Bukan untuk membela diri atau mengikut rentak orang yang menyoal itu, saya jawab pengalaman dalam dunia kewartawanan jubli perak yang genap minggu depan, menyaksikan saya pernah bertugas sebagai wartawan ekonomi selama tujuh tahun, sebelum ditukar ke unit-unit lain dan tujuh tahun kemudian kembali ke unit ekonomi akhbar ini pada 2014 hingga sekarang.

Platun saya seramai lapan orang mengandungi campuran yang seimbang iaitu lima lulusan kewartawanan dan tiga lulusan ekonomi dan perakaunan. Jika jawapan ini pun masih tidak memuaskan hati orang bertanya itu, memanglah dia berniat memperlekehkan anda.

Untuk mempersoalkan seseorang demi mendapat gambaran sebenar, adalah bagus.

Sebaliknya, untuk mempersoalkan dengan niat memperlekeh, itu nyata sombong dan angkuh pada diri anda. Apakah orang lain sedarjat dan sekaya anda? Apakah tahap pemikirannya sepintar anda? Apa agaknya kepuasan yang anda peroleh? Apakah orang yang darjat lebih rendah daripada anda itu, tidak wajar anda salam tangan bila bersua?

Pastinya anda ada pengalaman tersendiri bila dilontar persoalan bernada perlekeh sedemikian. Manusia memang pantas mencari sudut kelainan yang tidak sealiran dengan akal logik mereka, lalu mempersoalkannya. Lebih-lebih lagi jika ia berkaitan isu membabitkan hal keagamaan dan undang-undang.

Jangan memandai-mandai ber­hujah dengan agama, ji­ka ke surau pun hanya se­kali-sekala, kata sahabat. Mung­­kin benar, kerana tanpa asas agama dan anda pula sam­bung menyambung hujah mengikut hukum logik atau mana sempat cut & paste, risiko tergelincir akidah amat tinggi.

Atas faktor serupa, kita ti­dak suka orang bukan Islam memperkatakan hukum-ha­kam Islam. Sedangkan da­lam kalangan umat Islam sentiasa diperingatkan agar berwaspada berhujah tanpa ilmu, apa pula asas untuk orang bukan Islam senang-senang mengomel. Komen hal agama sendiri sudahlah.

Bab undang-undang pa­ling berleluasa situasi mem­perlekeh orang. Lihat sahaja dalam Facebook atau Twitter. Bila kemalangan jalan raya misalnya, muncullah 'pakar undang-undang jadian’ de­ngan versi masing-masing. Tapi yakinlah, 99.9 peratus daripada mereka tidak ada di tempat kejadian, tidak mengetahui butiran kes dan tidak tahu hujung pangkal. Tetapi hujah mereka, sudah melepasi peranan Hakim Mahkamah Agung. “Orang itu wajar dihukum mati...” yang menyebabkan kita sekelip mata merasa mual membaca hujah menyerupai budak tadika bergaduh.

Merrepak hari ini menganalisis manusia yang suka memperlekeh orang lain, yang dilakukan mereka tanpa disedari sebab sudah sebati dalam diri. Berikut adalah penghujahan:


Orang kaya mendadak

Jangan ditanya bagaimana dia kaya mendadak. Sama ada pinjam duit ah long, projek atas angin atau loteri, itu kita tidak campur. Masalahnya bila sudah kaya mendadak, pantas menyinar kesombongan. Cara memandang orang pun asyik hendak memandang rendah walaupun ketinggian badannya 5 kaki 5 inci.


Pesara

Asalnya dulu CEO syarikat. Biasa ada eksekutif jadi suruhan. Berkuasa pula memanggil mesyuarat, mengarah anak-anak buah. Bila pencen, lupa diri sudah tidak lagi berjawatan. Masih juga hendak mengarah, termasuk ke atas CEO baharu.


Orang kayangan

Biasanya digelar manusia berdarah biru. Manusia biasa berdarah merah. Kelainan darah ini diwarisi pula. Kita orang kebanyakan ini, jangan hendak ingkar, apalagi merungut dalam media sosial. Kalau mereka memprovokasi, buat-buat tidak nampak sahaja. Kalau kita balas, takut nanti kena pakai gelang besi.


Orang yang suka hon kereta

Antara komponen kereta yang paling kerap diguna pemilik kereta selepas radio dan penyaman udara. Kadar penggunaannya sangat tinggi, jauh mengatasi fungsi tiang lampu isyarat. Mungkin itulah puncanya ada pemandu yang terus memandu perlahan di lorong paling kanan setelah dihon, berbanding yang diberi lampu isyarat (bukan lampu tinggi!).


Orang yang hayun kon

Apakah kesombongan menjadi punca kepada kejadian di Johor, Jumaat lalu? Dua-dua pihak sombong? Entahlah. Kita yang tidak berada di tempat kejadian, berhemahlah memberi pandangan. Misalnya, disebabkan kita tiada di situ, kita boleh komen nasihatkan pemandu menggunakan laluan lain pada waktu solat Jumaat. Dan kerana kita tiada di situ jugalah, kita wajar komen nasihatkan 'abang kon’ agar bersabar lebih lagi, bukan pukul orang. Tapi kita tidak berada ditempat kejadian, kan? Kenapa kita komen. Kitakah yang sombong?