Beberapa hari sebelum itu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan Majlis Profesor Negara (MPN) dibubarkan sebaik sahaja selesai mempengerusikan mesyuarat per­tama Kabinetnya. Bersama saya juga, dua orang wakil Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Ge­rak) iaitu Prof. Zaharom Nain dan Dr. Faisal S. Hazis, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai pengajian tinggi. Pertubuhan yang diwakili oleh sejumlah kecil ahli akademik yang kurang diberikan perhatian oleh komunitinya tetapi sebaik sahaja barisan Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), ia terus dikenali dan disanjung ramai.

Apabila ditanya mengenai kedudukan MPN, kebetulan saya dilantik sebagai Ketua Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar menjawab, kerajaan memerintah berhak membubarkan MPN, lebih-lebih lagi badan ini ditempatkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Semua agensi kerajaan mempunyai fungsi khusus, begitu pun dalam menjalankan amanahnya, pasti ada kelemahan dan kepincangan dalam pelaksanaannya. Saya sedikit terkilan, cadangan untuk membubarkan dibuat secara tergesa-gesa dan ahlinya seramai lebih 2,900 orang profesor tidak diberikan peluang untuk menyatakan pandangan.

MPN ditubuhkan pada 2010 dan ditempatkan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi berhasrat untuk menggembleng kepakaran profesor membantu menjayakan pembangunan negara. Bukan mereka tidak boleh menyumbang melalui universiti masing-masing tetapi dengan organisasi yang kemas, peluang dan keupayaan pemikirannya dapat dimanfaatkan dengan lebih berkesan dan berimpak tinggi.

Oleh kerana sumbangannya­ merentas kementerian, pada 2016, MPN telah dipindahkan ke JPM bagi membolehkan sumba­ngannya disampaikan ke pelbagai kementerian. Majlis ini bersifat seperti NGO, hanya pegawai sepenuh masa sahaja digajikan oleh kerajaan, semua ketua kluster tidak mendapat gaji dan elaun sementara para profesor yang menjadi ahli adalah para akademik yang digajikan oleh universiti masing-masing.

Dalam perbincangan terbu­ka dan siaran langsung, kami dikemukakan beberapa soalan me­ngenai apakah kedudukan Universiti Awam (UA) kini dan bagaimana ia perlu bereformasi bagi menyahut tuntutan Malaysia baharu. Saya memberikan pandangan bukan sebagai seorang pakar bidang pengajian tinggi tetapi melalui pengalaman barsama UA, sebagai pensyarah, profesor, ketua jabatan, pengarah pusat penyelidikan, timbalan naib canselor dan naib canselor. Dalam konteks perubahan, banyak yang telah saya lakukan, ada yang memperoleh kejayaan tetapi banyak juga yang tidak berjaya dilaksanakan.

Dalam penghujahan saya, terdapat empat perkara asas yang perlu diperbetulkan jika UA kita berhasrat melangkah ke hadapan dan menjadi organisasi pendidikan tinggi dihormati. Ia adalah kepemimpinan tertinggi berwibawa dan bebas politik, amalan mengejar kecemerlangan berpegang kepada nilai teras universiti dan bersifat universal, bukan kenegerian.

UA pada prinsipnya mempunyai sistem governan tersendiri melalui Lembaga Pengarah yang mempunyai mandat memutuskan hal-ehwal perjawatan, ke­wangan dan prasarana serta senat yang meluluskan hal-ehwal akademik. Pada masa ini UA dibia­yai oleh kerajaan. Jika mempunyai dana tersendiri, ia boleh berautonomi penuh. Perubahan yang terpenting adalah pemilihan kepemimpinan tertinggi terutamanya Pengerusi Lembaga Pe­ngarah dan Naib Canselor perlu te­lus dan bebas daripada pengaruh politik.

Umpamanya, sebuah Suruhanjaya Pengajian Tinggi boleh dibentuk terdiri daripada negarawan yang mempunyai kewibawaan dan pengalaman luas mengenai pendidikan tinggi. Suruhanjaya ini diberikan mandat untuk menasihat kerajaan mengenai dasar, hala tuju strategik dan pemilihan kepimpinan tertinggi dan pada masa yang sama kerajaan perlu akur dengan nasihat ini.

Amalan mengejar kecemerlangan adalah salah satu daripada nilai teras universiti. Setiap ahli akademik perlu cemerlang dalam bidang keilmuannya. Dalam bidang kepakaran masing-masing perlu terbaik di negara dan antara yang dihormati di peringkat glo­bal.

Oleh itu, ahli akademik perlu mencari ceruk untuk mengembangkan kepakaran melalui penyelidikan dan pendidikan pasca-siswazah. Hasil penyelidikan perlu disebarkan melalui tulisan ilmiah dan persidangan untuk berkongsi sesama rakan kesepakaran. Kewibawaan akademik lazimnya ditentukan oleh rakan kesepakatan di peringkat kebangsaan dan global. Saya ada menyebut, hampir separuh ahli akademik di UA bukan ahli akademik (sarjana), tetapi sekadar penjawat awam. Ini cuma satu persepsi anggaran, angka sebenar perlu dibuktikan berasaskan sumba­ngan sebenar mereka.

Nilai teras universiti selain me­ngejar kecemerlangan dikaitkan dengan mencari kebenaran (penyelidikan), berpegang kepada etika akademik (menghormati hak ilmu), perkongsian ilmu (disebarkan untuk manfaat pelajar dan masyarakat) dan meraikan kepelbagaian (kebebasan akademik). Kebebasan akademik terikat dengan etika iaitu hanya yang benar dan disokong dengan fakta yang terbukti benar. Berbohong atau menyatakan separuh-benar melanggar etika atau integriti akademik. Oleh itu, menuntut kebebasan akademik nampaknya mudah, tetapi mengamalkan kebebasan akademik amat sukar dan perlu dijalankan dengan penuh tanggungjawab.

Terakhir, penjanaan ilmu tinggi bersifat universal dan boleh dimanfaatkan oleh seluruh warga dunia. Oleh itu, organisasi ilmu dan peneroka ilmu juga perlu bersifat universal. Kecenderungan untuk menjadikan sesebuah UA sebagai hak negeri adalah suatu yang bercanggah dengan prinsip beruniversiti. Kita perlu menggalakkan warga setiap UA datangnya dari seluruh negara, jika mampu, dari seluruh dunia.

Ikatan kepada pemilihan ini ialah kecemerlangan akademik dan kesesuaian bidang kepakaran yang diperlukan. Universiti di Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak yang cenderung untuk mengambil pemimpin dan ahli akademik dari negeri masing-masing perlu segera dihentikan, bagi memastikan UA bersifat universal dan bebas.

Pendidikan tinggi bukan sekadar institusi di mana bakat mahir negara dilahirkan, tetapi ia juga lambang maruah ke­­­i­l­muan negara dipertahankan. Para profesor adalah guru bagi kebanyakan penjawat awam dan ahli politik yang kini mentadbir negara. Ketika PRU-14 dan drama peralihan kuasa ke kerajaan Pakatan Harapan, banyak suara memperkecilkan peranan dan kewibawaan golongan ini. Ahli akademik perlu muhasabah dan memperbaiki diri. Bergerak ke hadapan, marilah kita amalkan pesanan ‘biduk lalu kiambang bertaut’ untuk membina semula negara tercinta ini.

PROF. EMERITUS DATUK DR. IBRAHIM KOMOO ialah Felo Utama Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).