Dalam keputusan penghakiman pada 7 Februari lalu Rafizi dijatuhi hukuman penjara 30 bulan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan mendedahkan maklumat perbankan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA) enam tahun lalu.

Rafizi bijak manipulasi keadaan. Selepas dihukum penjara, beliau gambarkan seolah-olah dirinya terpaksa berkorban demi melawan korupsi. Sedangkan serangannya dahulu terhadap NFCorp lebih menjurus kepada agenda menjatuhkan Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, parti UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Undang-undang dan mahkamah telah membuktikan siapa benar, siapa pembohong. Yang buat bohong mestilah dikenakan hukuman setimpal dengan kesalahannya.

Bukan selama-lama serangan secara sistematik, pelbagai kempen kotor yang menghalalkan fitnah dan kerja jahat Rafizi dan sekutunya akan Berjaya.

Jangan dilupakan kuasa Allah akan membantu orang teraniaya. Adakah Rafizi pihak yang teraniaya atau keluarga Shahrizat yang sekian lama menanggung malu akibat fitnah Rafizi?

Jangan lupa kerja Rafizi memburuk-burukkan keluarga Shahrizat hingga hari ini. Segala kesan fitnah yang sudah ditanam dalam minda orang ramai bukan mudah untuk dibersihkan waima disental dengan bahan pencuci.

Sebab itu masih ada pihak yang antara percaya dengan tidak terhadap isu yang menjadi bahan kempen Rafizi untuk memburuk-burukkan NFCorp dan keluarga Shahrizat.

Tidak perlu rakyat bersimpati dengan orang yang bijak memutar-belitkan fakta menjadi bahan fitnah. Hasil tuduhan palsunya terhadap NFCorp, beliau menang kerusi Parlimen Pandan pada PRU-13. Rafizi menjadi terkenal dan kaya selepas memfitnah dalam isu NFCorp.

Segala tuduhan dan fitnah Rafizi sudah dijawab oleh NFCorp di hadapan hakim mahkamah dan pihak kerajaan. Hakikatnya semua yang dituduh Rafizi itu tidak benar.

Rafizi perlu terima hakikat perbuatannya mengolah maklumat menjadi berita palsu serta fitnah telah menjatuhkan maruah pemimpin, ahli perniagaan Melayu/Islam serta mensabotaj industri penternakan lembu negara.

Rafizi berjaya menarik Shahrizat hingga melepaskan jawatan Menteri Kabinet, menyebabkan bekas Pengerusi Eksekutif NFCorp, Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail hilang beberapa bisnes lain.

Jangan kita mudah bersimpati pada Rafizi, sedangkan dialah raja memutar belit fakta dalam isu Pusat Fidlot Nasional (NFC) di Gemas, Negeri Sembilan dan National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp) bagi memburukkan kerajaan.

Pengkhianat Bangsa Melayu

Kenapa Rafizi hanya mengkritik NFCorp sebagai syarikat anak beranak sedangkan ramai jutawan Cina Malaysia yang berjaya juga melantik anak-anak mereka bagi memegang jawatan tinggi dalam syarikat?

Tidak fikirkah kita bahawa penglibatan NFCorp satu amalan fardu kifayah untuk mengurangkan import daging dari luar negara sebanyak 20 peratus dan mengurangkan penggantungan kepada gelatin import yang 99 peratusnya berasaskan kepada sumber babi.

Hakikat itulah yang ditakuti oleh kartel pengimport daging yang dikuasai bukan Melayu yang telah melakukan pelbagai cara bagi ‘membunuh’ NFCorp. Sampai bilakah umat Islam akan terus memakan daging import dari India, Amerika Latin, Australia dan lain-lain negara yang diragui status halalnya?

Cukup menyedihkan apabila orang Melayu menyerang kaumnya sendiri semata-mata untuk memberikan keuntungan kepada kartel pengimport bukan Melayu.

Adalah menyedihkan juga apabila Rafizi sanggup memburuk-burukkan dan menghancurkan perniagaan bangsanya sendiri. Pelan perniagaan yang bagus terjejas akibat mainan politik orang Melayu sendiri.

Apakan daya nasi sudah jadi bubur, kerana mudah percaya berita palsu Rafizi.