Menyahut titah ucapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dua minggu lalu dan diulangi oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada awal minggu lalu mengenai peri pentingnya pengurusan air maka penulis berpendapat sudah sampai masanya penjawat awam melaksanakan dan menjadikan saranan-saranan yang dikemukakan sebagai polisi untuk mengubah kehidupan kita.

Ramai yang tidak menyedari dalam jangka masa panjang, negara ini akan menghadapi krisis sumber bekalan air yang serius. Menurut laporan yang di­keluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Alam Sekitar (UNEP), jika manusia menggunakan air dengan kadar yang diamalkan sekarang, dua daripada tiga orang penduduk dunia akan hidup di dalam keadaan sukar menikmati bekalan air, menjelang 2025.

Dalam masa sama, laporan itu turut meramalkan, krisis bekalan makanan akan terjadi. Ini kerana kedua-duanya bersangkutan dan memerlukan di antara satu sama lain.

Ketika ini, menurut laporan itu, satu daripada tiga orang di benua Asia tidak memperoleh sumber bekalan air bersih yang sepatutnya. Masalah ini juga menjadi penghalang kepada pengeluaran makanan di masa depan. Namun menurut logik keperluannya, air adalah lebih berharga berbanding makanan. Tanpa makanan, manusia masih dapat hidup. Sebaliknya jika tanpa air untuk selama tiga hari sahaja, manusia pasti akan mati. Bayangkanlah, betapa kurangnya air di muka bumi ini sekarang dan bayangkanlah apa akan terjadi jika air gagal diurus dengan baik.

Menambah kepada kegawatan situasi semasa negara-negara di Asia Barat yang selama ini dilaporkan jarang sekali mendapat hujan seperti Israel, Jordan dan Syria, berebut-rebut untuk memperoleh sumber bekalan air mereka dari Lembah Sungai Jordan dan kawasan sekitarnya. Maka benarlah titah Sultan ­Perak, ­kerana air maka peperangan boleh tercetus dalam merebut penguasaan kawasan.

Kesemua negara berkenaan sedang bergerak maju dan tidak lepas daripada menghadapi krisis bekalan air dalaman dan ada di antara mereka yang terpaksa bersengketa sesama sendiri, hanya untuk mendapatkan setitis air untuk keperluan rakyat mereka.

Gambaran tersebut adalah antara contoh-contoh yang pa­ling dekat berhubung dengan betapa kritikalnya suasana bekalan air yang terjadi di beberapa negara di dunia. Bagaimana pula dengan konteks negara ini? Walaupun Malaysia mempunyai sistem dan pengurusan air yang dianggap antara yang terbaik di rantau ini, dengan adanya sistem takungan dan tempat tadahan air serta sungai yang masih berfungsi untuk menampung keperluan bekalan air kepada penduduknya, tetapi adakah kesemua sistem ini cukup untuk menampung keperluan generasi hari ini dan akan datang?

Beberapa kes catuan air ­seperti yang berlaku ketika krisis air 1998 yang berlarutan hampir setiap tahun, serta kejadian beberapa batang sungai yang tercemar dan kering menjadi pengajaran kepada masyarakat di negara ini supaya manusia tidak terus ­merosakkan alam sekitar. Ini kerana perbuatan tersebut, secara langsung atau tidak akan menyebabkan sumber bekalan air terganggu dan semakin tergugat.

Ramai yang lupa betapa Islam telah meletakkan pengurusan air sebagai sesuatu yang utama dalam kehidupan. Ini terserlah apabila perkataan ‘air’ diulangi sebanyak 63 kali dalam ayat ­al-Quran yang hampir mencecah satu peratus daripada keseluruhan ayat al-Quran manakala perkataan yang merujuk kepada su­ngai muncul sebanyak 52 kali dan ayat berkenaan dengan mata air, hujan dan awan tidak kurang dari lima kali (bagi setiap satu).

Dari segi hadis Rasulullah SAW pula, kalau dilihat dan dikaji akan Kitab Sahih Bukhari, Jilid 3, buku 40, bermula dari hadis 541 sehingga 569 kesemuanya menceritakan mengenai pengurusan air. Walaupun nampak sedikit, iaitu hanya berjumlah kira-kira 28 hadis kesemuanya, tetapi perlu diingatkan, hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari adalah hadis-hadis yang diiktiraf sebagai sahih, iaitu tiada penafian dari mana-mana jamhur ulama mengenai ketulenan serta kebenaran mengenainya.

Sejajar dengan itu, sikap membazirkan air perlu dibendung segera, jika tidak masyarakat di negara ini akan menghadapi krisis air yang lebih buruk. Ingatlah kepada titah Parakrama Bahu the Great, Raja Sri Lanka pada abad ke- 12, apabila beliau telah membentuk satu tahap pengurusan air yang unggul iaitu jangan mem­biarkan walaupun setitik air hujan mengalir ke laut tanpa memberi faedah kepada manusia.

Justeru, hargailah air sebagaimana menghargai nyawa sendiri. Kegagalan mengurus air ketika ini pasti mengundang padah pada generasi mendatang.

DR. AHMAD ZAHARUDDIN SANI AHMAD SABRI dari Universiti Utara Malaysia (UUM).