Begitu juga dengan segala dasar dilaksanakan manusia. Matlamatnya adalah demi keuntungan sama ada tersurat atau tersirat. Penulis tertarik dengan dasar sifar beg plastik di premis perniagaan. Hasratnya baik iaitu untuk menguntungkan generasi akan datang agar mampu hidup atas bumi yang sihat tanpa diselaputi beg plastik atau juga untuk menguntungkan peniaga?

Penulis langsung tiada masalah dengan pelaksanaan kempen bebas plastik kerana ia amat baik, namun apa yang ingin diungkit adalah mekanisme penguatkuasaannya. Seperti ada lompong yang lebih menguntungkan peniaga dan menambahkan beban kewangan pengguna (bagi yang terlupa membawa bekas sendiri untuk diisikan barangan).

Ke mana perginya 20 sen itu, sekali lihat nampak macam kecil jika untuk seorang pelanggan? Bagaimana pula dengan 1,000 pelanggan, setiap hari selama sebulan, 12 bulan?

Hasil carian dalam bebasplastik.my/faq.php, caj 20 sen tersebut dimasukkan ke dalam akaun peniaga sama se­perti semua produk lain yang dibeli. Ia kemudiannya akan disalurkan untuk melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat atau kepada badan-badan amal bagi melaksanakan usaha pemuliharaan alam sekitar.

Soalnya, siapa yang memantau penyaluran wang berkenaan. Adakah wujud undang-undang khusus? Kalau betul, alhamdulillah tetapi jika sebaliknya siapa yang untung?

Sekali imbas perniagaan menjual beg plastik agak menguntungkan. Hasil tinjauan di beberapa premis perniagaan, terdapat beberapa harga bagi sebungkus beg plastik mengandungi 55 helai yang sedang-sedang saiz­nya, tidak besar dan tidak kecil. Secara purata harganya ialah RM4.50.

Ini bermakna peniaga bakal memperoleh keuntungan lebih 100 peratus iaitu 55 helai x 20 sen = RM11, jika beg plastik yang digunakan untuk mengisi barangan pembeli diambil dari rak dalam kedai mereka.

Untungkan! Tidak mustahil selepas ini bakal wujud ‘ulat-ulat’ menjual beg-beg plastik kerana menyedari keuntungan berganda yang bakal diperoleh! Risiko rugi agak kurang kerana ia tidak basi seperti produk makanan jika tidak dapat dijual dalam tempoh masa tertentu.

Dalam pada itu, berdasarkan portal berkenaan terdapat ‘pengecualian’ caj penggunaan beg plastik bagi kategori barangan tertentu. Ramai pengguna tidak tahu, peniaga mungkin sedar tetapi adakah sengaja dibuat ‘tidak tahu’. Hasilnya semua pembelian ‘dipukul borong’ iaitu dikenakan caj 20 sen tanpa mengira kategori berkenaan. Malangnya tiada pula anggota penguat kuasa memantaunya.

Antara kategori pengecualian itu adalah makanan mentah seperti ikan, lembu, ayam, kambing dan produk-produk daging. Senarai keperluan ini antara yang paling banyak dibeli di pasar raya.

Lepas ni janganlah rasa segan untuk bertanya semasa membayar, penulis tidak berniat untuk menghasut atau cuba menimbulkan perasaan sangsi. Ini adalah hak kita sebagai pengguna, kecuali kita semua sudah kaya-raya atau berniat untuk bersedekah bagi menambah saham keuntungan di akhirat kelak.