah pula akan mengalir keluar ke sungai dan mengekalkan kesediaan air permukaan untuk menjadi sumber air semasa musim kering. Keadaan ini dipercayai boleh berlaku selagi sistem semula jadi ekosistem di mana-mana lembangan sungai tidak diganggu oleh aktiviti manusia.

Tidak boleh dinafikan aktiviti manusia di lembangan dilihat sebagai punca perubahan kesediaan sumber air di mana-mana sungai. Malah di Semenanjung Malaysia, pembangunan kawasan perladangan sejak tahun 1960-an bagi tujuan aktiviti ekonomi adalah punca kepada pengubahan ekosistem secara besar-besaran.

Keadaan ini telah merubah kesediaan air permukaan dari segi masa dan kuantiti di suatu tempat. Namun pada masa itu, kekurangan bekalan air yang disebabkan musim kering jarang menjadi isu kecuali beberapa tahun kebelakangan ini terutama di Lembah Kelang.

Ini mungkin, simpanan air (air permukaan dan air bawah tanah) semasa musim hujan mampu menampung bekalan semasa musim kering terutama Februari. Namun pada pertengahan tahun 2016 musim kering yang berlarutan telah menyebabkan isu sumber air menjadi topik hangat terutama ketika aras air Sungai Pahang (lembangan sungai terbesar di Semenanjung Malaysia dengan keluasan 29,300 kilometer persegi) berkurangan secara luar biasa.

Akibatnya pada 8 April 2016, lebih 6,000 akaun pengguna di sekitar Daerah Lipis dilaporkan mengalami gangguan bekalan air selepas Loji Air Jelai dan Batu 9 mengalami tekanan paras air rendah ekoran cuaca panas melampau akibat fenomena El Nino. Ini ditambahkan lagi dengan aktiviti-aktiviti pembangunan kawasan pertanian dan pembalakan di ulu lembangan sungai.

Aktiviti tersebut dilihat telah menghalang proses kitaran hidrologi secara semula jadi khususnya proses kelembapan tanah atau penyusupan air menjadi simpanan air bawah tanah. Respons kepada topik hangat tersebut, kerajaan Pahang telah menganjurkan Bengkel Kelestarian Sumber Air Negeri Pahang 2016 pada 31 Oktober dan 1 November 2016. Dengan kehadiran 1,000 orang dari pelbagai pihak berkepentingan, satu resolusi bersama dalam menjaga sumber air negeri telah dikeluarkan.

Tidak berakhir setakat itu sahaja pada penghujung musim panjang kemarau 24 September 2016, gangguan bekalan air berlaku di kawasan Semenyih melibatkan 300,000 penduduk. Kejadian itu dikaitkan dengan pencemaran sungai di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.

Pada 8 Oktober 2016, kejadian gangguan bekalan air berjangkit pula ke tempat lain apabila sebanyak 299 kawasan di Kuala Lumpur dan dua daerah di Selangor iaitu Petaling dan Hulu Langat mengalami gangguan bekalan air disebabkan penutupan LRA Langat dan LRA Cheras. Puncanya berlaku pencemaran Sungai Semantan, Pahang.

Pada 28 Oktober 2016 LRA Sungai Semenyih ditutup lagi. Penutupan kali ini berikutan pencemaran bau air sungai disyaki berpunca daripada kawasan perindustrian Nilai, Negeri Sembilan dan mengakibatkan gangguan air sementara di beberapa kawasan seperti daerah Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Petaling.

Sememangnya mengurus sumber air terutama di peringkat lembangan sungai sudah semakin kritikal. Tidak hanya memastikan bekalan air mencukupi serta tiada gangguan tetapi juga untuk memastikan keselamatan sumber air itu bebas daripada sebarang pencemaran.

Sehubungan itu pihak kerajaan melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Kementerian Kesihatan masing-masing sentiasa memantau kualiti air sungai yang menjadi sumber bekalan air bagi penduduk dalam usaha memastikan mutu air mentah mematuhi piawaian kualiti air minuman.

Menyentuh tentang pencemaran, semuanya berpunca daripada kesan aktiviti-aktiviti manusia itu sendiri yang sebahagian besarnya melibatkan kelangsungan hidup seperti palaksanaan projek-projek perumahan, industri, pertanian dan pembalakan.

Dalam perkembangan lain, Malaysia telah mencapai kemerdekaan pada 1957 dan selepas 17 tahun baru Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 wujud dan dikuatkuasakan. Mungkin disebabkan kekurangan teknologi dan peruntukan dilihat sebagai kekangan peringkat awal untuk mengawal pencemaran air sungai.

Ini dapat dilihat dengan kewujudan banyak Non-Sanitary Landfill oleh pihak berkuasa tempatan. Kaedah pelupusan sampah cara ini juga menjadi satu punca pencemaran sumber air. Mahu tidak mahu isu ini perlu diatasi bagi memastikan air sungai tidak lagi dicemari.

DR. MOHAMAD IDRIS ALI ialah Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam, Universiti Malaysia Pahang (UMP).